Kawasaki Raikan 10 Pemilik Terawal Ninja H2 & H2R
Model terulung, Kawasaki Ninja H2 dan H2R merupakan jentera idaman hampir setiap pencinta motosikal di seluruh dunia. Model-model ini menawarkan sistem enjin serba baru, kuasa hantaran amat menakjubkan serta rekabentuk yang mantap. Tanggal 30 April lalu pastinya menjadi sejarah buat sembilan orang penunggang motosikal yang merupakan penerima pertama jentera-jentera ini di Malaysia.
Untuk meraikannya, Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) telah menganjurkan majlis penyerahan kunci kepada para pemilik Ninja H2 dan H2R yang diadakan di perkarangan bangunan Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. “Ketika di majlis Dealer's Gala Dinner and Convention November lalu, KMSB telah mempamerkan H2 dan H2R ini dan menegaskan bahawa kedua-duanya akan berada di Malaysia pada bulan April. Jadi, majlis hari ini adalah untuk memberi penghargaan kepada para pemilik pertama Kawasaki H2 dan H2R seperti mana yang dijanjikan,” kata Raja Dato' Hanipuddin Raja Dato' Nong Chik, Pengerusi Eksekutif KMSB.
Seramai lapan orang penerima kunci untuk model Ninja H2 iaitu En. Kenneth Patrick Wang, En. Robert Barraclough, En. Lum Wen Foo, En. Arif Danial Abd Jalil, En. Chua Chern Kwang, En. Khoo Chooi Hua, En. Mohamad Sabri Ismail dan En. Ahmad Faez Yahaya manakala dua pemilik Ninja H2R ialah En. Steven Ong dan En. Ahmad Faez Yahaya. Sehubungan itu, menjadi kebanggaan negara apabila mendapati En. Ahmad Faez merupakan orang pertama di dunia yang memiliki kedua-dua model H2 dan H2R.
Kepada para pemilik H2 dan H2R, pihak KMSB telah melancarkan pasukan Elite Squad yang dilengkapi dengan unit mobil untuk memberi tumpuan dalam bantuan dan sokongan lepasan jualan. Elite Squad ini terdiri daripada para pekerja KMSB yang dilatih dengan sebaik-baiknya untuk menyelenggara mesin ini. RR
Popular