Jentera Custom Malaysia Pertama Bersaing Di Jepun!
Beautiful Machines Sdn Bhd selaku syarikat pencipta jentera custom di Malaysia telah memulakan langkah pertama dengan menyertai pertandingan pengubahsuaian motosikal di 25th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2016 pada 4hb Disember ini.
Jentera yang diberi nama 'Monster' merupakan sebuah Harley Davidson Heritage Softail 1993 yang telah mendapat sentuhan enam orang pencinta dunia custom yang diketuai oleh Rajay Singh,Eng Chin Guan, Mohd Azman, Azrine, Asep dan Muhammad Irwann. Mereka berjaya menghasilkan jentera ini dengan bermodal hampir RM250,000 dan memerlukan masa pembuatan sekitar enam bulan.
Hampir keseluruhan jentera ini telah diubahsuai agar kelihatan unik, garang dan menarik. Rekabentuk hadapannya unik dan aerodinamik dan dikemaskan dengan penggunaan lampu jentera Momos yang direka semula. Tangki dan pelananya dibuat menggunakan hanya sekeping plat besi yang kemudiannya dibentuk dengan teliti sekali. Kegagahan jentera ini juga datangnya daripada tayar belakang yang bersaiz mega!
'Monster' ini juga menawarkan kuasa yang hebat dengan penambahan sistem supercharge dan menurut mereka, jentera ini akan menyertai perlumbaan di Bonneville Speed Week pada tahun hadapan.
Acara tahunan, 25th Annual Yokohama Hot Rod Custom Show 2016 yang hanya akan diadakan sehari berjaya mengumpulkan pencinta dunia custom motosikal dan kereta dari seluruh dunia. Dianggarkan kira-kira 600 buah motosikal dan 300 buah kereta unik dan menarik akan bertanding dan dipamerkan di sana.
“Penyertaan kami adalah untuk mewakili Malaysia dan berharap ianya dapat memberi inspirasi kepada rakyat negara ini untuk meneruskan minat mereka terutama dalam industri kenderaan binaan khas,” komen Rajay yang juga pemilik 'Monster' ini. RR
Popular