Royal Enfield New Year Ride (Kuantan-Kluang) Uji Ketahanan Mental & Fizikal
Bila hati dah rindu dengan jalan, rindu dengan kawan-kawan dan rindu dengan motosikal.... jawapan kepada soalan itu hanya ada satu sahaja iaitu 'Masa untuk ride dah tiba!' Kemas baju... servis motor... pilih destinasi. Kena ingat kata-kata pencinta motosikal, “You don't stop riding when you get old...You get old when you stop riding.”
RE Malaysia sekali lagi menganjurkan konvoi 'special' yang melibatkan 22 orang rider kental yang sudah terdiri daripada pemilik pelbagai model Royal Enfield seperti Classic, Himalayan, Bullet dan Interceptor 650. Destinasi kali ini menuju ke Kuantan, pusing ke Kluang... masuk Melaka dan balik semula ke Shah Alam. Sasaran perjalanan ialah selama tiga hari dua malam.
Sebenarnya 'plan' untuk ride ini sudah lama, tapi terpaksa ditunda berikutkan dugaan pandemik dan pelaksanaan PKP yang berperingkat-peringkat. Ada ketikanya tak boleh rentas negeri, ada ketikanya takut sebab nombor kes Covid19 yang dipaparkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang beribu-ribu. Lepas buat penilaian dengan sebaiknya, para peserta dimaklumkan bahawa tarikh perjalanan dah confirm tetapi laluannya belum lagi.
Ini kerana di sesetengah negeri di pantai timur telah dilanda banjir, antara yang terburuk dalam sejarah. Laluan yang dipilih sudah hilang dari pandangan.... banyak daerah dah bertukar jadi laut. Dah tu, paras air masih tak surut-surut. Oleh itu, Pengurus Besar RE Malaysia, Dato' Syahrul membuat keputusan untuk mengubah laluan asal (Karak – Temerloh – Gambang – Kemaman – Kuantan) kepada laluan baru iaitu dengan menggunakan jalan dari Sungai Besi – Senawang – Nilai – Muadzam Shah – Kuantan.
Jam 7.20 pagi, semua dah berkumpul di R&R Seremban. Ada yang datang dari Shah Alam, Puchong, Nilai, Johor dan paling jauh mestilah Cikgu Mahadzir yang 'mai' dari Pulau Pinang. Selesai taklimat daripada Dato' Syahrul dan Bro Halim, maka bermulalah pengembaraan ke Pahang. Perjalanan di lebuhraya cukup lancar – mungkin kerana masih awal lagi. Sampai Senawang, perut dah berbunyi. Tadi motor sahaja yang 'isi perut', tuannya belum lagi.
Nasi lemak ada... mee goreng ada... nasi goreng ada... lauk pun boleh tahan juga banyaknya. Itu antara menu yang terdapat di Gerai Jom Ngeteh yang menjadi pilihan. Bagi sahabat handai yang lama tak berjumpa, memang rancak berbual dan bagi 'rider' baru, ini adalah masanya untuk beramah mesra dan bertukar-tukar pandangan dengan 'otai-otai' yang ada. Kami diperkenalkan dengan lima orang pencinta jentera RE baru iaitu Prakash (RE Interceptor 650), Khairi (Interceptor 650), Putra @ Ronny (Interceptor 650), Vignish (RE Classic 500) dan Azua (RE Classic 500).
Jalan Kuala Pilah ke Jempol di waktu pagi memang nyaman dan cantik. Pemandangan sawah padi memang tak pernah mengecewakan. Hujan rintik dah mula 'bagi salam' semasa konvoi merentasi daerah Jempol dan semakin lama semakin lebat. Ada yang membuat keputusan untuk mengenakan baju hujan dan ada yang kekal dengan jaket sedia ada.
Suasana alam kembali mendung, gelap seperti baru masuk pukul 7.00 pagi sedangkan beberapa jam sahaja lagi untuk ke tengahari. Ketika ini, tumpuan rider terhadap segala pergerakan di jalan raya amat penting kerana pandangan sudah agak terhad. Langit 'mencurah' air tanpa amaran ketika menambah bekalan bahan api di Bandar Muadzam. Betul... kali ini lebat 'kaw-kaw' punya!
Suhu badan dah makin turun, kudrat terus diperah untuk ke destinasi seterusnya. Terlihat beberapa buah kampung di kiri dan kanan jalan sudah ditenggelami air. Kenderaan diletakkan di tempat tinggi, begitu juga dengan binatang ternakan. Dalam dan deras sungguh airnya. “Ini sudah banyak bezanya daripada minggu lepas. Mungkin laluan ke Kuantan pun dah pulih, awak boleh tengok sudah banyak kenderaan turun ke Negeri Sembilan... Johor hari ni. Ini tanda jalan dah boleh guna. Mereka tak lagi terperangkap,” kata salah seorang penduduk yang sempat berborak.
Sepakat membawa berkat... memang itulah yang sering dipakai setiap kali berkonvoi. Perjalanan diteruskan hanya apabila semua sudah sedia, semua dalam keadaan terbaik. Seronok benar ketika sampai di Kuantan – sebabnya cuaca kembali panas. Sempatlah sidai jaket dan sarung tangan sementara berehat di Restoran Alif Curry House (Nasi Daun Pisang). Kari ayam, kari kambing, daging yang dihidangkan memang padu dan kena dengan selera!
Selepas lebih daripada 300 kilometer perjalanan, konvoi tiba di tempat penginapan dengan selamat. Hotel Shahzan Kuantan terletak tidak jauh daripada Tanjung Lumpur (tempat dinner). Cukup mengejutkan apabila melihat keadaan air laut di daerah ini yang bergelora dan warnanya pula bertukar dari biru kepada kekuningan. Macam air teh tarik! Itulah kekuasaan alam yang tidak mampu dikawal oleh insan kerdil seperti manusia.
Hari Kedua
“Angin kuat, ribut petir dan hujan berterusan dijangka melanda daerah Kuantan.” – laporan cuaca malam tadi! Memang tepat. Langit macam kena simbah dengan 'water colour' berwarna kelabu gelap dan seperti yang dijangka, hujan turun sejak dari awal pagi.
Dari Kuantan, konvoi menuju ke Kluang, Johor dengan merentasi laluan banjir seperti di Pekan, Ubai dan Kuala Rompin. Jujurnya memang suatu pemandangan mengejutkan apabila berada di kawasan yang dilanda musibah besar. Perasaan sayu bertambah apabila mengenangkan keadaan ekonomi dan penularan wabak yang semakin menghimpit situasi banyak pihak. Didoakan agar dipermudahkan urusan kita semua.
Tiba-tiba motor Ronny slow..Wak Hj selaku sweeper terus berhenti di sebelah. Tayar motor Ronny kurang angin dan daripada keadaan lebih teruk, angin tayar mesti ditambah. Alat pam angin di dua stesen minyak rosak. Aduh... terpaksalah Ronny buat stunt duduk atas tangki sementara jumpa bengkel. Mujurlah, ada bengkel buka walaupun pada hari Ahad. Sejam kemudian, Ronny tersengih sambil tunjuk jari ibu (isyarat bagus).
“No roads is too long if you have good company....” Kata-kata mutiara yang dinukilkan oleh mereka yang sudah jatuh cinta dengan pengembaraan motosikal. Benar segala apa yang diucapkannya itu. Biarlah basah, biarlah sejuk mengigil, bila kita dengan kawan yang satu hati... ia adalah satu kenangan indah. Satu pengalaman yang wajar dibanggakan oleh setiap peserta RE New Year Ride kali ini. Bukan mudah nak ride sepanjang hari dalam hujan lebat weh! Salute!
Sempat juga beberapa peserta buat bandingan antara rider yang pakai baju hujan dengan mereka yang berjaket sahaja, Nampak gayanya hari tu keputusannya seri... semua sama basah, sama lencun. Pada malam itu, para peserta menikmati makan malam di hotel sahaja memandangkan hujan tidak lagi berhenti. Bagus juga... dah seharian kesejukan.
Hari Ketiga
'Tuk! Tuk! Tuk! Ada orang ketuk pintu! Orang hantar sarapan rupanya! Memang istimewa layanan kali ini. Macam-macam cara nak keringkan pakaian masing-masing. Ada yang guna aircond, ada yang guna seterika.... semua kaedah boleh diterima asalkan kering. Tengok langit, awan masih kelabu macam lagu kumpulan Alleycats - “Berarak mendung kelabu...”
Selamat tinggal Kluang... konvoi masuk ke lebuhraya dan buat pertama kalinya selepas dua hari, matahari memanaskan tubuh badan. Segar dan sihat rasanya. Rancangan asal untuk ke Mee Bandung Muar ditukar dengan makan tengahari di Asam Pedas Pak Man yang beroperasi di Ayer Keroh, Melaka. Kebanyakan peserta konvoi juga berpisah di sini dan mengambil jalan berbeza untuk pulang ke destinasi masing-masing.
“Saya memang suka dengan segala perkara berkaitan klasik termasuklah gaya, pakaian, kehidupan dan semestinya motosikal. Ini adalah pengalaman pertama berkonvoi dengan kawan-kawan dan memang best. Motosikal memang cantik dan tahan lasak, saya mesti akan follow ride seperti ini lagi,” kata Azua yang menunggang RE Classic 500.
“Saya memang dah lama cari motor yang sesuai dengan jiwa dan telah pun ke beberapa pusat pengedar jenama lain tetapi bila saya ke RE Malaysia, layanan yang diberikan oleh kakitangan di sana memang bagus sekali. Mereka benarkan saya menunggang uji (berapa lama pun boleh) dan ini membuatkan saya percaya dengan jenama ini. Sekarang saya sudah pun mengembara jauh dalam keadaan cuaca yang ekstrim. Memang puas hati!” Kongsi Khairi, pemilik RE Interceptor 650.
Tahniah dan terima kasih buat RE Malaysia di atas penganjuran ride kali ini. Memang sentiasa syok... sentiasa menyeronokkan. Terima kasih juga buat Wak Haji, Bro Bullet Kumar, Bro M Siva, Wak Azmi dan Bro Prakash yang sudi belanja rakan-rakan RE ya! RR
Popular