Boon Siew Honda Sumbang RM100,000 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang
Boon Siew Honda (BSH) telah menyumbang RM100,000 kepada Tabung Covid-19 Pulau Pinang dalam usaha untuk melengkapkan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memerangi penularan wabak Covid-19.
Majlis penyampaian sumbangan dana tersebut diadakan di Komtar dan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow serta Pengarah Urusan Boon Siew Honda, En. Yoshitaka Nakamura. Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Alam Sekitar Negeri, YB Phee Boon Poh, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, YB Dr. Norlela Ariffin, ADUN Air Itam iaitu YB Joseph Ng dan Dato' Sri Datuk Wira Tan Hui Jing (Pengerusi Boon Siew Honda).
“Kami berterima kasih kepada semua Barisan Hadapan yang telah bekerja keras demi menentang pandemik ini. Sebagai warga korporat yang bertanggungjawab, BSH memainkan peranannya dalam memberikan kembali kepada masyarakat serta berganding bahu dalam perjuangan ini. Kami berharap sumbangan ini dapat disalurkan bagi menyokong pengembangan dan peningkatan sistem penjagaan kesihatan negeri ini, ”kata En. Nakamura.
Boon Siew Honda amat bersetuju dan akui strategi 3T (Testing, Tracing, Treating) yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri untuk membendung penyebaran Covid-19.
"Kami memahami bahawa T terakhir iaitu 'Treating atau Merawat adalah fasa yang paling mencabar kerana keberkesanannya ditentukan berdasarkan kemampuan sistem penjagaan kesihatan. Hospital dan Pusat Kuarantin hampir penuh, kita mesti bertindak pantas untuk membantu menangani kes-kes yang semakin meningkat, ”kata Dato’ Sri Datuk Wira Tan Hui Jing. RR
Popular