Boon Siew Honda Raikan Pelumba MotoGP!
Bersempena dengan sesi ujian 'Winter Test' yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 6 hingga 8hb Februari lalu, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) telah menganjurkan majlis makan malam dan Meet with GP Riders 2019 yang dimeriahkan oleh para pelanggan Honda Big Wing. Turut menyerikan majlis tersebut ialah Pengarah dan CEO BSH, En. Keiichi Yasuda dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan BSH, En. Yoshitaka Nakamura.
Kehadiran tiga pelumba tersohor Honda iaitu Marc Marquez (Repsol Honda), Cal Crutchlow (LCR Honda Castrol) dan Takaaki Nakagami (LCR Honda Idemitsu). Sebelum kehadiran ketiga-tiga pelumba tersebut, majlis dimulakan dengan ucapan dan kata-kata aluan daripada En. Keiichi Yasuda mengenai pencapaian menakjubkan dari Honda dalam dunia penjualan motosikal dan sukan permotoran.
“Tahun ini akan menjadi tahun yang sangat baik buat Honda khususnya dalam penglibatan sukan permotoran. Dengan kerjasama dan perkongsian bijak Repsol dan Honda Racing yang mencecah usia 25 tahun, ia telah menyumbangkan kepada banyak kemenangan dan kejuaraan. Dengan kerjasama yang erat hinggalah kepada kombinasi hebat para pelumba, saya berharap Honda akan dapat meraih anugerah Triple Crown sekali lagi pada musim ini,” kata En. Keiichi.
“Seperti mana kita teruja dengan pentas perlumbaan dunia, jangan pula lupakan para pelumba tempatan yang akan berjuang bersungguh-sungguh dalam Kejuaraan Asia Road Racing di bawah kategori Asian Superbike 1000cc dan Supersports 600cc,” tambah beliau.
Kira-kira 220 orang tetamu jemputan dihiburkan dengan tayangan video ringkas mengenai aktiviti Honda tahun 2018 kemudiannya disusuli dengan beberapa jenis permainan yang telah disediakan. Kemunculan jagoan-jagoan Honda disambut dengan sorakan dan tepukan yang cukup bersemangat. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk melihat, mengambil gambar dan mendengar setiap ayat yang keluar daripada para pelumba kesukaan masing-masing.
Walaupun masih belum benar-benar pulih selepas menjalani pembedahan pada bahu kirinya, Marc Marquez menyatakan bahawa dia mempunyai keyakinan yang tinggi pada kemampuan jentera Honda dan persefahaman sesama rakan sepasukan. Selain mendapatkan keserasian bersama jentera 2019 Honda RC213Vnya, Marc Marquez turut perlu memperkuatkan tubuh badannya menerusi rawatan fisioterapi.
Pelumba dari Coventry, UK yang kini berusia 34 tahun merupakan antara pesaing yang cukup pintar mencari kemenangan. Dia adalah Cal Crutchlow yang kini terus berusaha gigih mencari rentak terbaik untuk memberi cabaran sebagai lima pelumba terbaik MotoGP. Menurut beliau, sesi ujian ternyata amat penting untuk setiap pelumba dan pasukan agar setiap kelemahan dapat diatasi dengan segera. SIC merupakan antara litar yang amat penting untuk membuat talaan dan melakukan perubahan dan dia menyasarkan untuk lebih banyak podium pada musim ini. Selepas sesi ujian terakhir di Jerez pada November lalu, 'cuti' panjang selama dua bulan digunakan sebaik-sebaik oleh Takaaki Nakagami untuk berlatih agar lebih bertenaga dan bersedia untuk menyahut cabaran musim baru ini. Kami sepasukan perlu terus fokus terutamanya dalam mencari talaan terbaik dan tahap kestabilan sewaktu membrek dengan keras.
Majlis pada malam tersebut ditutupi dengan sesi bergambar kenangan para tetamu termasuk media bersama para pelumba. RR
Popular