Kakitangan FKR Santuni Warga Emas
Hadir untuk mendengar cerita, berkongsi keseronokan dan meluangkan masa bersama warga emas adalah satu usaha murni yang wajar dijadikan amalan oleh kita semua. Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan, seramai 31 orang kakitangan FKR Marketing Sdn Bhd telah menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bertempat di Pusat Jagaan Rumah Orang Tua Chik Sin Thong, Klang yang diuruskan oleh The Association of Klang and Coast Chik Sin Thong Old Folks Home Selangor.
Rumah ini terdiri daripada 28 orang penghuni (15 perempuan dan 13 lelaki) yang berumur dari 55 hingga 90 tahun dan diuruskan dengan baik oleh lima orang pekerja yang cukup berpengalaman.
Pada hari tersebut, program dimulakan dengan senaman Qi-Gong yang amat baik untuk meningkatkan keupayaan minda dan tubuh badan. Senaman ini disertai oleh para penghuni dan kakitangan FKR. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan pembukaan oleh Pengurus Besar FKR Marketing, En. Lee Yew Wah dan Pengerusi The Association of Klang and Coast Chik Sin Thong Old Folks Home Selangor.
Tepat jam 11.00 pagi, makanan tengahari telah disediakan. Turut mencuri tumpuan pada masa itu ialah sesi nyanyian dan tarian yang dipersembahkan oleh kakitangan FKR dan para penghuni yang cukup sporting. Memang cukup meriah! Tiada yang lebih indah apabila melihat setiap warga emas di sini mengukir senyuman ketika sama-sama menikmati hari yang cukup bertuah itu. Turut dikongsikan bersama ialah hadiah doorgift, barangan elektrik dan angpau. Sebelum menamatkan program, para kakitangan FKR dan para penghuni sempat bergambar kenangan untuk dijadikan memori indah. RR
Popular