Kursus Keselamatan Tunggangan Marshal Oleh GIVI & MOTOWAZI
Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshal ini telah pun dianjurkan buat julung kalinya di Selangor pada bulan September dan Oktober yang lalu. Atas permintaan ramai, GIVI dan MOTOWAZI telah mengadakan kempen “Safety Riding Course Tour” yang bertempat di Bandaraya Bersejarah, Melaka.
Melaka dipilih sebagai destinasi pertama untuk Selatan Malaysia, di mana program ini berjaya mengumpulkan seramai 40 orang penunggang motosikal yang datang dari Negeri Sembilan dan Johor. Untuk mengutamakan keselamatan, pihak penganjur turut melakukan proses saringan dan pemeriksaan kesihatan kepada semua peserta semasa sesi pendaftaran supaya tiada penularan wabak COVID-19 ataupun kontak rapat di kalangan peserta serta kakitangan pihak penganjur sendiri.
Tujuan utama program ini adalah untuk mengajar teknik-teknik keselamatan tunggangan yang betul sebagai seorang marshal. Para peserta juga turut diberi penerangan berkenaan undang-undang keselamatan seperti kedudukan dan komunikasi oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sebagai tanda penghargaan, pihak GIVI turut memberikan sijil penghargaan dan sebuah topi keledar GIVI M10.2 VISTA kepada semua peserta yang hadir pada hari tersebut.
“Kami amat berpuas hati dapat meneruskan penganjuran kempen keselamatan jalan raya buat kali kedua ini bersama MOTOWAZI. Walaupun penularan COVID-19 masih aktif di Negara ini mahupun seluruh dunia, segala SOP perlu dipatuhi dan membuat saringan kesihatan serta pemeriksaan suhu badan perlu dilakukan sebelum program berjalan,” kata Pengurus Pemasaran GIVI Asia, En. Samir Sharman.
Tambah beliau, program sebegini mampu meningkatkan kesedaran buat para penunggang bahawa betapa pentingnya keselamatan jalan raya terutama ketika dalam kumpulan. Komunikasi juga amat penting supaya ahli kumpulan tidak menjadi punca kepada kemalangan jalan raya. RR
Popular