Jelajah Semenanjung 2020 Bersempena Hari Malaysia & Demi Barisan Hadapan (BOMBA)
Pengembaraan ini telah diilhamkan oleh ketua kembara iaitu Tuan Izman Adnan dan dilakukan bersempena Hari Malaysia. Berbekalkan masa selama sembilan hari, 14 orang peserta telah bersetuju untuk melaksanakan dan merealisasikan kembara ini. Mereka adalah Izman, Fazly, M. Mudzammir, Hafiz, M. Yusri, Hassan Basri, M. Latif, M. Firdaus, M. Helmi, Harpiszziy, M. Nur Ammar, A. Khairi, M. Azlan dan Rosnizam.
Tujuan pengembaraan ini adalah untuk menghargai pasukan Barisan Hadapan yang bertungkus lumus dalam usaha membendung penularan pandemik COVID-19 dan pada masa yang sama meraikan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Pemilihan pasukan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) untuk diraikan dalam kembara ini adalah kerana pasukan Bomba merupakan tulang belakang dalam proses pencegahan virus dengan penglibatan penuh dalam sanitasi awam di semua premis di seluruh negara. Dengan hasrat inilah, para peserta telah mendapatkan penajaan dari Ika Houseware Supermart berbentuk Pelitup Muka yang akan diberikan kepada semua balai yang dilawati. Prima Avenue Cyberjaya pula telah menaja bendera Malaysia dan bendera negeri untuk diedarkan di setiap balai yang dilawati.
Pengembaraan ini juga memberi peluang buat para peserta melawat setiap negeri, mendalami kepelbagaian budaya dan makanan serta menghayati suasana jalan kampung di setiap negeri yang agak jarang dilalui (perjalanan kembara tidak menggunakan lebuh raya).
Hari Pertama: Pasukan kembara berkumpul di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya pada jam 7.00 pagi untuk penyediaan terakhir sebelum berlepas. Perlepasan kembara disempurnakan oleh YS Pengarah JBPM negeri Selangor PKPjB iaitu Hj Norazam Khamis bersama-sama Presiden CRCC, En. Ahmad Nizam Mohd Esman.
Kembara menuju ke lokasi pertama iaitu BBP Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan. Kami tiba pada jam 10.00 pagi dan disambut oleh Ketua Balai, PPgB Mohd Kamal Bin Mohd Timar bersama-sama anggota balai berkenaan. Kami dihidangkan dengan jamuan ringan sebelum acara penyerahan plak penghargaan, bendera Malaysia, Bendera Negeri beserta Pelitup muka.
Konvoi kemudiannya bergerak ke lokasi kedua iaitu BBP Ayer Keroh, Melaka. Dalam perjalanan ke sana, sempat juga kami singgah di gerai Seri Pantai Mak Jah di Pangkalan Balak. Konvoi tiba di destinasi kedua pada jam 1.00 petang dan bertemu dengan Ketua Zon Melaka Tengah iaitu PgKB I Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar. Kami dihidangkan makan tengahari dengan menu Ayam Penyet.
Selepas solat zohor, kami kembali menyambung perjalanan ke lokasi terakhir pada hari pertama iaitu Pasir Gudang, Johor. Jalan-jalan di dalam kawasan perkampungan memang segar, redup dan menyeronokkan. Cuaca pada hari pertama bermula dengan baik sebelum hujan renyai-renyai pada sebelah petang. Kami tiba di Pasir Gudang pada jam 8.00 malam dengan jarak keseluruhan sejauh 408.2 kilometer.
Hari Kedua: Konvoi bermula di BBP Pasir Gudang seawal jam 7.00 pagi dan disambut oleh TPgB Ibrahim Omar bersama-sama anggota balai. Kami dihidangkan makan pagi sebelum acara penyerahan istimewa dijalankan seperti biasa.
Perjalanan di waktu pagi memang baik. Langit cerah dan membiru tetapi keadaan bertukar kepada hujan lebat pada sebelah petang. Namun begitu, kami tetap meneruskan perjalanan dengan berhemah dan berhati-hati. Kami selamat tiba di Peramu, Pahang dengan jarak keseluruhan perjalanan sejauh 323.8 km.
Hari Ketiga: Perjalanan hari ini telah bermula di Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, di mana pasukan kembara disambut baik oleh Penyelia Balai iaitu PBKII Mohd Hazizi Shahi, PBKII Mohd Hairuddin Shahi dan PB Mohd Zulkanain Abdul Rapar.
Kami menuju ke Terengganu dan sempat singgah di pantai peranginan terkenal, Cherating untuk mendapatkan cenderamata buat kenangan. Jentera sekali lagi berhenti di Rantau Abang untuk berehat sambil menikmati keindahan laut membiru dan air kelapa sebelum meneruskan perjalanan.
Kami tiba di Kuala Terengganu dalam keadaan basah kuyup kerana hujan lebat 'menyapa' kami bermula dari Marang hingga ke Kuala Terengganu. Team kembara terus ke Homestay Trisya di daerah Losong untuk berehat dan membasuh baju. Selesai urusan mengemaskan diri dan pakaian, kami menikmati makan malam di Restoran Citi Seafood yang berdekatan dengan penginapan kami. Mudah... tak perlu menunggang motosikal! Jarak keseluruhan perjalanan kami untuk hari ketiga ini adalah 281 km.
Hari Keempat: Tepat jam 7.00 pagi, menuju ke Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu untuk pelepasan yang dilakukan oleh YS Pengarah JBPM Terengganu, PPjB Md Hilman Abd Rashid bersama-sama Timbalan Pengarah serta pegawai kanan yang lain. Kami dijamu makan pagi masakan tempatan yang cukup lazat iaitu Nasi Dagang Atas Tol - menu popular di kalangan orang ramai yang berkunjung ke Terengganu.
Acara seterusnya adalah penyerahan pelitup muka, plak penghargaan, bendera Malaysia dan bendera negeri. Team kembara juga menerima plak daripada JBPM Negeri Terengganu yang disampaikan sendiri oleh YS Pengarah. Kami tidak melepaskan peluang untuk berhenti singgah di beberapa tempat menarik di Terengganu seperti di Pasar Payang, Jambatan Angkat dan Penarik untuk menikmati makanan laut celup tepung.
Perjalanan diteruskan ke BBP Pasir Mas, Kelantan untuk majlis penyerahan dan menikmati minuman petang. Ini juga adalah peluang buat kami beramah mesra dengan semua kakitangan yang bertugas di sana. Semangat barisan hadapan dalam menjalankan tugas di waktu krisis seperti ini sememangnya terpuji dan didoakan agar mereka terus sihat dan komited dalam tugas. Terima kasih!
Kami berlepas dari BBP Pasir Mas pada jam 2.00 petang untuk ke destinasi terakhir iaitu pekan Gerik, Perak. Kami singgah sebentar di Rantau Panjang untuk membeli belah sebelum meneruskan perjalanan. Kami sampai di RnR Banjaran Titiwangsa pada jam 6.00 petang dan kedinginan cuaca di sini amat sesuai untuk melepaskan lelah seketika. Dari situ, kami berhenti lagi di Pelabuhan Rumah Bot Tasik Banding (Royal Belum) untuk bergambar kenangan.
Kami tiba di Pekan Gerik pada jam 8.30 malam dan amat bertuah kerana dapat membaiki motosikal salah seorang peserta di Ah Kong Kwk Enterprise. Cuaca amat menyebelahi kami kerana sepanjang perjalanan, cuaca mendung dan hanya sesekali diuji dengan hujan renyai-renyai. Jarak keseluruhan untuk hari keempat kembara kami ini adalah 388.2km.
Hari Kelima: Acara pelepasan seterusnya ialah di BBP Gerik, Perak dan bertemu dengan PPgB Azizul Aswad Asaris (Ketua Balai). Dapat juga berbual sambil menikmati sarapan pagi. Kembara bergerak dari pekan Gerik menuju ke Kangar, Perlis untuk perhentian seterusnya tetapi laluan perjalanan terpaksa diubah kerana situasi penularan Covid-19 di negeri Kedah agak kurang baik sehinggakan terdapat beberapa daerah yang telah ditutup.
Kami memilih laluan baru untuk ke Kangar iaitu dengan melalui Kupang – Kuala Nerang – Changlun – Kangar. Kami selamat tiba di Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perlis pada pukul 1.00 petang dan telah disambut oleh YS Pengarah JBPM Negeri Perlis iaitu PgKB I Ruhisha Haris.
Hilang rasa penat apabila melihat hidangan nasi minyak, ayam masak merah beserta acar buah yang telah disediakan. Selesai majlis penyerahan, kami dilepaskan untuk ke destinasi seterusnya, Sungai Petani, Kedah. Ketika di BBP Sungai Petani, kami telah diberi kebenaran untuk melihat aset-aset bomba dengan lebih dekat lagi. Terima kasih TPgB Ismail Hj Mohd Zain! Memang ianya satu pengalaman yang menarik.
Dari Sungai Petani, pendikit jentera kami dipulas lagi menyambung perjalanan menuju ke Prai, Pulau Pinang. Di sebelah malam, Ketua BBP Perai TPgB Azrul Khairi Abu Bakar telah membawa kami 'pekena' makanan popular di Pulau Pinang iaitu Char Kuey Teow Harimau Menangis di Permatang Pauh. Jarak keseluruhan untuk hari kelima adalah 388.8km.
Hari Keenam: Sekali lagi kami terpaksa bermotosikal dalam hujan renyai-renyai. Sewaktu di Balai Bomba dan Penyelamat Perai, kami dapat menyelesaikan segala apa yang dirancangkan dengan sempurna dan berterima kasih kepada TPgB Azrul Khairi Abu Bakar yang sudi hadir memberi sokongan.
Pengembaraan diteruskan di Kuala Selangor. Antara tempat-tempat menarik yang dapat kami terokai ialah bandar Taiping, Lumut dan kemudiannya menggunakan perjalanan jalan dalam Seri Manjung, Lekir, Teluk Intan, Bagan Datok, Hutan Melintang, Sabak Bernam hinggalah ke Sungai Besar.
Antara juadah menarik yang boleh rakan-rakan cuba jika berkunjung ke Warung Pisang Goreng Tebuk Pulai, Sabak Bernam ialah Kuih Kemboja, Ubi Getuk dan Punten Nasi Sambal Bilis. Konvoi selamat tiba di Kuala Selangor lebih kurang jam 8.00 malam dengan jarak perjalanan hari keenam ialah 344.9 km.
Hari Ketujuh: Syukur pada yang Esa kerana cuaca amat baik pada hari terakhir kembara ini. Setibanya di BBP Kuala Selangor, kami disambut oleh Ketua Balai iaitu PPgB Ismail Zakariya bersama-sama anggota pasukannya.
Kami dilepaskan oleh Ketua Balai tepat jam 8.30 pagi untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu BBP Jalan Hang Tuah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang mengambil masa sekitar dua jam untuk tiba. Kami tiba tepat jam 10.30 pagi dan dapat bertemu dengan Ketua Balai, TPgB Rodzlan Othman.
Kami meninggalkan kota Kuala Lumpur untuk ke destinasi akhir JBPM Putrajaya yang dijadualkan agar dapat sampai tepat jam 12.30 tengah hari. Di sini, kami telah menerima cenderamata dari Ketua Balai iaitu Alat Pemadam Api sebagai tanda kenangan. Majlis disudahi dengan acara penyampaian barang yang dibawa serta bergambar kenangan yang turut diserikan dengan kehadiran TpgB Che Shari Abdullah.
Kami hanya bermotosikal pada jarak 119.8km pada hari terakhir. Setiap peserta amat bersyukur dan berbangga setelah berjaya menamatkan cabaran kembara Peninsular Bike Trips 2020 dengan jarak keseluruhan 2254.7 km menerusi 12 buah negeri dan 14 buah balai bomba di seluruh Semenanjung Malaysia dari 10-16hb September 2020.
Terima kasih kepada YS Pengarah Bomba Negeri, Ketua Balai, penaja-penaja serta rakan-rakan yang kami jumpa di sepanjang jalan yang memudahkan kembara ini. RR
- Azmizan
Popular