Motor Honda Lama Yang Makin Sukar Kita Nak Jumpa....
Pada era 1980an dan 1990an dulu, kita telah diperkenalkan banyak model-model mantap yang diminati dan mendapat permintaan hingga ke hari ini. Okay...RR nak kenang kembali beberapa model Honda yang dirasakan cukup unik, menarik dan masih relevan jika digunapakai oleh peminat motosikal di Malaysia.
Kita mulakan dengan model Honda C70 (Lampu Petak). Kalau katakan ia adalah Motosikal ‘evergreen’ setuju tak? Memang ia motosikal idaman para remaja suatu ketika dulu. C70 digunakan di mana sahaja, oleh sesiapa sahaja dan untuk semua jenis tujuan.
Cantik, selesa, tahan lasak dan jimat. Kita boleh tengok C70 digunakan untuk ke tempat kerja, ke pusat kuliah, berniaga dan berlibur. Kalau baru dapat lesen, C70 memang menjadi pilihan – mudah dan murah. Kuncinya kecil dan pendek saja – zaman tu, ramai kawan kita yang buat keychain pakai dawai saja atau beli beg kunci kulit (yang boleh klip kunci-kunci kecil). Yang penting, kunci tak jatuh.
C70 telah melalui beberapa perubahan agar seiringan dengan zaman dan tidak pernah menghampakan setiap pemiliknya. Bila tengok ianya dijaga dengan baik, model ini tetap cantik.
Honda Fame! Fuh...ini juga motor ‘lejen’ yang diminati dan dicari sampai sekarang ini walaupun harga pasaran makin keras! Rekabentuk Fame yang unik – lebih-lebih lagi pada bahagian ‘windshield’ mini di depan yang memudahkan ia dikenali ramai. Ketika dilancarkan, Fame hadir dalam tiga warna iaitu Candy Wine Berry Red, Elephant Grey dan Century Brown.
Model ini juga makin popular dan proses restorasi juga bukan murah – malah ada yang kongsikan bahawa ada sesetengah harganya tak masuk akal. Honda Fame didatangkan dengan enjin 4 lejang, sistem penyejuk udara yang memiliki kuasa 7.8ps pada 8,500rpm dan tork 0.85kgm pada 5,500rpm.
Tubuh badannya diperkuatkan dengan casis jenis ‘backbone’ dan sistem transmisi 3 kelajuan jenis berputar. Tangkinya bersaiz 4 liter dengan simpanan 0.9 liter.
Honda Hurricane 110 terkenal dengan karaktornya yang lincah dan laju! Enjinnnya jenis 2 lejang, silinder tunggal, 105.1cc yang berkuasa 12PS pada 7,500rpm dan tork 1.2kgm pada 6,500rpm. Hurricane memang lain daripada moped biasa...ia ‘bogel’ dan tawarkan bunyi yang memang padu.
Ramai di zaman itu, ramai juga yang menukar sistem ekzos kepada yang lebih bingit dan bila pulas pendikit, satu bandar jadi bising. Panel meter model ini ringkas. Satu meter analog untuk kelajuan, ada penunjuk posisi gear tahap bahan api dan beberapa lampu amaran. Harganya sekarang memang tinggi – bergantung pada kondisinya.
Honda NX105 merupakan model yang memiliki plaform enjin yang hampir sama dengan Hurricane termasuklah pengiraan kadar kuasa, tork dan banyak lagi. NX105 dilengkapkan dengan sistem brek cakera yang mantap dan diperkenalkan dalam tiga warna pilihan iaitu Commando Black, Atlantis Blue dan Flaming Red.
Antara ciri-ciri menarik/unik yang dimilikinya ialah lampu belakang berspoiler yang direka untuk memberi lampu lebih cerah dan mudah dilihat. Panel meternya juga kemas, ringkas dan mudah dibaca.
Jom berkenalan pula dengan Honda Raider 135. Sebuah model jalanan yang dilengkapkan dengan enjin 2 lejang, silinder tunggal dengan sistem ATAC. Nama panjang bagi ATAC ini ialah Auto Torque Amplification Chamber yang merupakan teknologi dari dunia perlumbaan. Ia telah digunakan pada jentera GP Honda CR125R dan CR250R tahun 1984 dan juga jentera GP500. Secara ringkasnya sistem in membantu peningkatan kuasa di peringkat pertengahan.
Honda Raider menawarkan kuasa 23PS pada 9,000rpm dan 18.6Nm pada 8,500rpm dengan sistem transmisi 6-kelajuan. Dengan bunyi yang mantap dan rekabentuk garang, ia boleh dikatakan saingan utama buat Yamaha RXZ suatu ketika dulu.
Kini ia adalah barangan koleksi yang berharga. Ramai pemiliknya sanggup berbelanja untuk ‘restore’ semula jadikannnya seperti yang asal. Apapun, untuk dapatkan semula bahagian atau komponen model initidaklah begitu sukar cuma perlu rajin (mencari), sediakan duit pengeras dan masa (jangan terburu-buru).
Banyak unit-unit Honda Raider yang dah pun dibaikpulih dapat kita lihat di laman sosial seperti FB, IG dan di blog individu peminat jentera retro. Teruskan berkarya dan jaga motosikal anda dengan baik.
Honda NSR150R dan NSR150RR juga pernah digilai dan menjadi pilihan peminat jentera sport suatu ketika dulu. Ia cantik, tahan lasak dan laju! NSR150R didatangkan dengan lampu hadapan empat segi yang memiliki kuasa pecutan yang mantap. Mode ini tawarkan kuasa 31PS pada 10,500rpm dengan sistem transmisi 6 kelajuan yang lancar.
Bunyi ekzos standard memang mantap lebih-lebih lagi apabila putaran enjin diperah tinggi. Kestabilannya dikawal oleh fork hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak mono di bahagian belakang. Berat kering model ini ialah 115kg dengan saiz tangki petrol sebesar 10 liter.
Beberapa tahun selepas itu, Honda perkenalkan pula model NSR150RR yang menawarkan rekabentuk dan enjin serba baru – padu! Model ini hadir dengan rekaan berbentuk bulat untuk lampu-lampu di depan dan belakang. Enjinnya baru ini juga lebih mantap dengan 35PS pada 10,500rpm dan tork 2.55Kg-m pada 9,500rpm.
Dari segi saiznya, model ‘double R’ ini pendek sedikit (1985mm) berbanding model R iaitu 1990mm. Badan model RR 35mm lebih lebar tetapi kedua-dua berkongsi ketinggian yang sama iaitu 1050mm. Tangki model baru ini juga sedikit besar iaitu 10.5 liter dengan simpanan 2.7 liter dan ia 1kg lebih berat berbanding model R.
NSR150RR dipadankan dengan sportrim 6 batang berwarna putih yang tampak garang dan bergaya. Ia didatangkan dengan tayar-tayar bersaiz 90/90 x 17 (depan) dan 100/90 x 18 (belakang) yang dikawal dengan cemerlang oleh sistem brek cakera yang mantap.
RR juga pernah menunggang uji model NSR150RR dan sememangnya ia motor yang pantas..sensasi. Pandu uji untuk model ini terdapat dalam majalah RR Oktober 1996 lalu.
Itulah sedikit perkongsian motor-motor Honda yang pernah popular di pasaran negara suatu ketika dulu. Dengan adanya pencinta retro yang sentiasa mencari, membeli dan membaikpulih sesetengah jentera ‘rare’ ini, kita masih dapat melihat ianya bergerak lancar di jalanan. RR