Club Antique Motor Kulim - Kembali Beraksi
Sudah lama Club Antique Motor Kulim tidak bersiaran berkonvoi ke sana-sini disebabkan PKP yang berpanjangan. Oleh itu, Club Antique Motor Kulim telah mula berkonvoi ke dua daerah berlainan di negeri Perak iaitu ke Ban Pecah dan Pos Kuala Mu.
Program berjalan lancar seperti yang pernah dirancang dan diadakan sebelum ini. Rata-ratanya ahli Club Antique Motor Kulim memiliki Honda C70 berlampu bulat.
Banyak tempat yang menarik di negeri Perak. Perjalanan kami kali ini diuji dengan hujan yang turun hampir di sepanjang jalan tapi situasi ini tidak mematahkan semangat kami semua yang berkonvoi pada hari tersebut.
Di Ban Pecah, kami disambut oleh En. Syed Kamalrul Sufian dari Pistop Ban Pecah Route A190. Memang terbaik layanan yang kami terima. Pemandangan sepanjang pantai juga amat cantik sekali dan mendamaikan. Sebagai tempat yang popular, memang sentiasa dipenuhi dengan para pelancong.
Konvoi seterusnya ke Pos Kuala Mu (perkampungan orang asli). Perjalanan tersebut sememangnya paling banyak menguji mental setiap penunggang yang berdepan dengan kerenah motor masing-masing. Berkat kesabaran dan keupayaan motor, para peserta konvoi yang seramai 16 orang berjaya mengharungi segala cabaran ketika dalam perjalanan menuju ke Pos Kuala Mu. Jalan ke Pos Kuala Mu yang curam berbukit dan bengkang bengkok memang cantik tetapi sangat sukar.
Kami semua bermalam dalam khemah dan chalet. Kemesraan penduduk kampung dari masyarakat orang asli pun baik-baik semuanya. Pada hari pertama kami tiba di pos Kuala Mu hujan turun dengan lebat sekali tapi itu semua tak menjadi masalah kepada setiap ahli kerana segalanya selamat. Bagi peminat alam semulajadi di Pos Kuala Mu adalah tempat yang terbaik untuk menikmati suasana hutan dan air terjun.
Setiap detik dalam konvoi adalah suatu pengalaman yang menyeronokkan. Ia akan mencipta satu ukhwah persahabatan, setia kawan dan tolong-menolong antara satu sama lain. Pengalaman ini sangat mahal, tidak dijual di pasar raya mahu pun di pasar malam. Ia perlu dilalui walaupun sepahit mana sekalipun kerana hujungnya pasti ada kenangan manis.
Suasana tenang dan suhu yang dingin di waktu malam lebih 'syahdu' apabila para peserta berborak-borak sambil 'pekena' roti cicah sardin + kopi panas. Ada juga kawan-kawan yang masak mi meggi – memang lain macam sedapnya!
Club Antique Motor Kulim ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Zahiruddin dari Group Kapcai Dua Beradik dan En. Muhammad Faiz dari Group Route P169 Nibong Tebal Burger Station yang sudi bersama dengan kami untuk kali ini.
“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang menjayakan program dari awal sehingga ke akhir dan tak lupa juga kepada pengusaha Sardin Kak Sal (Puan Salmah Abu Bakar) yang selalu menaja kami,” komen Pengerusi Club Antique Motor Kulim, Encik Abdul Razak Bin Buhari
Untuk dapatkan sedikit maklumat serta perkongsian, layari laman sosial FB: Club Antique Motor Kulim. RR
Popular