Kelantan International Bike Week Ke-8
Ini adalah penganjuran Kelantan International Bike Week (KIBW) buat kali kelapan. Setiap dua tahun, kelab-kelab permotoran di negeri Cik Siti Wan Kembang ini akan bergilir-gilir untuk menganjurkan acara tahunan permotoran di negeri mereka. Bagi tahun ini, ia adalah penganjuran kedua oleh Kelantan Darulnaim Bikers. Tahniah diucapkan.
Kali pertama ia dianjurkan ialah pada tahun 2007 dan untuk tahun ini KIBW diadakan selama 4 hari 3 malam dari 27hb hingga 30hb Jun yang lalu. Kejayaan penganjuran ini juga adalah hasil kerjasama cukup bijak dua orang usahawan dan pencinta motosikal iaitu Pengerusi KIBW En. Azimi Bin Mohd Fauzi @ G-Mie dan Presiden Kelantan Darulnaim En Azman Bin Awang. Turut memeriahkan 'pesta' pada hari itu ialah kehadiran SBK Kelantan dan Kelantan Bikers Club. Lebih bererti apabila kedua-dua kelab ini telah banyak membantu khususnya dalam penyempurnaan majlis KIBW 2019.
Keistimewaan penganjuran kali ini tentulah dengan adanya perkhidmatan helikopter untuk para pengunjung. Cara untuk menikmati pengalaman menaikinya ialah dengan melakukan pendaftaran menerusi kaedah online. KIBW mula meriah dengan kehadiran para rider seawal hari Khamis, 27 Jun. Apa yang membanggakan, para pengunjung bukan sahaja terdiri daripada penunggang motosikal tempatan tetapi juga dari negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Brunei.
Ketibaan Presiden SAMA @ Sarawak Motorcycle Association, Datin Sri Elly yang menunggang Can Am Spyder menjadikan penganjuran kali ini cukup istimewa. Pihak penganjur tidak lupa untuk mempersembahkan aksi stunt dengan menjemput satu-satunya penunggang lasak wanita Malaysia iaitu Pn Ilia Lryani Bt Shuib. Dengan menggunakan jentera Benelli TNT135, ibu kepada dua orang cahaya mata kembar comel ini sememangnya mempunyai skill yang luar biasa. Tepukan gemuruh memecah suasana setiap kali Ilia mempamerkan aksi yang mengujakan.
Salah seorang biker yang sempat ditemui ialah En. Zainuddin Bin Haji Rafie @ Cikgu Din dari SMKA Wataniah, Machang. Beliau turut popular dengan gelaran Abe Din Draggie. Abe Din menunggang sebuah Yamaha Dragstar 400cc (1997). Walaupun sudah lebih daripada 10 tahun memiliki jentera ini, beliau amat menyintai motosikal tersebut. Ketika berlakunya bah kuning pada tahun 2014 lalu, jenteranya tidak dapat diselamatkan kerana sudah terkepung dan kemudiannya tenggelam di Kampung Gali, Tanah Merah. Selepas berjaya mendapatkannya semula, beliau membaik pulih dan mereka semula jenteranya untuk kembali kelihatan seperti biasa.
Malam 29 Jun adalah saat yang dinantinanti oleh para pengunjung. Nyanyian penyanyi lagenda kumpulan May, iaitu Mus May memang mengusik jiwa. Terdapat juga tiga buah motosikal hebat yang ditawarkan dalam acara cabutan bertuah iaitu Kawasaki ER6f, GPX Demon 150GR dan KTNS Z One S200.
KIBW berjaya mengumpulkan kehadiran kira-kira 5,000 orang di sepanjang penganjuran dan menurut En. G-Mie, pihaknya bercadang untuk teruskan penganjuran program permotoran yang lain di masa akan datang. RR
- Nz York
Popular