Abah Besi Motocross Garage @ Offroad
Mohamad Shokree Bin Che Ali atau lebih dikenali oleh anak-anak motocross di utara Kedah sebagai Abah Besi. Pada 1991, diibaratkan bagai 'Sirih Pulang ke Gagang' apabila Abah Besi yang menetap di Terengganu telah pulang semula ke Bukit Pinang.
Dengan pengalaman dan ilmu yang dimiliki ketika bekerja jauh dari kampung halamannya, Abah Besi memulakan perniagaan sebagai tukang besi pada 1993 dan dari situlah beliau dapat gelaran sebagai Abah Besi. Selepas beberapa tahun berkecimpung dalam pertukangan besi, beliau terpaksa meninggalkan pekerjaan tersebut berikutan faktor kesihatan – mengidap penyakit lumpuh selama dua tahun akibat kemalangan ketika menunggang jentera motocross.
Sememangnya Abah Besi adalah seorang pencinta jentera lasak/motocross dari dulu hingga kini. Minatnya itu diwarisi oleh lima orang anaknya yang terdiri daripada 2 lelaki dan 3 perempuan. Kesemuanya telah diberi latihan kecekapan menunggang sejak dari kecil lagi.
Melihat dengan keseronokan menunggang lasak seperti yang digemari oleh anak-anaknya, Abah Besi membuat keputusan untuk menceburi perniagaan yang berkaitan dengan motosikal lasak.
Bertempat di Sintok, perniagaan Abah Besi dibantu oleh dua orang anak lelakinya iaitu Mohamad Nur Ilham Fikry (Angah) 26 tahun dan Mohamad Nur Ilham Firdaus (Bait Gulai) yang berumur 23 tahun. Dua beradik ini bertugas sebagai guide, back up rider dan pomen.
Anak bongsunya Nur Amy Aina Natsha (17 tahun) turun berkongsi minat yang sama.
Abah Besi telah membeli sebanyak 15 buah jentera berjenama KAYO 250cc menerusi sebuah syarikat di Kedah yang menjual jentera pertanian. Pada 6hb Ogos 2021, Abah Besi MotoCross Garage mula beroperasi mereka dengan menawarkan motosikal Kayo 250cc sebagai alat tunggangan.
Setiap kali perjalanan atau pengembaraan di laluan lasak, Bait selalunya akan menjadi 'leader' manakala anak keduanya, Angah akan jadi 'sweeper/tail. Konvoi akan melalui jalan-jalan yang berbukit dan laluan sungai yang bermula dari Kampong Pelubang – Lubuk Batu – Malau – Wang Perah – Bukit Bunga Raya hinggalah ke Bukit Kachi, Sintok.
Apabila sampai ke destinasi terakhir, peserta akan dibawa singgah ke pondok Pak Long Kri untuk berehat, menikmati kesegaran air sungai dan beriadah.
Untuk memastikan perjalanan selamat, Abah Besi akan turut serta dalam setiap perjalanan dengan kenderaan pacuan 4 roda dari belakang.
Abah Besi dan anak-anaknya memang mahir dalam hal enjin dan dapat membaiki jentera sekiranya berlaku masalah teknikal. Perniagaan ini dibuka setiap hari dan mengikut permintaan daripada para pelanggan. Berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia, perniagaan yang Abah Besi jalankan tidak dapat beroperasi untuk seketika.
Syukur, setelah beberapa bulan bertahan, Abah Besi dan keluarga kembali memerah pendikit ke laluan-laluan lasak sebaik sahaja pihak kerajaan mengumumkan perlaksanaan Fasa Pemulihan.
Selepas larangan rentas daerah/negeri dimansuhkan, Abah Besi mula mendapat beberapa tempahan untuk menyewa motosikal beserta guide untuk perjalanan ke kawasan mencabar, Bukit Kachi, Sintok. Didoakan usaha keluarga pencinta motocross ini terus mendapat sambutan. RR
Popular