MV Agusta Superveloce Ago – Penghormatan Buat Sang Lagenda
Beliau adalah seorang pemegang rekod yang sehingga kini masih belum dapat ditandingi. Lagenda perlumbaan dua roda, Giacomo Agostini merupakan idola lumba motosikal dengan 15 kali Kejuaraan Dunia dan kemenangan GP sebanyak 311 kali. Kemenangan pertamanya pada tahun 1965 dalam kelas 350cc dan kali terakhir di GP Jerman pada tahun 1976 dalam kelas 500.
Agostini, seorang ikon motosikal yang memiliki cinta sangat mendalam pada jentera motosikal dan kelajuan. Semangatnya untuk mencipta kemenangan dengan pecutan ke garisan penamat sememangnya menjadi inspirasi buat para pelumba sekarang ini.
Untuk memberi penghormatan buat Sang Lagenda ini, MV Agusta dengan bangganya memperkenalkan model edisi terhad paling eksklusif iaitu Supervelovce Ago. Sekali lagi, jentera unik dan istimewa akan sentiasa berada di hati para pencinta motosikal di seluruh dunia.
Untuk meraikan setiap kemenangan yang diraih beliau, MV Agusta telah mengeluarkan siri edisi terhad ini sebanyak 311 unit dan 15 unit pertamanya didedikasikan untuk 15 gelaran Juara Dunia dalam kariernya.
Tangki bahan api model LE ini direka bercirikan jentera perlumbaan yang dapat dilihat dengan jelas menerusi tali kulit beserta plat gentian karbon. Untuk 15 unit pertama, para pelanggan turut mendapat plat eksklusif yang mempunyai tandangan serta grafik trofi kemenangan yang cukup istimewa.
Antara ciri-ciri menarik lain yang terdapat pada model MV Agusta Superveloce Edisi Terhad ini ialah:
1. Pelindung ekor belakang jenis gentian karbon dengan kemasan warna matt
2. Madgad depan dan belakang dengan kemasan gentian karbon
3. Fairing sisi gentian karbon dengan kemasan matt
4. Pelindung lengan ayun gentian karbon
Model edisi terhad ini juga didatangkan dengan kit perlumbaan yang menawarkan prestasi lebih mengagumkan.
Untuk menjadikan hari pelancaran jentera ini lebih bermakna, ia telah diadakan di Litar Misano pada 23 Oktober lalu. Agostini diberi penghormatan untuk melakukan 'History Parade Lap' dengan menunggang Supervelove Ago yang ditemani oleh pelumba MV Agusta Racing Moto2, Simone Corsi. RR
Popular