Pemilik MODENAS Dinamik Berkumpul di Pantai Morib
MODENAS Dinamik 120 kini semakin mendapat perhatian anak-anak muda dengan peningkatan jumlahnya di jalan raya kini. Atas inisiatif para pemiliknya pada Januari lalu, telah menghasilkan satu perjumpaan buat pertama kali di pantai Morib, daerah Banting, Selangor. Lebih daripada 250 buah motosikal ini berjaya dikumpul dari utara hingga selatan semenanjung tanahair.
Dianggarkan sebanyak 150 buah motosikal berkumpul di Stadium Shah Alam sebelum bertolak ke destinasi yang dituju kira-kira jam 4.00 petang manakala selebihnya sudah menunggu di tempat yang ditetapkan. Konvoi disajikan dengan pemandangan yang menarik sepanjang perjalanan dari Teluk Panglima Garang ke Pantai Morib. Melalui kawasan perkampungan yang dikelilingi dengan tanaman kelapa sawit dan peranginan laut daripada Selat Melaka menyerikan walaupun hari agak panas.
Konvoi selamat tiba di pantai Morib pada jam lima petang. Selain terkenal sebagai tempat beristirehat dan beriadah, Pantai Morib juga menyimpan sejarah negara iaitu pernah menjadi lokasi penempatan tentera-tentera Jepun dan British ketika Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1945.
Sessi ramah mesra sesama mereka dimulakan dengan ucapan wakil admin laman facebook Kelab Modenas Dinamik Malaysia, En. Ahmad Nor Rashid. Sambil itu turut diedarkan cenderahati daripada MODENAS.
“Matlamat penubuhan kelab adalah untuk mengumpulkan para pemilik motosikal Dinamik di bawah satu organisasi yang terurus dan sah. Disamping merapatkan hubungan sesama ahli yang selama ini hanya kenal di alam maya, ia turut mendisiplinkan penunggang ketika di jalan raya dan mengubah persepsi masyarakat terhadap para penunggang motosikal cub bukanlah samseng jalanan atau lebih dikenali sebagai mat rempit,” jelas En. Ahmad Nor Rashid.
Menurut salah seorang peserta dari utara, Izzuan Shahidan, dia seronok dan teruja kerana ini adalah kali pertama semua peserta bersua muka dan dapat menambah kenalan dari lain-lain negeri. Selain itu, dapat bertukar pendapat, berkongsi ilmu pengetahuan dalam dunia permotoran dan berkonvoi beramai-ramai seperti ini berjaya menyemarakkan semangat bekerjasama antara para peserta. RR
Popular