Royal Enfield One Ride 2015 ke Melaka
Sudah menjadi tradisi Royal Enfield (R.E) di seluruh dunia untuk menganjurkan konvoi atau ride di penghujung minggu pertama bulan April bertujuan untuk meraikan semangat menunggang dan setia kawan sesama pemilik Royal Enfield. Tahun ini, Royal Enfield Malaysia telah memilih untuk bermotor dari ibu pejabatnya di Puchong ke Melaka Bandaraya Bersejarah.
Sebanyak 23 buah jentera R.E pelbagai jenis berjaya dikumpulkan dengan para peserta hadir dari berbagai destinasi termasuk tiga orang peserta warga United Kingdom. Konvoi memulakan perjalanan lebih kurang jam 3.00 petang diketuai oleh wakil Royal Enfield Malaysia, En. Jamil Hasan. “Perkara utama ketika berkonvoi tentulah keselamatan dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang. Kami menunggang pada kelajuan 110km/j...cukup berhemah dan pasti tiada yang kena saman,” komen En. Jamil.
Walaupun dalam cuaca panas terik dengan catatan kepanasan setinggi 42 darjah Celsius, perjalanan sememangnya cukup menghiburkan kerana masing-masing teruja dapat berkonvoi bersama satu jenama. Ini juga merupakan masanya untuk bertemu kembali dengan para sahabat dan kenalan yang menyintai dunia jentera dua roda khususnya R.E. Peserta paling 'otai' ialah En. Baharuddin dari Kajang berusia 60 tahun dan yang paling muda ialah En. Ikmal, baru berumur 22 tahun dari Puchong.
“Paling mengujakan apabila konvoi kami mendapat perhatian kenderaan di lebuhraya, ramai kanak-kanak melambaikan tangan. Tapi apabila terserempak dengan konvoi lori askar pula...ramai pula yang tabik!” Kata En. Naim, juga wakil Royal Enfield Malaysia dengan bangga.
Lebih kurang jam 7.45 malam, para pemilik R.E meninggalkan hotel penginapan untuk menikmati makan malam berupa ikan bakar. Menurut Shawn Merick dari U.K, dia cukup menyukai makanan Malaysia walaupun sesetengah masakan itu agak pedas buat dia dan rakan-rakannya. Dari Serkam Hilir, 'konvoi malam' diteruskan ke Bandar Hilir. Rata-rata peserta mengambil kesempatan bersiar-siar mencari buah tangan dan barangan cenderahati menarik terutama sekali di Jonker Street.
Hari Kedua
Walaupun waktu berkumpul dijanjikan pada pukul 9.00 pagi tetapi hampir semua peserta 'dah' siap sedia setengah jam lebih awal – tak sabar lagi nak sambung perjalanan. Konvoi hari kedua memulakan perjalanan menuju ke lokasi bersejarah Melaka seperti Kota A Famosa, Belanda Square, Victoria Fountain Air dan bangunan Stadhuys. Walaupun baru berkenalan, hubungan rapat dan kemesraan antara para penunggang Malaysia dengan Shawn, Amanda dan Andrew dari U.K membuatkan mereka cukup terpesona dan selesa.
Sekali lagi konvoi berhenti di Pantai Klebang untuk melawat Muzium Kapal Selam. Dengan bayaran RM3, pengunjung dibenarkan melawat beberapa kawasan di dalam kapal selam untuk mendapat sedikit info dan pengalaman bertugas di dalamnya. Pantai ini juga terkenal dengan Bustelnya, hotel konsep baru yang menggunakan bas-bas lama sebagai tempat penginapan yang cukup unik. Selain hotel, bas-bas ini juga digunakan sebagai restoran atau kedai makan.
Jika semalam para peserta memerah pendikit di lebuhraya, perjalanan hari kedua pula lebih santai dengan pemilihan laluan luar bandar, di tepian pantai. Perjalanan menyusuri Pantai Puteri memang nyaman dan mempunyai pemandangan yang cantik.
Hentian terakhir program One Ride ialah di Port Dickson dan destinasi ini dipilih kerana ia adalah antara lokasi paling popular di negara ini. Pemilihan lokasi penting agar para tetamu dari luar negara dapat melihat akan keindahan dan keunikan Malaysia dengan mata mereka sendiri. Selepas makan tengahari (lauk pauk masakan kampung), para peserta pulang ke destinasi masing-masing dengan kenangan manis Royal Enfield One Ride ini. RR
Popular