Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 11 Jun 2021

Sirih Pulang Ke Gagang - Bahagian 2 : ZX-10 Kini Ke Arah Pemulihan Asal

Menurut kata Faizal, tuanpunya terakhir ZX-10 ini sebelum ianya kembali kepada RR, tidak terlalu banyak belanja yang diperlukan untuk membaik pulihnya kembali ke atas jalanraya. Anggarannya “dalam RM2,000 sahaja.”

Saya yakin kenyataannya ini dibuat dengan ikhlas, dan seperti yang disebutkan dalam Bahagian 1, saya juga menerimanya dengan ikhlas. Tetapi, pada tatapan pertama semasa pecahan-pecahan - ya, pecahan-pecahan - motosikal itu dikeluarkan daripada van yang telah mengangkutnya semalaman dari Marang ianya menjadi jelas kepada saya bahawa anggarannya itu terlalu jauh dari sasaran.

Yusseri kembali  ke kedai Ah Seng  untuk menguji  Kawasaki ZX-10  walaupun masih  melalui proses  pemulihan sedikit  demi sedikit ke  keadaan asal.
Yusseri kembali ke kedai Ah Seng untuk menguji Kawasaki ZX-10 walaupun masih melalui proses pemulihan sedikit demi sedikit ke keadaan asal.

Walaupun saya terang-terang bukan seorang pakar dalam bidang restorasi motosikal, tetapi saya rasa tidak perlu menjadi seorang mahaguru atau pendeta restorasi untuk menyedari bahawa jumlah anggaran awal itu umpama menganggarkan sebuah bangunan pencakar langit yang sedang marak terbakar boleh dipadamkan apinya dengan sebuah picagari.

Kali terakhir ZX-10 ini berada di jalanraya ialah pada tahun 2013 atau 2014. Malah kali terakhir ZX-10 dibayar cukai jalannya (Lesen Kenderaan Motor) ialah pada tahun 2012! Jadi telah 8 tahun motor kesayangan arwah MYB ini tersadai tanpa apa-apa pergerakan yang mematuhi undang-undang.

Jadi, hanya RM2,000 ...?

Waktu ekspedisi TMBA, ramai  peserta mengagumi Kawasaki  ZX-10. Asyik bergambar dengan  motor ini & pemiliknya
Waktu ekspedisi TMBA, ramai peserta mengagumi Kawasaki ZX-10. Asyik bergambar dengan motor ini & pemiliknya

Saya bertanya kepada Ah Seng, “Seng, boleh hidup ke tidak ni?” “Mesti boleh punya!” jawabnya. “Kita kena tengok dia punya jantung dulu apa macam, lepas itu tengok yang lain-lain.” Maksud Ah Seng, enjinnya.

Pada hari pertama itu, jelas kita tidak akan dapat menghidupkan enjin 4-silinder itu. Kotak udaranya di dalam kotak bersama dengan karburetornya yang masih dibalut dengan plastik (yang mempunyai bola-bola angin kecil itu) dan tangki petrolnya telah menjadi residensi untuk ferik oksida buat sekian lamanya.

Enjin diturunkan daripada casis untuk menggantikan  spring pulangan gear -Gear Shift Return Spring-.
Enjin diturunkan daripada casis untuk menggantikan spring pulangan gear -Gear Shift Return Spring-.

Dalam hari-hari berikutnya, satu persatu diuraikan dan ditentukan apa yang perlu dibuat. Antara penilaian awal yang dibuat untuk menentukan apa yang perlu dibaiki atau diganti ...

1. Tangki petrol perlu dihantar untuk dibersihkan dan diletakkan “ubat”. Itu kata Ah Seng. Ubat yang dimaksudkan -- setelah saya terjemahkan di dalam kamus kepala saya -- ialah pencegah karat.

2. Hos kepada radiator sudah keras sehingga rapuh, maka perlu juga diganti. Ah Seng mempunyai alternatif kepada hos getah polimer itu, dengan menggunakan paip aloi yang lebih tahan lama. Radiator itu sendiri perlu diperbaiki kerana bucu-bucunya telah karat dan menunjukkan kesan bocor.

Kedua-dua tangki dan radiator ini perlu dihantar kepada seorang pengusaha luar (yang menurut Ah Seng juga bernama Ah Seng).

Radiator lama -kiri- & baru.
Radiator lama -kiri- & baru.

3. Kotak udaranya (airbox) mempunyai 4 penghubung kepada karburetor dan kesemua penghubungnya perlu digantikan juga. Kalau tidak diganti, masih boleh berjalan, tetapi udara yang disedut ke dalam karburetor dan langsungnya ke dalam enjin tidak akan melalui penapisan pula.

4. Dan menyebut tentang penapisan, penapis udara juga perlu diganti.

5. Bercerita tentang karburetornya pula … ZX-10 ini, seperti hampir semua motosikal “sport” dan “touring” Jepun menggunakan enjin empat silinder bersiri, dan sebelum sistem pancitan bahan api elektronik (electronic fuel injection, EFI) menjadi kebiasaan dan menyebabkan kepupusannya, setiap silinder “disuapkan” oleh sebuah karburetor. Ini bermakna terdapat empat karburetor bersiri yang dipasangkan kepada enjin, dan satu daripadanya, menurut Ah Seng, tidak lagi berfungsi dengan baik.

Ini bermakna keseluruhan badan karburetor itu perlu diganti.

Penalaan injap menggunakan Shims.
Penalaan injap menggunakan Shims.

Ini semua perkara yang berkaitan dengan enjinnya, sebelum enjin itu sendiri dinyalakan. Buat penilaian awal ini, tidak ada apa-apa kesimpulan yang boleh dilakukan berkenaan kesihatan blok enjin itu sendiri.

Menurut Ah Seng, tiada masalah besar pada enjin itu kerana dia sendiri telah bertanya dengan Faizal dan Faizal telah menjawab dengan yakinnya enjin motosikal itu dalam keadaan yang elok.

Saya melihat kembali senarai alat-alat yang perlu dibaiki ataupun diganti dan berkata kepada Ah Seng, “Hang konfiden ke Ah Seng?” “Belum tahu lagi,” jawabnya. Maka di saat itu mula terasa denyutan jantung yang tersekat-sekat di dalam dada.

Pandangan  dari belakang  motosikal.
Pandangan dari belakang motosikal.

“Tapi aku rasa macam ok ni. Kalau tak ok, kita boleh ganti enjin baru,” katanya lagi. “Enjin boleh beli dari Jepun, mesti cantik punya.” Aduh!

Seperti yang telah dinyatakan pada awal cerita ini, saya bukanlah seorang pakar di dalam bidang restorasi motosikal. Malah, boleh dikatakan saya bukan seorang pakar tentang motosikal pun. Dalam pada itu juga, sebelum ini saya tidaklah menjadi seorang peminat motosikal retro (walaupun sekarang ini macam sudah timbul minat). Saya lebih terpengaruh dengan pergerakan arus teknologi, biar di bidang elektronik dan komputer mahupun pada motosikal.

Saspensi Hagon -kiri- & saspensi  Unitrak lama daripada motosikal.
Saspensi Hagon -kiri- & saspensi Unitrak lama daripada motosikal.

Tujuan saya membuat pengakuan ini ialah untuk meletakkan konteks kepada usaha untuk mengembalikan semula ZX-10 berdaftarkan WBT 4134 ini kepada asalnya.

Motosikal ini, seperti yang ditulis pada bahagian satu, adalah lebih daripada hanya sebuah kenderaan. Ia membawa bersamanya kenangan dari hari-hari awal kewujudan majalah RODARODA (RR). Penjelajahan Trans Malaysia Biking Adventure (TMBA) yang dianjurkan pada tahun 1989, 1990 dan 1991 melibatkan lebih daripada 4000 para penunggang motosikal secara keseluruhan dan Ekspedisi Kelab Roda yang dianjurkan hampir setiap tahun ke destinasi-destinasi menarik di Semenanjung Malaysia, membentuk sebahagian besar memori ahli-ahli kelab bersama-sama dengan arwah MYB.

Maka, dari segi itu, jika “jantungnya” ditukarganti, saya merasakan seakan “rohnya” juga akan pergi. Yang tinggal hanya kerangka aloi aluminium yang membawa nombor plet sebuah kenderaan yang suatu ketika dulu dikenali ramai.

Proses  membuat  ujian  mampatan  enjin.
Proses membuat ujian mampatan enjin.

Tetapi itu hanya pendapat saya. Jika perlu ditukar jantungnya, tukarlah. Akan tetapi, sudah menjadi ketentuan bahawa ini bukanlah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Enjinnya masih teguh, rupanya. Hakikat ini telah ditentukan beberapa hari selepas usaha pemulihan telah dimulakan..

Menggunakan alat perkakas ciptaannya sendiri (yang menyerupai alat laluan intravena di hospital), Ah Seng telah menyuapkan petrol ke dalam karburetor yang telah dipasang kepada enjin dan memulakannya.

BRAAAPPPPP! BRAAAPPPP! Hingar! Kerana enjin masih “terbuka” dan pancarongga ekzos tidak disambungkan kepadanya lagi. “Jantung OK!” kata Ah Seng. “OK!”

Alat saluran bahan api dibuat oleh Ah Seng yang  sama seperti alat saluran intravena di hospital.
Alat saluran bahan api dibuat oleh Ah Seng yang sama seperti alat saluran intravena di hospital.

Alhamdulilllah. Senang sedikit rasa di hati. Kerana, bukan sahaja jantungnya dapat diselamatkan, malah poket saya pun tidak menjadi bertambah ringan lagi!

Namun begitu, bukan hanya enjinnya yang perlu dipulihkan kembali. Sistem ekzos asal adalah sistem 4 ke dalam 2. Ini merupakan sesuatu yang standard untuk motosikal 4-silinder zaman itu. Tetapi salah seorang pemililk ZX-10 selepas arwah MYB telah menukarnya kepada sistem 4-2-1.

Pada asasnya, ini bukanlah sesuatu yang luarbiasa. Ramai pemilik motosikal yang menukar sistem ekzos kenderaan mereka, dan pengubahan ini secara teorinya boleh memberikan kenaikan kuasa enjin pada RPM yang tinggi.

Fairing bawah sebelah kiri  motosikal yang telah retak.
Fairing bawah sebelah kiri motosikal yang telah retak.

Tetapi, saya ingin mengembalikan sistem ekzos kepada yang asal. Pertama, kerana pengubahan yang dilakukan tidak kemas. Pancarongga (manifold) asal telah dipotong di dua bahagian dan dikimpal kembali dengan logam lain untuk dijadikan sistem 4-2-1 itu. Keduanya, ekzos yang digunakan tidak diketahui asalnya.

Di dalam dunia motosikal retro dan kustom, pembikinan ekzos khas adalah satu kebiasaan, dan saya diberitahu (tetapi belum sempat menyiasat) terdapat beberapa sifu pembikinan di tanahair kita ini. Mungkin juga ekzos ini adalah hasil tangan daripada salah seorang sifu itu … tetapi mungkin juga tidak.

Oleh kerana kedua-dua ekzos asal masih ada lagi, disertakan di dalam kotak yang dihantar bersama-sama casis dan enjin awal dahulu, saya meminta Ah Seng untuk mencari pancarongga gantian supaya sistem ekzos kembali seperti asal.

Rantai, sprocket dan tayar belakang baru.
Rantai, sprocket dan tayar belakang baru.

Rantai dan sproket juga perlu diganti, dan ini adalah perkara mudah, dan tidaklah terlalu mahal.

Tayarnya pula … kedua-dua tayar bertarikh 2012. Hampir 9 tahun, maka perlu diganti juga. Dan, kerana ZX-10 menggunakan rim berukuran 18 inci di belakang (dibandingkan dengan konvensi semasa di mana hampir kesemua motosikal sport touring menggunakan tayar 17 inci), pilihan tayar adalah terhad. Tetapi harganya tidaklah sehingga mencakar langit.

Itulah antara bahagian-bahagian dan perkakasan yang telah dikenalpasti dan diperbaiki ataupun digantikan. Sedikit demi sedikit, ZX-10 arwah MYB ini dibawa kembali ke keadaan hampir pulih.

Sebelum ini saya ada menyatakan kelegaan saya apabila melihat enjinnya dapat dinyalakan. Ini bermakna enjin ZX-10 tidak perlu diganti, malah dari keadaan sedia adanya, tidak juga perlu dioverhaul. Kepala silinder tidak perlu diasah dan digilap. Bakul klac tidak perlu dibuka dan ditukarganti. Kotak gear juga tidak ada apa-apa yang perlu dilakukan.

Penapis udara lama yang telah hancur dimakan masa.
Penapis udara lama yang telah hancur dimakan masa.

Dalam sekitar 3 minggu setelah proses pemulihan dimulakan, saya menganggarkan bahawa kebanyakan kerja yang perlu dibuat telah diselesaikan. Tayar baru telah dipasang, rantai dan sproket telah diganti. Tangki petrol telah di“rawat” dan dikembalikan. Karburetor baru pun telah sampai. Saya juga berjaya mendapatkan penapis udara K&N daripada Shopee (tidak disangka, cuba mencari melalui telefon bimbit, terjumpa pula). Radiator juga telah kembali dan penyambung kotak udara ke karburetor telah diperolehi.

Dan yang pentingnya, enjinnya masih berjalan. Jantungnya berdetik. Tetapi…

Ianya terjadi pada satu Ahad petang, Ah Seng menghantar mesej suara melalui WhatsApp kepada saya. Katanya, ada masalah. Dia cuba menerangkannya tetapi saya tidak memahami apa yang dikatakan olehnya.

Rupabentuk  jentera selepas  dibogelkan.
Rupabentuk jentera selepas dibogelkan.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan pertukaran gear. Ianya tidak boleh “balik”. Springnya sudah tiada, menurutnya. “Tak faham,” jawab saya. “Datang sinilah, saya tunjuk,” katanya kembali. Maka, selepas Maghrib saya bergerak ke Cheras, ke bengkelnya.

“Ha, tengok ni,” kata Ah Seng. ZX-10 ketika itu berada di tongkat tengahnya, dengan tayar belakangnya berpusing bebas. Ah Seng memulakan enjin, dan meletakkan kenderaan itu ke dalam gear pertama.

“Tengok, dia tak ada balik,” katanya. “Huh?” jawab saya. Ah Seng menukar gear ke gear kedua. “Tengok!” “Huh …???” Masih tidak faham.

Kemudian, setelah dia menukar gear beberapa kali, mata saya akhirnya terbuka. Tuil penukar gear itu tidak kembali kepada posisi asal. “Ok, saya faham sekarang,” kata saya kepadanya. “Jadi tak boleh perbetulkan ke?” tanya saya pula.

Penapis udara K&N yang  dibeli di aplikasi Shopee
Penapis udara K&N yang dibeli di aplikasi Shopee

“Boleh,” jawab Ah Seng. “Tapi enjin kena turun lah. Bahagian yang diganti tidak boleh dicapai tanpa menurunkan enjin daripada casis.”

Pada mulanya, saya tidak juga memahami apa yang membuat dia gusar tentang ini, tetapi setelah beberapa ketika, pemahaman mula menjelma.

Pertama sekali, menurunkan enjin daripada casis adalah penambahan kerja yang bukan remeh. Dan keduanya, kerana ianya bukan sesuatu yang remeh, ianya akan memakan belanja tambahan pula. Tetapi bukannya ada pilihan. Tanpa spring tersebut, penukaran gear tidak boleh dilakukan dengan sempurna. Maka, tambahlah perbelanjaan.

Setelah “krisis” kecil ini diselesaikan, kita hanya menunggu tiga gantian sahaja. Bahagian fairing sisip kanan, kluster instrumen dan saspensi belakang.

Untuk saspensi belakang, saya mempunyai tiga pilihan. Pilihan pertama ialah untuk membina semula saspensi “Unitrak” sedia ada. Kedua, menukarkannya dengan saspensi jenama YSS. Ketiga, menukarkannya dengan saspensi jenama Hagon.

Petcock adalah alat yang cukup  terkenal pada satu ketika dahulu,  tetapi kini ia tidak lagi digunakan  oleh motosikal moden.
Petcock adalah alat yang cukup terkenal pada satu ketika dahulu, tetapi kini ia tidak lagi digunakan oleh motosikal moden.

Salah satu daripada pilihan ini perlu diambil kerana saspensi sedia ada sudah bocor dan tidak lagi berfungsi dengan sempurna. Saya mengambil pilihan ketiga, sebab utamanya ialah ianya paling senang untuk dibeli secara online dan telah kerap saya berurusan dengan seorang pembekal dari Itali.

Untuk fairing sisip kanan dan kluster instrumen pula, Ah Seng dan saya berusaha untuk mencarinya. Fairing sisip kanan itu memang tiada dari mulanya motosikal itu sampai ke Kuala Lumpur dari Marang, dan di sebalik usaha Ah Seng untuk mendapatkannya dari sumber-sumber kebiasaannya, tidak siapa pun yang ada.

Kluster instrumen pula, yang asalnya kini tidak lagi berfungsi dengan sempurna. Takometer langsung tidak hidup. Meter laju nampak seperti masih berfungsi, tetapi tidak boleh ditentukan sama ada ianya tepat ataupun tidak. Maka saya memerlukan gantian.

Sama seperti fairing sisip kanan, usaha Ah Seng untuk mendapatkan kluster instrumen ini juga menemui kegagalan. Tetapi saya masih terus berusaha. Cari punya cari, terjumpa sebuah perniagaan alat-alat ganti terpakai di eBay yang bertempat di negara Jerman. Kedai tersebut nampaknya telah memunggah dan meleraikan beberapa unit ZX-10 dan meletakkan untuk dijual alat-alat gantian daripada unit-unit tersebut di dalam eBay.

Fairing sisip kanan yang tiada mencacatkan jentera ini.
Fairing sisip kanan yang tiada mencacatkan jentera ini.

Tanpa berlengah lagi, saya membeli kluster instrumen dan fairing sisip kanan yang ditawarkan di eBay itu, dan memberitahu Ah Seng bahawa barang-barang tersebut dalam perjalanan.

Kini yang tinggal hanya penantian. Penantian itu sememangnya satu penyiksaan, walaupun ianya bukanlah satu penyiksaan yang berat.

Dan dalam tempoh penantian itu, saya telah ke kedai Ah Seng untuk mencuba menunggang ZX-10 itu, dengan meletakkan saspensi asal Unitrak dahulu. Saya berpesan kepadanya yang saya dalam perjalanan ke kedainya dan memintanya untuk mengeluarkan motosikal itu dari simpanan.

Sebelum ini, kali terakhir saya menunggang ZX-10 kepunyaan arwah MYB ini adalah, paling lewat, pada tahun 2000. Ketika arwah menjualnya, saya tidak tahu menahu pun. Waktu itu, saya menuntut ijazah kedoktoran (PhD) di luar negara. Maka, setelah 20 tahun (mungkin lebih), saya duduk semula di atasnya, memulas kunci, menarik tuil choke dan memicit suis mula enjin.

ZX-10 arwah MYB kembali mengaum. Saya masukkan enjin ke dalam gear pertama, pulaskan pendikit dan melepaskan klac. Gear pertama, gear kedua, gear ketiga. Pusing, turun gear, naik gear … saya menunggangnya sebanyak dua pusingan di persekitaran kedai Ah Seng. Sukar untuk digambarkan bagaimana kacukan perasaan saya ketika itu.

Jentera diletakkan dalam ruang  simpanan sementara menunggu  alat-alat ganti terakhir tiba.
Jentera diletakkan dalam ruang simpanan sementara menunggu alat-alat ganti terakhir tiba.

Seronok, tentunya, kerana jentera ini tetap satu jentera yang gagah, walaupun telah dimakan masa. Kuasanya masih boleh dirasakan, dan memanggil kepada penunggangnya untuk menghormatinya.

Hiba, kerana arwah telah tiada lagi, dan tidak dapat menyaksikan motosikalnya kembali di jalan raya, dan kembali di dakapan RR. Dan cemas, kerana breknya tidak berapa mencengkam!

Di akhir pusingan kedua, sekembalinya saya di pintu kedai Ah Seng, saya berkata kepadanya, “Ah Seng, motor ni tak boleh berhentilah! Brek lembut sangat, masuk angin!” “Tak apa, jangan risau itu brek,” jawabnya. “Saya mau buka balik dan bikin.”

Kemudian, beliau bertanya, “Apa macam rasa? Ada puas hati tak? Jalan test semua OK? Sudah mantap?”

Jawab saya, “rasa macam naik motor Bapak aku.” RR

Tamat Bahagian Dua.

Oleh: Yusseri

Isu Pada

Mei 2021

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Model Baru

Ducati Perkenalkan Panigale V2 & Streetfighter V2 Baru di Milan

Seperti biasa, Ducati memilih pameran motosikal antarabangsa EICMA untuk melancarkan Panigale V2 dan Streetfighter V2 yang memiliki ketangkasan dan kemantapan prestasi untuk tunggangan di jalanan biasa mahupun di litar.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.

Dari Litar

Pasukan Repsol Honda Tiba Di Buriram. Joan Mir Perlu Buat 'Come Back'!

Selepas gagal menamatkan perlumbaan (DNF) sudah ketiga berturut-turut, Joan Mir perlu kembalikan prestasinya ke tahap terbaik sempena perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Buriram, Thailand minggu ini.