Royal Enfield Interceptor 650 - Pecah Rekod Kelajuan!
Prestasi dan kemantapan jentera dari India, Royal Enfield Interceptor 650 atau 'Sabre' telah didedahkan serta dibuktikan oleh pengedar RE di Australia, Mid Life Cycles dengan kejayaan memecahkan rekod kelas M-F 650 Unstreamlined 650cc Modified Production di acara Speed Week yang dijalankan bulan Mac lalu di Tasik Gairdner, Australia Selatan. Penganjuran ini setaraf acara Bonneville Speed Trials.
Jentera pemecah rekod ini ditunggang oleh pelumba salt racer iaitu Charlie Hallam. Mid Life Cycles Interceptor 650 ini ditala oleh Hallam Racing Australia (HRA) telah memadamkan rekod yang bertahan selama empat tahun dengan kelajuan terbaru iaitu 212.514 kmj – kelajuan yang sangat mengagumkan untuk sebuah jentera 650cc, OHC, sistem penyejuk udara, kembar-parallel.
Rekod sebelum ini ialah 193.059 kmj yang dilakukan oleh Nat Gagan pada tahun 2016 menerusi Suzuki GSX-R600 dengan enjin empat silinder DOHC. Hallam telah pun memecahkan ciptaan Suzuki itu pada hari pertama Speed Week 2021 dengan pecutan pertama yang berkelajuan 195.989kmj dan kemudiannya diperbaiki lagi dengan catatan 198.916kmj (ketika berpatah balik) dan menutup hari pertama dengan catatan rekod dua-hala sementara, 197.452kmj.
Itu hanya permulaan. Pada awal pagi hari kedua, Hallam dan RE Interceptor 650 telah memecut dengan cukup mengagumkan dan berjaya mencatatkan kelajuan 207.500kmj dan 209.543kmj untuk mencatatkan rekod dua-hala sementara iaitu 208.522kmj. Saingan dalam kelas ini memang sengit terutamanya oleh jentera Suzuki GSX-R600 yang diubahsuai menjadi mesin jalanan tetapi akhirnya tidak mampu untuk menandingi kepantasan RE yang sekali lagi membuat kejutan untuk mencatatkan 209.810kmj di sesi tengahari.
Hari Ketiga (10 Mac 2021), di bawah langit yang semakin gelap, Hallam telah mencipta sejarah apabila mengerahkan tenaga Sabre 'berlari' sepantas ribut untuk mencapai kelajuan tertinggi iaitu 215.296kmj dan meraih rekod dua-hala iaitu 212.514 kmj. Ia adalah satu usaha yang sangat memuaskan. Mid Life Cycles kemudiannya dianugerahkan dengan Best Presented Motorcycle di Speed Week 2021.
Mid Life Cycles-HRA sememangnya kecewa pada Mac tahun lalu. Ketika pasukan hebat ini ingin bertolak menuju ke Tasil Gairdner, penganjuran acara ini terpaksa dibatalkan disebabkan penularan wabak Covid-19 dan tahun ini mereka membuktikan segalanya.
Kejayaan penganjuran tahun ini datangnya daripada kerja keras pihak penganjur dan para sukarelawan dari DLRA (Dry Lakes Racers Australia), walaupun tanpa pegawai FIM yang biasanya akan hadir (sekatan kuarantin Australia) untuk mengesahkan rekod ini secara rasmi sebagai World Land Speed Records.
Lebih mencabar, acara perlumbaan tahun ini terpaksa dijadualkan semula apabila ribut telah melanda Tasik Gairdner pada hari ketiga, tidak beberapa lama selepas Hallam mencipta rekod baru ini. Ribut dan hujan yang cukup lama itu telah menyebabkan permukaan tasik tidak lagi selamat untuk tunggangan laju.
Mid Life Cycle yang beroperasi di Melbourne merupakan salah satu pengedar Royal Enfield yang terkemuka dan terkenal dengan kepakaran mereka dalam pengubahsuaian motosikal, khususnya Royal Enfield. Antara ciptaannya yang bertaraf dunia ialah RE350 Brass Rajah. Kini, mereka menumpukan untuk memperkenalkan barisan jentera 650cc baru dari RE iaitu Interceptor dan Continental GT. Sudah lebih daripada 200 unit telah dijual dan kini sedang menunggu kehadiran beberapa model RE lagi. Dari segi nisbah penjualan, lebih daripada 60% model Interceptor dan selebihnya ialah GT650.
Untuk membuktikan kemantapan jentera RE, mereka telah membangunkan alat/komponen peningkatan prestasi buat para pelanggan. Mid Life Cycles telah mencipta Royal Enfield Salt Racer dua tahun lalu, yang sememangnya bertujuan untuk mencipta rekod Land Speed baru di Tasik Gairdner dengannya.
CEO Mid Life Cycles, Michael Catchpole telah melancarkan jentera rendah dengan kerangka asal di 2020 Island Classic yang diadakan di Phillip Island. Ia adalah Mesyuarat Perlumbaan Jalan Raya (Road Race) yang cukup bersejarah. Selepas wabak melanda dunia, perlumbaan Speed Week terpaksa dibatalkan dan ia telah memberi lebih masa buat Mid Life Cycles untuk menghalusi dan menambahbaik jentera mereka.
“Enjin Royal Enfield Interceptor 650 memudahkan kami membuat pengubahsuaian dari segi prestasi dan kami membuat keputusan untuk menggunakan kerangka standard seperti mana yang ditetapkan dalam peraturan M-F-650,” kata Catchpole, 65 tahun.
“Proses pembinaan ini telah dilakukan di Hallam Racing Australia yang diketuai oleh Andrew Hallam, salah seorang pakar talaan prestasi motosikal di Australia. Untuk kelas Modified Production, kami kekalkan enjin standard 648cc dan gunakan berbagai alatan talaan termasuklah sesondol khas yang khusus dibangunkan oleh Hallam Racing. Ia juga kini boleh digunakan untuk jentera jalanan berkelajuan tinggi. Kami juga sedang membangunkan kit prestasi tinggi untuk model Interceptor dan GT 650 biasa dalam versi Stage 1, Stage 2 dan Stage 3.
Model pemecah rekod ini dimantapkan dengan kepala silinder baru yang diubahsuai oleh Hallam Racing. Bentuk kebuk pembakaran dan sistem pengaliran udara sistem ekzos telah direka semula. Injap kemasukan kini lebih besar dan ekzos berdiameter standard kini dikawal serta dikendalikan oleh aci sesondol berprestasi dari HRA.
Selepas menambah kepelbagaian alatan prestasi pada jentera ini, RE Interceptor 'baru' ini menawarkan hantaran kuasa setinggi (59.45bhp di tayar belakang dan sekitar 70bhp bacaan di bahagian engkol) pada 7,116 rpm. Tork maksimum pula setinggi 63.20Nm pada 6,491rpm. Sproket depan dan belakang juga telah diubah untuk lebih mantap.
Tapak roda telah dipanjang kepada 1,545mm untuk lebih stabil dengan memasang lengan ayun Harley-Davidson Dyna yang 130mm lebih panjang dikawal oleh penyerap hentak Ohlins yang boleh dilaras sepenuhnya. Fork hadapan asal telah ditukar dengan fork Ohlins 43mm boleh laras. Rim aluminium telah digunakan agar lebih ringan. Brek depan tidak digunakan dan untuk acara Salt Race ini, brek belakang pun hanyalah yang bersaiz kecil.
Tangki bahan api kini berada di bawah pelana. Berat keseluruhan jentera ini hampir tidak relevan untuk digunakan dalam perlumbaan ini - sebenarnya, anda sering perlu menambahkan kilo ke bahagian belakang untuk dapatkan lebih daya tarikan. Michael Catchpole menyatakan jentera RE dari Mid Life Cycles adalah 30kg lebih ringan daripada Interceptor 650 yang asal.
Untuk Mid Life Cycles, prestasi memecahkan rekod Interceptor 650 Salt Racer telah menguatkan keyakinan pasukan terhadap keupayaan enjin berkembar milik Royal Enfield 650 Twin dan ketegaran kerangka keluli yang telah menukar sebuah mesin jalanan biasa kepada jentera perlumbaan hebat.
Pasukan ini sedang membangunkan enjin 648cc ini dan turut mempertingkatkan kemantapan kerangka dan kemasan luarannya (masih dalam peraturan M-F 650 untuk rekod seterusnya iaitu lebih daripada 220kmj. Kejayaan mereka ini juga telah memberi peluang pembangunan dilakukan untuk menawarkan kit prestasi tinggi untuk jentera-jentera kembar Royal 650. Jangkaan akan ada kit gerek bersaiz besar dari HRA tidak lama lagi dan Andrew Hallam telah pun memiliki enjin Royal Enfield 865cc bergerek besar yang akan dibangunkan kelak. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Mid Life Cycles & AC Archives
Popular