DRIVE M7 SIC Racing Team Moto3 Dilancarkan Di Litar Sepang
Zulfahmi Khairuddin telah diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya di bawah payung DRIVE M7 SIC RACING TEAM untuk bersaing dalam perlumbaan Moto3 bagi tahun 2015. Kali ini dia digandingkan bersama Jakub Kornfeil dari Republik Czech dan mereka akan menggunakan jentera perlumbaan KTM RC250R yang terbaru.
“Sokongan tinggi daripada penaja utama amat bermakna untuk saingan musim 2015 ini, terutama sekali bagi pasukan yang baru. Ia merupakan suatu cabaran yang tinggi. Walau bagaimana pun, kami di SIC dan para penaja amat optimis dengan pencapaian yang bakal dicapai oleh dua orang pelumba kami nanti,” jelas Dato’ Razlan Razali, CEO SIC.
En. Mahathir Datuk Ahmad, Pengarah Jualan & Pemasaran Kumpulan Mutiara Motors dan mewakili Drive M7 Energy Drink berkata, “Ianya sentiasa menjadi visi dan minat kami untuk melihat pasukan tempatan bersaing di pentas tertinggi yang kompetitif.
Kami teruja apabila diberi peluang untuk menjadi rakan penaja bersama SIC Racing Team dan kami percaya dengan pasukan baru ini mampu memberikan cabaran yang bermakna dalam perlumbaan Moto3 nanti.”
Pasukan baru ini sudah melakukan ujian di Litar Sepang sejak Februari lalu. Dengan keadaan cuaca yang sesuai dan keadaan litar yang teknikal, ia memberikan peluang terbaik untuk melakukan talaan dan perubahan penting kepada jentera lumba. Menurut Zulfahmi yang sudah lima tahun berlumba dalam kategori 125cc dan Moto3, “Saya berjanji akan berusaha sebaik mungkin dan memberi keputusan yang terbaik sepanjang musim 2015 kerana mendapat kepercayaan pasukan dan penaja.” RR
Popular