ANITA YUSOF : Tamatkan Pengembaraan Solo Dengan Jayanya!
Tahniah dan selamat pulang wirawati negara, Anita Yusof setelah berjaya melakukan pengembaraan penuh bersejarah ke 40 buah negara dengan jarak perjalanan kira-kira 65,000 kilometer. Anita berumur 49 tahun menggelarkan pengembaraan solonya itu Golden Dream Ride (GDR) dan sememangnya ia merupakan satu perjalanan yang sangat luar biasa.
Anita adalah seorang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia, Ipoh dan merupakan seorang wanita yang menggemari aktiviti lasak. Beliau juga merupakan seorang backpacker yang pernah menjelajah ke beberapa negara di seluruh dunia. Pengembaraan GDR ini bermula di Seattle, USA pada September tahun lalu dengan tujuan untuk melihat dunia, menjadi wanita pertama mengelilingi dunia dengan motosikal dan mengubah pandangan serta persepsi negatif terhadap Islam. Pencapaiannya ini juga mendapat pengiktirafan daripada The Malaysia Book Of Records.
Pengembaraannya ini bukanlah dengan menunggang jentera dual purpose berkuasa 1,000cc atau 1,200cc tetapi dengan sebuah Yamaha FZ150i. Anita cukup bertuah kerana kesungguhannya itu telah mendapat sokongan daripada pihak Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dan GIVI Asia Sdn Bhd dengan memberikan sebuah jentera FZ150i baru, kelengkapan pakaian dan aksesori yang lengkap.
“Sebelum GDR ini, saya telah bermotosikal agak jauh. Pernah sampai ke negara-negara Asia Tengah dengan menunggang FZ150i dan terbukti ia sangat tahan lasak, mudah diperbaiki, jimat dan senang dikendalikan terutama oleh penunggang kecil. Saya sudah yakin dengan kemampuannya dan itulah sebab utama mengapa saya terus memilih model ini,” kata Anita.
Dari Seattle, Anita menuju ke destinasi pertamanya iaitu Kanada. Walaupun suhu semakin menurun serta angin bertiup kencang, dia masih mampu bergerak dengan selamat. Ketika dalam perjalanannya ke Alaska, dia terpaksa menunggang berseorangan dari Smithers, Kanada ke Hyder, Alaska pada jarak sejauh 150 kilometer. Tiada orang di belakang maupun di hadapannya. Di sinilah dia dikejutkan dengan seekor beruang yang sedang melintas kira-kira 30 meter dari Anita. Ia adalah di antara pengalaman paling menakutkan baginya.
Walaupun di dalam suhu yang sangat rendah, pakaian menunggang GIVI mampu menahannya daripada kesejukan dan seperti yang dijangka, FZ150i terus menawarkan perjalanan yang lancar dan menggembirakan.
Dari Alaska, Anita berpatah balik ke Kanada dan kemudian ke Amerika Syarikat. Beliau berpeluang menikmati kejadian alam yang menakjubkan ketika merentasi Taman Negara Death Valley, Taman Negara Zion dan Taman Negara Grand Canyon.
“Ketika meninggalkan Amerika Syarikat untuk ke Mexico, Honduras dan Columbia, saya sememangnya risau sekali kerana ia terkenal sebagai negara-negara yang kurang selamat sehinggakan saya tidak dapat tidur pada malam sebelum bertolak ke Mexico. Gangster, mafia dan pengedaran dadah yang membahayakan dan pemandangan sangat berbeza berbanding di Amerika dan Kanada,” kata Anita.
“Banyak sekatan jalan raya oleh pihak polis dan tentera di merata-rata tempat. Kenderaan tentera dapat dilihat di mana-mana sahaja termasuklah kereta kebal yang siap dengan senjata. Askar-askar yang bertugas memegang senapang atas kereta kebal mesti pandang saya – memang takut sehinggalah saya dapat menyesuaikan diri.”
Keadaan di Nicaragua agak berbeza. Ia lebih bersih, lebih cantik manakala gaya pemanduan di sini juga lebih berdisiplin. Anita juga menyifatkan Granada seumpama negeri Kedah yang mempunyai kawasan tanaman padi yang kuning dan hijau. Tiada yang lebih bermakna daripada menunggang hingga ke Machu Picchu, Peru yang merupakan sebuah destinasi impian setiap pengembara. Sangat menakjubkan. Anita sempat juga bermotor di Salar de Uyuni, Dataran Garam terluas di dunia ketika tiba di Bolivia.
“Antara cabaran yang amat sukar ialah ketika menunggang di Ruta 40, Argentina sebuah jalan offroad sejauh 100 kilometer. Angin yang bertiup di sini selaju 103km/j dan ia amat membahayakan sekali. Tiga hari saya di sini dan satu-satunya cara untuk menentukan keadaan cuaca ialah dengan melihat kadar kecondongan pokok-pokok yang dituip angin.”
Setibanya di London dan hampir di seluruh negara-negara Eropah, perjalanan sudah lebih mudah, lebih selamat dan lebih selesa. Di London, Anita berjaya menerima set tayar yang dihantar oleh HLYM dan memberi kesempatan buat Anita untuk bertemu dengan bekas pelajarnya dan rakan-rakan motosikal yang kesemuanya cukup ringan tulang untuk memberi bantuan pada bila-bila masa.
Negara-negara di Eropah bukan saja menawarkan kualiti jalan yang baik tetapi juga pemandangan yang cukup memukau. Di negara ini juga memelihara khazanah pemerintahan silam yang jelas dilihat menerusi binaan arca, bangunan dan patung-patungnya. Antara bandar-bandar bersejarah dan menarik yang sempat Anita lawati ialah Cordoba (Sepanyol), Paris (Perancis), Baixa (Portugal), Milan (Itali) dan Athens (Greece).
Di Brescia, Itali, Anita diberi sambutan yang cukup meriah ketika tiba di ibu pejabat GIVI. Anita juga diberi penghargaan untuk menceritakan kisahnya dan memberikan taklimat mengenai produk GIVI yang dipakainya kepada para tetamu jemputan dan pihak media tempatan. Dia juga diberi penghormatan untuk menunggang di kawasan istana Brescia sambil diiringi oleh wakil GIVI, Mario dan dua orang anggota polis.
Eropah ditinggalkan untuk mengembara ke Asia Tengah dan cabaran baru terus bermula. Keadaan perjalanan tidak lagi cantik, cuaca juga sejuk dan timbul pula masalah rasuah atau 'duit kopi' yang diminta oleh sesetengah penguatkuasa di sana. Walaupun keadaan mukabumi dan jalan-jalan di sana teruk, Anita cukup berbangga dengan jenteranya, Yamaha FZ150i yang langsung tidak mendatangkan sebarang masalah buatnya. Menurut Anita, negara paling cantik di Asia Tengah ialah Kyrgyzstan.
“Kenangan paling tak boleh lupa ialah ketika berada di Turkmenistan. Saya kena merentasi padang pasir (soft sand) dengan suhu 50C dan ketika itu saya sedang berpuasa (bulan Ramadhan). Tempat berteduh pula tak ada, memang rasa nak pengsan sebab dah dehydrated tapi saya tetap tak nak berbuka. Saya ambil masa tiga jam untuk selesaikan offroad sejauh 118 kilometer. Mujur diberikan kekuatan untuk menahan puasa itu.”
Dari Mongolia, Anita menerbangkan jenteranya ke Thailand dan meneruskan perjalanan pulang ke tanahair sehingga selamat tiba di Bukit Kayu Hitam, Malaysia pada Hari Malaysia, 16 September 2016.
“Saya mahukan perjalanan saya ini penuh bermakna dan untuk itu objektif perlu tepat, percaya dengan diri anda dan perlu bekerja keras untuk mencapai kejayaan. Sebelum memulakan perjalanan, kita perlu mengetahui latar belakang negara yang dilalui, pelajari perkataan asas bahasa asing dan cari maklumat tentang The Do's and Don’ts,” kata Anita yang telah berbelanja lebih daripada RM100,000 duit simpanannya untuk GDR ini.
“Dalam pengembaraan ini, saya dapat berjumpa dan banyak kali tinggal bersama orang tempatan. Mereka benar-benar memberikan layanan yang baik dan membuktikan masih ramai lagi orang yang berjiwa murni di dalam dunia ini.”
Selepas kejayaan ini, Anita merancang untuk berkongsikan pengalamannya bersama para pelajar dan menghasilkan buku mengenai pengembaraan solonya. RR
Popular