Koleksi Alain Nibart: Pencinta Aermacchi
Koleksi model-model Aermacchi Motorcycles milik Alain Nibart mungkin satu-satu yang paling sempurna dan terbaik di dunia. Beliau merupakan seorang peminat dua roda yang berasal dari Perancis dan minatnya pada jentera klasik khususnya jentera Aermacchi dipamerkan di garaj miliknya yang terletak bersebelahan dengan rumah elegan empat tingkat di pinggir bandar Paris. Rumah ini dibeli dan dikongsi oleh Alain dan pasangannya, Sophie.
“Kami bersetuju untuk memecahkan ruang di sini 50/50. Dia ada dua tingkat dan begitu juga dengan saya tetapi garaj adalah milik saya!” kata Alain, pesara Pereka Grafik dan Pakar Binaan Pameran yang berumur 75 tahun. Di sebalik garaj berpintu merah jambu itulah tersimpannya harta karun motosikal yang menyimpan bermacam-macam memori dan kenangan. Ia sesuai disebut 'Gua Alain'... bukan Aladdin ya!
Di belakang pintu masuk yang sederhana itu terdapat sebilangan jentera dua roda keluaran Itali dari era peperangan, tahun 1945-75 seperti Motom, Gilera, Italjet, Morini dan Moto Guzzi. Moped Victoria 155 Hummel 50cc buatan Jerman 1961, karya Art Nouveau yang popular dengan nama samaran “Tin Banana!
Motosikal-motosikal hebat ini bagaimana pun hanyalah 'pelakon tambahan' jika dibandingkan dengan teraju utama yang terdiri daripada 40 buah jentera Aermacchi milik Nibart yang telah dikumpul dan disimpan selama bertahun-tahun. Lebih mengagumkan, sekitar 30 unit jentera sejarah ini masih dalam keadaan baik.
Itu tidak termasuk jentera cafe racer keluaran pertengahan 1960an dengan fairing aftermarket dan lampu utama yang kemik – kenangan jentera Aermacchi yang diletakkan dalam Harley Davidson. Ketika itu Harley Sprints ERS flat tracker dikemaskan dengan kerangka tegar buatan tempatan – Aermacchi yang menggunakan nyalaan magneto buatan US terbukti amat mantap untuk perlumbaan lasak. Ia lebih kurang sama dengan CRS 250cc dengan kerangka-stock yang kemudian dicatkan semula untuk kelihatan seperti junior kepada model Harley KR.
Turut berada dalam simpanan beliau ialah beberapa model perlumbaan Aermacchi 250/350cc Ala d’Oro OHV tahun 1961-70 yang setiap satunya menggunakan sistem penyejuk udara jenis horizontal seperti yang digunakan pada CRS/ERS untuk penyejukan optimum. Nibart juga menyimpan beberapa model empat dan lima kelajuan yang menggunakan gear injap pushrod. Model-model ini dengan 'rendah dirinya' telah berjaya menewaskan jentera-jentera lumba yang dilengkapi dengan enjin eksotik overhead-cam dalam pelbagai peringkat perlumbaan yang diadakan di beberapa buah negara.
“Rekabentuknya yang rendah dan ramping menarik hati saya sejak mula-mula melihat jentera ini. Pada awal tahun 1960an dulu, saya memiliki sebuah cyclomoteur, Paloma 50cc dan dengannya saya telah menerokai jalan-jalan di timur Paris, tempat saya membesar,” kata Alain Nibart.
“Saya singgah di kafe Stand 14 berdepan dengan kedai menjual daging milik bapa pelumba lagenda motosikal, Jean-Pierre Beltoise dan melihat beliau di sana. Dia adalah hero yang terawal buat saya dan dia juga pelumba Aermacchi. Dia juga pernah menjadi juara dengan salah satu jentera itu. Saya juga berkesempatan melawat kedai motosikal milik Georges Monneret yang terletak di Place de la Bastille.”
“Georges merupakan salah seorang pengedar Aermacchi di Paris. Dia akan menyusun jentera-jentera itu di bahu jalan kedainya. Saya suka meletakkan tangan saya di bahagian tangkinya yang licin dan rendah. Rekaan itu adalah kerana ia menggunakan silinder mendatar dan memang kelihatan sudah bersedia untuk berlumba. Ketika itu saya hanya mampu melihat dan memerlukan satu dekad lagi untuk menjadikannya milik saya sendiri.”
Ketika berada di usia awal 20an, Alain membina kariernya dengan mendirikan sebuah institusi kesenian dan studio grafik.Dia lebih minat dengan dunia kereta berbanding motosikal dan kemudiannya meluas kepada motosikal beroda empat. Dia telah mengubah Lotus Seven menjadi jentera perlumbaan yang berjaya menempa kejayaan. Pada tahun 1973, dia akhirnya membeli Aermacchi, model 350TV Ala Verde yang berumur satu tahun.
“Itu adalah permulaan segalanya. Saya memutuskan untuk memberi tumpuan hanya untuk model-model dua lejang kecuali beberapa model awal yang didatangkan dengan enjin dua lejang. Pada tahun 1978, Harley menjual syarikat ini pada Castiglionis yang kemudiannya menukarkan nama asal kepada Cagiva.”
Enjinnya jenis OHV dengan silinder mendatar dicipta oleh Afredo Bianchi dan membuat penampilan sulung pada tahun 1956. Model ini mempunyai rekabentuk yang istimewa tetapi agak gagal dari segi komersial. “Saya mempunyai lapan buah unit motosikal seperti itu tetapi telah meminjamkan beberapa unit kepada rakan-rakan.”
Salah satu daripadanya diletakkan di bahagian tangga untuk menuju ke pejabat Alain Nibart yang beroperasi di bahagian atas rumah. Ia bagaikan sebuah kuil seni
motosikal yang lengkap dengan poster dan cetakan yang disusun di dinding dan siling yang kebanyakannya adalah Aermacchi. Terdapat juga model-model motosikal berskala kecil dari pelbagai negara termasuklah gambar Brigitte Bardot, gambar dia bersama Lotus dan koleksi motosikalnya. Ya... pejabatnya juga merupakan sebuah perpustakaan besar - majalah dan bahan bacaan. Memang syurga!
Tetapi jentera lumba GP Aermacchi Alain yang paling terkenal (lengkap dengan enjin rekaan Bianchi) adalah sebuah jentera perlumbaan unik milik Pierre Borie yang telah digunakan dalam perlumbaan 1969 Bol d’Or di litar Montlhéry sepanjang 6.40 kilometer. Ini juga merupakan antara penganjuran saingan tahan lasak 24-jam paling popular dan berjaya di peringkat antarabangsa.
Perlumbaan itu telah dimenangi oleh jentera Honda CB750 empat silinder dan membuktikan kemantapan jentera Aermacchi 350cc yang ditunggangi oleh juara bertahan GP 500cc Perancis, Jean-Claude Costeux dan Maurice Martine. Mereka menduduki tempat keenam keseluruhan dan keempat dalam kelas 500cc, di belakang trio Kawasaki H1 tetapi berjaya menewaskan pasukan jentera kembar 750cc Norton, Triumph, BMW dan Moto Guzzi.
“Borie telah menjadi pengedar jentera Aermacchi sejak syarikat itu mengeluarkan motosikal. Sejak itulah dia mempunyai hubungan yang cukup baik dengan kilang pengeluaran tersebut. Costeux telah memenangi gelaran 500cc Perancis pada tahun sebelumnya dengan menunggang Aermacchi, tetapi mendapat tawaran untuk menunggang Yamaha pada perlumbaan berikutnya.
Untuk menghalang dia daripada menyertai pasukan lain, Borie telah menyediakannya sebuah Aermacchi. Costeux mahukan satu unit kilang dan mereka bersetuju dan menghantar sebuah unit 350 ERS berspesifikasi US. Namun begitu, enjin meletup pada lap pertama dalam sesi ujian pra-perlumbaan. Jentera tersebut dibawa kembali ke Itali dan digantikan oleh unit prototaip yang dilengkapi dengan klac kering dan kepala silinder ‘cactus’ jenis motobi, tak ada lampu utama.
Masalahnya, jentera ini mengalami kerosakan sistem nyalaannya (6V) seperti yang berlaku pada model Ala d’Oro Racer. Mereka menggunakan alternator 12V dari kereta Citroën 2CV untuk menyalakan lampu depan yang Borie dapati dari Marchal. Tidak ada panel meter.... tak ada penunjuk rpm. Pihak Aermacchi mahu mereka memerah pendikit sekeras yang mereka suka. Ini bertujuan untuk melihat berapa lama ia akan bertahan sebelum enjin itu rosak. Enjin itu tidak rosak dan mereka pulang dengan kejayaan di tempat keenam.
Jika tidak, Aermacchi mungkin telah mengalahkan Honda 750 ditunggang oleh Laprie / Frémin yang menduduki tempat kelima, sepuluh lap di hadapan jentera Itali itu dan jika tiada desakan dari Pierre Borie yang mahukan jentera itu berhenti pada pukul 5.00 pagi ketika cukup selesa di tempat kelima.
“Motosikal itu bergerak dengan sangat pantas dan memiliki kemampuan untuk menghabiskan perlumbaan dengansempurna. Enjin itu kemudiannya dihantar kembali ke kilang dan M.Borie memasangkannya dengan 'baju' model jalanan, dicat warna hitam dan menjualnya sebagai motosikal jalanan biasa.”
“Saya terjumpa di tempat lelongan autojumble motosikal dan membelinya. Ia mengambil masa sekitar 10 tahun untuk dipulihkan kerana saya ingin memastikannya benar-benar asli. Saya membeli beberapa bahagian dari Borie, mendapatkan yang lain dari Itali dan akhirnya berjaya memperoleh enjin yang betul. Inilah dia! Sejarah perlumbaan Aermacchi yang kurang dikenali tetapi cukup menarik dalam kisah perlumbaan Aermacchi.”
Koleksi Nibart juga terdiri daripada model-model awal Aermacchi yang sangat bagus. Dari model pengeluaran 1951 ketika Itali merupakan pengeluar pesawat tempur terkemuka di Perang Dunia. Selepas dilarang untuk membina dan mengeluarkan sebarang kapal terbang, mereka beralih arah menjadi syarikat pengeluar motosikal.
Untuk melakukannya, mereka mengupah jurutera penerbangan bertauliah yang berpangkalan di Pesaro, Lino Tonti yang pernah bekerja di Benelli sebelum dan semasa perang. Dia juga bekerjasama dengan Massimo Pasolini, bapa Renzo yang terkenal untuk membuat pengubahsuaian pengangkutan tentera untuk kegunaan orang awam. Pada tahun 1947 Tonti merekacipta sebuah prototaip dengan enjin silinder tunggal DOHC iaitu Linto. Nama itu diambil dari 'LINto TOnti' , digunakan oleh Pasolini dalam perlumbaan dan telah berjaya meraihbeberapa kejayaan di Adriatic Coast.
Selepas didorong oleh kejayaan Vespa baru yang ditampilkan pada tahun 1950, Tonti telah mencipta sebuah skuter roda besar futuristik yang diberi nama Linto Cigno 125 dengan enjin dua lejang. Ia adalah sebagai pesaing terdekat Moto Guzzi Galletto.
“Apabila sedar akan pentingnya Lino Tonti dalam sejarah Aermacchi, saya memang sudah terlambat untuk menemuinya kerana beliau telah meninggal dunia pada tahun 2002. Dulu saya hanya berminat dengan Aermacchis empat lejang. Selepas memilikinya, saya memutuskan untuk mengumpul koleksi motosikal ini sejak awal yang ketika itu kebanyakannya menggunakan enjin dua lejang.”
Lino Tonti adalah sebahagian daripada sejarah. Saya mula meneliti dan segera menyedari bahawa dia telah dipandang rendah walaupun oleh orang Itali yang berpengetahuan. Ketika berada di autojumble, saya pernah mendengar orang berkata, “Pergi dan bercakap dengan lelaki Perancis itu, dia tahu semua!” Bagi saya, Lino Tonti adalah progettista (perekacipta) dari Itali selepas tamatnya era peperangan dan telah mencipta begitu banyak projek menarik, bermula dengan skuter Cigno.”
Tonti telah mereka sendiri prototaip Cigno atau ‘Swan’ dengan enjin dua lejang, bersesaran 123cc dengan transmisi tiga kelajuan. Model ini adalah gabungan motosikal dan skuter. Rekaan ini cukup pintar! Terdapat tangki bahan bakar 'palsu' yang sebenarnya ialah kotak simpanan manakala tangki bahan bakar sebenar berada di bawah tempat duduk.
“Tonti telah membuat temujanji dengan General Tentera Udara yang bertanggung jawab atas Aer Macchi (ejaan ketika itu) untuk menunjukkan jentera ciptaannya dan tujuan pembuatannya. Ketika dia tiba di kilang untuk mengambil beg bimbit yang diikatnya di rak bagasi belakang, Tonti dapati beg itu sudah terbuka. Semua gambar dan kertas kerja yang berkaitan dengan projek itu telah berterbangan!”
“Tonti mencari semula dan menjumpai sebahagian besar daripadanya tetapi dia telah lambat untuk temujanji. Sebaik sahaja sampai, general tersebut agak marah dan sudah siap sedia untuk beredar. Mujurlah Tonti dapat meyakinkan beliau untuk melihat Cigno ciptaannya itu. Akhirnya Tonti diterima untuk bekerja di Aer Macchi dalam bahagian pengeluaran dan berpindah ke Varese. Mereka telah mengeluarkan 3,500 unit Cigno dalam masa empat tahun,” kata Nibart yang kini memiliki satu unit Cigno 125cc asli dan masih boleh digunakan.
Alain juga memiliki sebuah jentera silinder kembar 250cc salah satu daripada 40 atau 50 buah yang dikeluarkan pada tahun 1952-53. Unit milik Alain bernombor siri No.44, versi Cigno dua lejang yang dipasang pada jentera berkerangka bentuk U dan lengkap dengan penyerap hentak belakang berkembar. Bentuknya cenderung kepada motosikal daripada skuter. Berbanding Cigno, model 250cc hanya didatangkan dengan satu tangki sahaja.
“Harga untuk Aermacchis selalunya mahal sehinggalah Harley melibatkan diri pada tahun 1960. Ini adalah kerana produk mereka dibina mengikut piawaian penerbangan. Ia bertahan lebih lama, rekabentuknya sangat inovatif tetapi harganya lebih mahal untuk dibeli. Chimera kelihatan seperti Kereta Amerika 1950-an, sementara reka bentuk Bicilindrica mengingatkan saya kepada kerusi Le Corbusier!”
Tonti kemudiannya menyerahkan rekaan baru kepada pengurusan Aer Macchi pada tahun 1954 iaitu Dama, sebuah skuter 250cc dengan enjin silinder tunggal, empat lejang, empat kelajuan. Atas sebab-sebab yang belum jelas sama ada rekaannya itu ditolak atau diterima untuk pengeluaran, Tonti membuat keputusan untuk meninggalkan syarikat dan pindah ke Mondial. Tonti menggantikan Fabio Taglioni, yang ketika itu telah bertukar ke Ducati. Alain Nibart mempunyai satu daripada tiga model prototaip Dama dihasilkan yang kesemuanya menggunakan kerangka dan mesin yang sama tetapi dengan rekaan luaran yang berbeza.
“Model yang saya miliki adalah versi skuter dan satu-satunya yang masih boleh berjalan dengan lancar dan saya juga mempunyai semua alat gantinya. Terdapat versi motosikal di Rimini dan model pengembaraan yang tidak siap sepenuhnya. Apa yang menarik ialah Tonti ada memikirkan untuk mengeluar-kan jentera versi diesel. Enjin Dama (petrol) diposisikan secara efektif ke sebelah sisi kerangka, dikemaskan dengan kotak gear empat kelajuan dan diperkenalkan sebagai Linto.”
“Selepas rekaan Tonti ditolak oleh sekumpulan pelabur industri di Milan, Tonti menyertai Mondial dan terus membangunkan jentera baru iaitu DOHC 125/250GP Racer. Jentera tersebut akhirnya meraih gelaran Juara Dunia pada tahun 1957. Sebelum itu, dia turut menggunakan enjin Linto Bialbero miliknya pada streamer Aer Macchi Siluro yang ditunggangi oleh Massimo Pasolini untuk memecahkan rekod Dunia 50cc dan 75cc NSU di Autostrada, laluan sebelah utara dari Milan ke Como.”
Pada tahun 1954, Tonti turut menghasilkan sebuah karya yang cukup istimewa bernama Marilina. Ia adalah sebuah jentera dua lejang, 250cc yang direka untuk pengembaraannya ke Eropah bersama isteri tercinta sewaktu berbulan madu. Selepas meninggalkan Aer Macchi, Tonti mempunyai banyak masa untuk menyiapkan jentera itu. Dimulakan dengan membeli sebuah jentera 250cc, enjin kembar daripada Umberto Premoli, seorang pengedar dan kemudiannya menjadi rakan kolaborasi untuk perlumbaan 500GP.
Tonti bersama kumpulan kecil para pereka yang turut disertai oleh pereka handal, Massimo Pasolini dan Alcide Biotti berjaya mencipta sebuah jentera yang diinspirasikan oleh bintang filem terkemuka, Marilyn Monroe atau Marilina dalam bahasa Itali. Selepas mengeliling Eropah, Tonti menjual motosikalnya itu kepada jirannya di Varese pada tahun 1961.
“Saya pernah melihat gambar motosikal yang dimaksudkan tetapi nama yang nyatakan ketika ialah Marolina dan seharusnya menggunakan enjin Aermacchi tetapi tidak ada seorang pun kenalan saya yang tahu apa-apa tentang itu. Tidak lama kemudian, saya dikenalkan dengan seseorang yang dikatakan mempunyai 'badan' motosikal itu dan saya juga telah menghantar model-model yang saya miliki.”
Kami telah bertemu di sebuah ladang, 25 kilometer dari Varese dan di sana terdapat lebih daripada sedozen motosikal termasuk jentera perlumbaan tahun 1920an hingga unit 2010 Ducati WSBK Factory. Saya berjaya mendapatkan 'badan' Marilina itu dan berusaha gigih untuk mengumpul setiap bahagian dengan sempurna. Selepas menghabiskan ratusan jam membaik pulih motosikal hebat ini, kepakaran Dominique Secco dan Atelier Renard membolehkan saya memperkenalkan semula Marilina di mesyuarat Varano Hictoric yang diadakan di Itali pada tahun 2019.
Turut dipamerkan ialah Linto 500GP kembar-parallel OHV yang direka oleh Tonti pada tahun 1966-67. Model ini turut digunakan dalam perlumbaan yang terbukti memiliki prestasi yang mantap, mampu mengelakkan diri daripada ditinggalkan satu lap oleh Giacomo Agostini bersama MV-3nya. Alain Nibart bernasib baik kerana menjadi 'penjaga' jentera produksi lumba ini. Ia pernah digunakan oleh pelumba kelahiran Hungary yang menetap di Switzerland iaitu Gyula Marzowszky yang berjaya meraih tempat kedua pada tahun 1969 500GP Kejuaraan Dunia.
Alain Nibart telah mengumpul koleksi unik dari salah satu produk Itali yang kurang dikenali ramai. Ini mungkin disebabkan enjin silinder tunggal pushrod / OHV mereka. Pelumba Aermacchi dan Linto GP tidak pernah dinilai setaraf dengan Paton, apalagi Gilera, Benelli atau MV Agusta tetapi itu menjadikannya lebih istimewa. Pencinta motosikal dan pengumpul dari Perancis ini cukup bersemangat untuk menyimpan khazanah motosikal Varese. Ia adalah satu penghormatan terbaik warisan beroda khususnya buat perekacipta hebat tapi kurang dihargai seperti Lino Tonti. RR
Laporan: Alan Cathcart
Foto Kredit: Kel Edge
Popular