RRMM Cari Pelangi & Landak di Hulu Selangor
Tahun 2020 memang berbeza. Nak cerita apa pun mesti ada kaitan dengan penularan Covid-19. Bekerja, bersukan, beriadah, kenduri mahupun “mengeteh” (minum teh). Dengan kebenaran dan pelonggaran diberi bakal memberikan impak yang sangat besar pada masyarakat terutamanya para bikers dan pencinta motosikal.
Ye lah manakan tidak, dah berminggu tak keluar bersosial dengan kawan-kawan walau ke kedai roti canai janda kat Kuala Kubu tu. Ehh! Terkeluar pula nama kedai tu ye…. tetapi tidak masuk dalam episod kali ini. Kita akan menjelajah sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Lokasi mungkin ramai dah pernah pergi dan mungkin tidak.
RondaRonda MakanMakan (RRMM) adalah secara santai. Begitu juga perancangannya. Hari ini sebut, tulat jalan. Pemilihan ride pastinya bukan di hujung minggu adalah bagi tidak menambah kesesakan sedia ada malah memberikan lebih masa dan kerja-kerja dijalankan dengan mudah.
RV (rendezvous) jam 8.00 pagi di Petronas Latar Kundang Barat menghala Kuala Selangor ditetapkan oleh Dr. Yusseri. Pengesahan kehadiran adalah Haji Jamil (BMW R Nine T) bersama adik beliau Sdr Naim (Honda VFR 800X Crossrunner), Editor RR, Sdr Khairil Azuan (menunggang uji CMC XY400i Cafe Racer) dan saya sendiri (Yamaha XJ6 Diversion).
Sebelum jam 8:00 pagi saya tiba di RV dan kelibat Hj Jamil, Naim dan K.Azuan telah tiba awal di situ. “Assalamualaikum… macam berada di Amsterdam pula ye!” kata-kata saya itu disambut dengan persetujuan. “Kat Puchong pun dah macam Jerman, berkabus.” Kecerian terpancar dalam kedinginan pagi.
Tidak lama kemudian Dr. Yusseri tiba bersama BMW R 1250 GS SE beliau. Tampak bergaya sungguh. Cerita banyak tak ada. “Siap? Jom jalan,” Dr. Yusseri memberi cadangan perjalanan.
LATAR-Tasik Puteri-Bestari Jaya-Kuala Selangor. Kali terakhir saya meredah jalan ini kira-kira 20 tahun lalu. Tak pasti bagaimana keadaan sekarang ni. Memandangkan semalam hujan, jalan dari Tasik Puteri ke Bestari Jaya disaluti tanah merah yang dibawa oleh lori-lori di kawasan pembinaan perumahan baru. Dari Bestari Jaya ke Kuala Selangor perjalanan lancar dengan kondisi jalan yang baik.
Sarapan Pagi
Warung Dimyati Roti Canai atau lebih dikenali sebagai Roti Canai Pelangi terletak di Sungai Yu bersebelahan dengan Pasir Penambang. Hanya 3.5 km daripada jalan utama lokasi ini mudah dijumpai. Syukur! Hari ini tidaklah seramai hujung minggu. Usah kata nak duduk, parkir pun susah.
Terdapat 5 warna yang mewakili perisa roti canai ini. Hijau (epal), Unggu (keladi), Merah (strawberi), Kuning (jagung), Oren (durian) dan asli yang dijual pada harga RM1.00 setiap satu. Roti telur goyang, roti sardin turut boleh diperolehi di sini. Gandingannya sama ada kari kaki ayam (ceker) berharga RM2.00 semangkuk atau kari kambing RM3.00 semangkuk. Selain juadah roti canai, nasi lemak dan kuih muih juga boleh didapati di sini.
Hidangan roti sudah semestinya. Hj Jamil pekena nasi lemak bungkus. Buka je bungkusannya beliau seraya berkata “Ni nasi lemak jantan... sebab ada telur’. Hahaha. Logik… boleh digunapakai ayat tu.
Warung Dimyati ini beroperasi setiap hari kecuali Isnin dan Jumaat, bermula dari jam 7.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Para pelanggan yang datang dari jauh boleh juga membeli roti canai 'frozen' yang dijamin tahan lama oleh En. Dimyati, pemilik restoran ini sendiri. “Cara untuk menyediakan roti frozen ini memang mudah. Tunggu sehingga lembut dan baru boleh dimasak sama ada dengan minyak atau tanpa minyak,” kata En. Dimyati.
Perjalanan diteruskan ke lokasi kedua iaitu ke Bagan Nakhoda Omar (BNO). Pantai peranginan ini terletak di Sabak Bernam. Memandangkan hari ini hari bekerja maka tidak ramai pengunjung berada di sini. Angin sepoi-sepoi bahasa dan cuaca yang tidak begitu panas memang cukup menyegarkan.
Di sini, kami bertemu dengan seorang personaliti sukan bermotor yang pernah dikenali suatu masa dahulu. Dia ialah Saudara Rosli Zainal Abidin dikenali juga sebagai Bob Eden. Beliau sememangnya jagoan cub prix yang cukup disegani dengan keberanian dan skil yang mantap. Kini Bob Eden lebih banyak mengadakan kursus keselamatan dengan Tuan Haji Wazi bersama syarikat-syarikat korporat demi keselamatan kakitangan mereka yang menunggang motosikal. Nantikan kisahnya yang akan dikongsikan oleh RR tidak lama lagi.
Dari BNO, beliau (Bob Eden) membawa kami ke pusat IKS Kg. Sg. Tengar milik En. Hassan Adli Sapuan yang mengusahakan perusahaan kerepek. Ada pelbagai jenis kerepek seperti kerepek pisang, ubi berperisa, ubi pedas dan macam-macam lagi. Satu yang mendorong untuk membelinya adalah kerepek malinjo atau belinjau. Ia adalah kegemaran setiap masa. Hj. Jamil dengan 'tangkasnya' memilih kerepek untuk dibelinya sebagai buah tangan buat ahli keluarga. Hmm… Hj Jamil ada beritahu dalam whatapps group ke tentang shopping di sini? Atau aku dah terlepas pandang? Kalau aku tahu, memang dah bawa sekali box kiri kanan. Aku tetap beli setakat mana boleh muat!
Makan Tenghari kami kali ini ialah di Selera Rimba. Dengar nama je dah gerun… lokasi pun memang menakutkan, betul-betul di tengah rimba. Terletak di jalan yang menghubungkan Sabak Bernam dengan Tanjung Malim. Perjalanan rentas ini berada di kawasan perladangan sawit laluan B44.
Tempahan awal telah dibuat terhadap daging landak memandangkan peningkatan tinggi terhadap makanan esotik ini dan prosedur dari pihak perhilitan yang perlu dipatuhi. Layanan mesra daripada pekerja restoran ini menambahkan keseronokan berkunjung ke sini.
Di kehangatan tengahari, air kelapa menjadi pilihan utama menghilangkan haus disamping memberi kesegaran. Menu makan tengahari diberikan. Nasi putih, rendang landak, rusa black pepper, ayam kampung goreng berempah, ikan baung masak lemak cili padi, ulam beserta sambal hijau. Perghh!!! Layan. Baru dengar menu dah menyelerakan.
Naim diberi penghormatan membaca doa makan. Sesuap je cebisan rendang landak masuk ke mulut memberi kenikmatan berserta aroma daun limau purut. Sedap tidak terkata. Masakan rusa black pepper tidak kurang hebatnya. Bak kata Hj. Jamil sebelum ini, secukup rasa. Ulaman seperti ulam raja, pucuk ubi, peria rebus dicolek bersama sambal hijau meningkatkan lagi kenikmatan.
Ayam kampung goreng di sini digoreng bersama 12 rempah ratus. Garing dan menyelerakan. Apa kata pula baung masak lemak cili api? Tak dapat dihuraikan lagi… makan. Cuma… kesian pada Dr. Yusseri… beliau tidak makan ikan darat. Rugi-rugi… takpe kita sambung makan. Nasi tambah satu!!!
Kenikmatan tidak terperi. Bagi saya cukup sekali tambah sahaja tetapi lauk masih ada. Saya pun berikan dorongan dan semangat buat Hj. Jamil menghabiskan keseluruhan hidangan tersebut. Akhirnya berjaya menyempurnakan misi zero waste. Harga makan tengahari untuk tujuh orang ialah RM280 termasuk pelbagai jenis air minuman.
Turut bersama kami di Selera Rimba ialah rakan Dr Yusseri, Sdr. Badrol yang datang bersama isterinya. Saudara Badrol juga merupakan Bintang RR dalam isu Ogos 2020.
Sedikit cerita mengenai Selera Rimba ini. Ia dimiliki oleh En. Hamka bin Jaafar atau Pak Hamka dan beralamat di Kg. Belia 2, Jalan Sg Panjang, 45300 Sg. Besar, Selangor. Keistimewaan restoran ini datangnya daripada menu yang ditawarkan yang memang jelas diperolehi dari rimba atau hutan. Selera rimba menyediakan masakan ala banjar untuk ayam kampung, landak, rusa, udang galah, ikan baung, ikan tapah dan ulam-ulaman.
Minum Petang
Perjalanan pulang diatur. Laluan persekutuan dari Sekinchan ke Kuala Selangor jadi pilihan atas alasan… nak pekena cendol sebagai penutup RRMM kali ini. Banyak gerai cendol kat sana. “Mana satu nak pilih?” Takpe jalan dulu nanti jumpa kita berhenti.
Cendol Tapai Durian Batu 9 terpilih kerana Hj. Jamil pernah menjamah di sini beberapa kali dan sedap katanya.
Semangkuk cendol seorang. Harga dari RM2.50 sehingga RM5.00 bergantung kepada bahan yang dimasuki seperti pulut, tapai, durian, ABC dan laici kang. Kami semua hirup sejuk cendol bersama pulut. Menyelerakan tapi tak puas. Naim, Dr Yusseri dan saya tambah lagi semangkuk tanpa pulut kerana yang pertama tadi adalah pulut yang terakhir hari ini. Sudah habis! Tanpa pulut pun sedap juga. Diam tak diamlah, jika dikirakan dalam sebulan ni je dah lima mangkuk cendol yang saya makan. Rezeki…
Selesai makan kami disapa oleh puan besar cendol tapai iaitu Kak Suzy yang mengatakan dia ada memiliki sehelai baju sama seperti dipakai oleh Naim. Tanpa berlengah lagi saya pun menerangkan asal usul baju tersebut dengan pemiliknya. Rupa-rupanya Kak Suzy dan suaminya Abg Kanang juga peminat dua roda. Mereka memiliki sebuah Suzuki V-Strom 650 dan pernah ke MotoMoto. “Patutlah depa kenai Naim!”
Kami pun mengangkat kaki meninggalkan premis tersebut. “Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati”. Menyusuri lebuhraya LATAR, kami berpisah pulang ke destinasi sendiri. Sehingga berjumpa lagi di edisi akan datang. Hindari Covid-19 dan patuhi SOP. RR
Popular