Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 18 Mac 2020

KTNS Jamboree Ke-3 di Janda Baik, Pahang

Tahniah buat KTNS Holdings Sdn Bhd atas penganjuran acara jamboree buat kali ketiga pada 29 November – 1 Disember 2019 yang lalu. Bertempat di Cherry Chalet, Janda Baik, acara turut mendapat penganjuran bersama dari CFMOTO dan KTNS RS3 Adventure ini, telah berjaya mengumpulkan kira-kira 80 orang pemilik jentera KTNS RS3, KTNS Rhino, CFMOTO 250NK dan CFMOTO 650MT. Hadir memeriahkan acara tahunan ini ialah Pengurus Besar KTNS Holdings Sdn Bhd, En. Alan Lee.

“Ini merupakan penganjuran kali ketiga selepas di Batu Kurau, Perak pada 2016 (120 orang peserta) dan di Kuala Sepetang, Perak pada tahun berikutnya dengan 170 peserta. Objektif utama penganjuran adalah untuk berkumpul serta berkenalan dengan rakan-rakan pemilik KTNS yang hadir dari seluruh semenanjung negara. Selain itu, jamboree kali ini juga memberi peluang buat kami untuk mendekati para pelanggan dan masyarakat setempat,” kata En. Alan Lee.

Walaupun diuji dengan cuaca yang kurang menentu, tapak perkhemahan mula 'digegarkan' dengan deruman jentera-jentera milik para peserta sejak pada hari pertama. Selepas menyimpan barangan masing-masing ke dalam khemah, para peserta terus berehat sambil menikmati minum petang yang telah disediakan oleh pihak KTNS.

Cherry Chalet Campground Janda Baik diuruskan oleh En. Rizal yang memang cukup peramah. Terdapat tapak perkhemahan yang luas dan bersih, betul-betul di tepi sungai. Memang aman damai. Bagi mereka yang kurang meminati aktiviti perkhemahan, Cherry Chalet turut memiliki dua buah homestay yang sesuai untuk keluarga. Untuk menempah, telefon atau whatsapp ke talian: 017-9829381.

Semakin ramai peserta tiba di sebelah petang termasuklah abang DJ bersama kelengkapan muziknya. Tidak lama kemudian, suasana di tapak perkhemahan lebih meriah dengan pemilihan lagu-lagu dan muzik rancak. Cuaca mendung bertukar hujan tidak lama kemudian tetapi ia tidak menghalang para peserta daripada terus menikmati setiap saat di kawasan khemah makan besar untuk berbual dan berjenaka. Sambil menikmati makan malam, para peserta bertukar tempat di meja DJ untuk berkaraoke. Ada lagu melayu... ada juga lagu english.

Hari kedua: Tapak perkhemahan semakin meriah dengan ketibaan lebih ramai para pemilik jentera KTNS dan CFMOTO. Pelbagai aktiviti dan permainan yang telah diatur oleh pihak penganjur terpaksa dibatalkan kerana hujan lebat dan keadaan padang yang berlumpur.

Mujurlah En. Alan dan Kapten Dato' Nik Ahmad Huzlan (pemilik Rimba Valley Motor) sempat mengatur masa untuk membawa para peserta menguji kemahiran tunggangan masing-masing menyeberangi dua buah sungai. Kapten Dato' Nik Ahmad dan Wak Moon turut memberi tips dan cara-cara untuk mengawal jentera dan kuasa enjin ketika menyeberangi sungai.

Memang pada mulanya ada yang kurang yakin tetapi berkat sokongan rakan-rakan, mereka teruskan juga. Nah... apabila dah lepas, gian pula jadinya! Hebat betullah! Dengan tenang sahaja para peserta yang mengemudi jentera KTNS RS3, CFMOTO 650MT dan CFMOTO 250NK masing-masing. Tahniah buat para peserta, semuanya berjaya! Tak ada seorang pun sangkut.

Selepas makan tengahari, para peserta kembali ke atas motor untuk ke Badan Amal Darul Mustafa dan bertemu dengan adik-adik yang cukup istimewa. Terdapat 13 orang pelajar di sini yang terdiri daripada 4 orang pelajar perempuan dan 9 orang pelajar lelaki yang kebanyakannya adalah anak yatim piatu.

Dengan bantuan dan dorongan pemiliknya, Ustaz Soleh dan para petugas lain, anak-anak ini diberi perlindungan dan persekolahan dengan sempurna agar menjadi insan yang memiliki siasah diri mulia suatu hari nanti. Pihak KTNS Holdings Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000 yang kemudiannya ditambah pula menerusi derma kilat para peserta berjumlah RM800.

Kegembiraan terpancar di wajah adik-adik ini ketika dibawa menaiki motosikal ke kawasan sekitar. Walaupun tidak lama, ia adalah satu kenangan manis yang tak mungkin dapat dilupakan. Langit kembali gelap dan ini memaksa para peserta mengucapkan selamat tinggal buat adik-adik di Badan Amal Darul Mustafa.

Sampai di Cherry Chalet, semuanya menyegarkan badan. Ada yang mandi sungai... ada yang mandi di bilik air. Ikut sukalah! Acara pada malam terakhir di Janda Baik memang istimewa. Makan malam BBQ dan cabutan bertuah.

Bau ayam, kambing, sosej dan jagung bakar membuka selera, lebih-lebih lagi dalam cuaca yang sejuk. Terima kasih buat rakan-rakan yang tolong marinate dan tolong bakar. Memang sedap... hingga menjilat jari! Hadiah-hadiah menarik menanti para peserta. Apa yang penting, semua dapat hadiah... kecil atau besar bergantung pada nasib ya!

Hadiah dah dapat... perut pun kenyang, masa untuk nyanyi! Memang tak sangka, rider pun ramai yang ada bakat menyanyi termasuklah En. Alan Lee sendiri. Bagi yang tidak menyanyi, inilah masanya untuk bercerita mengenai dunia motosikal dan pengalaman masing-masing.

Memang sangat berharga apabila dapat berkongsikan ilmu bersama mereka yang lebih awal menikmati dunia dua roda antaranya Pak Nasir yang telah mengembara ke tujuh buah negara dengan KTNS RS3nya dan Ms Anita bersama CFMOTO ke Borneo. Disiplin, rendah diri, saling menghormati dan patuhi undang-undang adalah ciri-ciri utama yang perlu dimiliki oleh setiap penunggang agar setiap perjalanan yang diambil akan lebih selamat dan menyeronokkan.

“Saya memang sukakan dunia dua roda dan di Malaysia memang antara tempat terbaik untuk bermotosikal. Ini disebabkan cuacanya, keadaan jalan dan gaya hidup masyarakat Malaysia yang rata-rata akan bermotosikal. Saya seronok dapat bersama-sama dengan kawan-kawan dalam acara ini. Dapat menunggang bersama dan mengisi masa lapang di suasana hutan seperti ini,” kata Sdr Adam Pottet, seorang pencinta motosikal dari USA yang hadir ke Jamboree kali ini dengan menunggang KTNS RS3.

“Perjumpaan seperti ini memang menarik kerana dapat berkumpul dan bertukar-tukar idea, berkongsi info terkini, masalah motosikal, cara-cara nak atasi, berjumpa terus dengan kakitangan KTNS dan mendengar kisah pengembaraan yang sememangnya menaikkan semangat dalam permotoran. Saya cukup berpuas hati dengan layanan serta respons pantas pihak CFMOTO dan KTNS terhadap setiap masalah yang dihadapi oleh para pemilik. Inilah yang harus diteruskan kerana menambah kepercayaan pengguna terhadap jenama ini,” kata Sdr Zul, pemilik CFMOTO 650MT dari Sungai Petani.

Para peserta mula meninggalkan tapak perkhemahan pada hari Ahad, 1 Disember 2019 menuju ke destinasi masing-masing. Ada yang menyambung perjalanan ke lokasi lain dan ada juga yang terus pulang ke rumah. Semoga semuanya selamat tiba dan terus menunggang dengan berhemah.

Tidak lupakan juga pada kakitangan KTNS seperti Abang Zarafullah, Saiful, Amirul, Haikel dan Jamil yang bertungkus lumus memastikan program berjalan dengan lancar. Terima kasih daun keladi... Hingga jumpa lagi. RR

Isu Pada

Januari 2020

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Disyorkan untuk anda
Model Baru

Moto Morini Calibro 700 Masuki Pasaran Negara. Harga bermula RM35,888

Mforce Bike Holding selaku pengedar rasmi jenama Moto Morini di Malaysia dengan bangganya melancarkan model ketiga hari ini iaitu Calibro 700.

Model Baru

EICMA 2024: Nikmati Dunia Pengembaraan Dengan Voge Valico 800DS Rally

Voge menggunakan pentas global iaitu EICMA untuk melancarkan model kembara terbarunya iaitu Valico 800DS. Ia adalah sebuah jentera yang memberi cabaran dalam segmen Kembara/Adventure

Dari Litar

Podium Berganda Buat Qabil Di Sepanyol & Raih Keempat Keseluruhan di ESBK

Qabil Irfan menutup musim Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) Moto4 dengan podium berganda di pusingan akhir yang berlangsung di Circuito de Jerez, Sepanyol.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.