Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 10 November 2016

INTERMOT 2016 : Lebih Gah, Lebih Hebat & Lebih Pengunjung!

The International Motorcycle, Scooter and E-Bike Fair, atau lebih dikenali sebagai Intermot telah berulang kembali untuk 2016 pada 3 - 9 Oktober yang lepas. Ianya berlangsung selama seminggu di Koelnmesse, iaitu tapak pameran utama di Cologne, Jerman.

BMW K1600GT Sports Tourer.
BMW K1600GT Sports Tourer.

Dengan menggunakan kawasan seluas 200,000 meter persegi, Intermot 2016 telah dimeriahkan oleh 1,133 pempamer, dan lebih daripada 200,000 pengunjung sepanjang tempoh pesta pameran itu. Tarikan utama para pengunjung tentunya persembahan model-model baru untuk tahun 2017 daripada pengeluar-pengeluar motosikal dan skuter dari seluruh dunia. Seperti tahun-tahun sebelumnya, pengunjung tidak dikecewakan.

BMW – Cafe Racer menawan

BMW Motorrad, sebagai pengeluar motosikal terbesar di Jerman telah membuka tirai Intermot dengan mempersembahkan model K1600GT, sebuah sports tourer yang dipenuhi dengan segala peralatan bantuan elektronik yang pernah dicipta dan dibangunkan oleh BMW.

K1600GT itu disusuli pula oleh dua model baru yang berdasarkan model R nine T yang sebelum ini terbukti sangat popular. Model pertama ialah R nine T “Pure”. Model ini jelas disasarkan kepada pembeli yang mahukan sebuah model yang tidak mempunyai lebihan aksesori atau peralatan supaya senang untuk diubahsuai menjadi sebuah jentera ‘custom’ mengikut kehendak dan kreativiti tuanpunya.

R nine T Racer menarik perhatian ramai di tapak pameran BMW.
R nine T Racer menarik perhatian ramai di tapak pameran BMW.

Tatarajahnya yang asas ini juga bermakna ianya akan dipasarkan pada harga yang lebih rendah (berbanding dengan varian-varian R nine T yang selainnya), menjadikan ianya juga menarik kepada bakal pembeli yang tidak ingin berbelanja terlalu tinggi.

Model baru yang ketiga dipersembahkan dan paling menarik perhatian pengunjung di tapak pameran BMW ialah R nine T Racer. Paras rupanya begitu menawan dan jelas sekali merupakan cubaan BMW untuk memasuki pasaran retro Café Racer yang semakin popular pada zaman sekarang.

Reraut separa gaya Imola mengimbas kembali kepada model R90S dari tahun 70-an, ditambah pula dengan pelana individu yang dibataskan dengan penutup pelana pembonceng beserta dengan pasak kaki yang terletak ke belakang membuat R nine T Racer ini tentunya berada di antara tempat teratas di dalam mana-mana senarai motosikal retro yang anda lihat.

Semestinya, model Racer ini akan menjadi salah satu model terlaris bagi BMW.

Kawasaki – Ninja masih menyerlah

Kawasaki telah mengumumkan beberapa pembaharuan, pertama sekali dengan jentera roket daratnya, H2. Kawasaki akan mengeluarkan edisi terhad (untuk sesuatu yang memang sudah terhad), yang dinamakan H2 Carbon.

Kawasaki H2 Carbon hanya dihasilkan 120 unit sahaja. Foto: INTERMOT
Kawasaki H2 Carbon hanya dihasilkan 120 unit sahaja. Foto: INTERMOT

Edisi Carbon ini diletakkan ampaian monoshock belakang jenis Ohlins TTX, dan penambahan sistem bantuan elektronik. Yang paling menarik ialah penunjuk sudut kecondongan yang mengesan betapa rendah penunggang menyerong ketika mengambil selekoh. Ini bermakna jika anda salah seorang yang bertuah memiliki satu daripada 120 unit H2 Carbon ini, anda boleh tahu serendah mana anda berbaring ketika mengambil selekoh.

Kawasaki juga mempersembahkan model ZX10RR, yang mana 500 unit akan dikeluarkan untuk tujuan homologasi, supaya ianya boleh digunakan untuk perlumbaan. Disamping itu, ianya juga menunjukkan model Z1000SX yang telah diperbaharukan untuk tahun 2017.

Tetapi yang paling menarik, terutama sekali untuk pasaran Malaysia ialah persembahan model Ninja 650 yang menggantikan model ER-6F yang terkenal di sini. Ninja 650 ini masih lagi menggunakan enjin 2 silinder selari, sama seperti ER-6F, tetapi telah dinaiktaraf dengan beberapa kemajuan seperti penambahan klac “slip and assist” untuk membuat penuas klac sangat ringan, pengurangan berat sebanyak 15kg, dan penjimatan minyak sehingga 6.8%.

Kawasaki juga nampaknya akan mengumumkan pengganti kepada ER-6n – yang lebih popular di negara kita berbanding dengan ER-6f – tidak lama lagi. Model itu pula akan dinamakan Z650.

Kita tidak sabar untuk melihat Z650 itu!

Honda CBR1000 Fireblade SP menjadi tumpuan utama di INTERMOT.
Honda CBR1000 Fireblade SP menjadi tumpuan utama di INTERMOT.

Honda – Fireblade 25 tahun

Cepatnya masa berlalu dan kini Honda menyambut ulangtahun ke-25 dengan model Fireblade yang amat popular di kalangan peminat motosikal. Ruang pameran Honda menjadi tumpuan utama di Intermot. Selain CBR1000RR terkini, para pencinta model jalanan turut terpesona dengan pengenalan model CB1100 terbaru. Info yang lebih terperinci mengenai model-model baru ini, para pembaca bolehlah ke ruangan Model Baru dalam keluaran November ini.

Yamaha – Semakin mengancam

Bagi Yamaha, tiga model diperkenalkan di Intermot, dua daripadanya merupakan pembaharuan kepada barisan model MT, iaitu MT-09 dan MT-10.

Model MT-09 merupakan model yang cukup popular bagi Yamaha, dengan rekabentuk yang garang dan enjin 3-silinder 850cc yang cukup bersemangat. Setelah 3 tahun dilancarkan, Yamaha telah membuat beberapa pembaharuan kepada model ini untuk 2017. Yang paling ketara sekali adalah perubahan di bahagian hadapannya, dengan susunan dua lampu hadapan LED yang mirip kepada MT-10. Selain daripada itu, MT-09 ini juga telah diberikan klac “Assist & Slipper”, dan sistem penukaran gear pantas “quick shift”. Akibatnya, MT-09 kini menjadi lebih menarik, dan pada tahap harga yang masih berpatutan.

Yamaha MT-09 tampil dengan wajah baru.
Yamaha MT-09 tampil dengan wajah baru.

Untuk MT-10 pula, Yamaha mengeluarkan sebuah varian baru yang dinobatkan sebagai MT-10 SP. Model ini merupakan hasil perkahwinan model asas MT-10 dan superbike utama Yamaha, YZF-R1M. Hasilnya ialah sebuah motosikal yang pada spesifikasinya agak mengancam. Menurut Yamaha, motosikal MT-10 SP ini adalah sebuah motosikal “hyper-naked”, yang tidak mempunyai apa-apa terjemahan yang boleh difahami, sebenarnya. Dalam erti kata lain, model ini adalah tawaran Yamaha kepada sesiapa yang inginkan sebuah motosikal naked yang mempunyai ciri-ciri serta ketangkasan sebuah superbike.

Seperti juga motosikal-motosikal dari pengeluar lain dalam kelas 1-liter ini, MT-10 SP dibekalkan dengan pelbagai sistem bantuan elektronik dan sistem ampaian canggih untuk membuat pengalaman menunggangnya sesuatu yang istimewa.

Motosikal scrambler Yamaha SCR-950.
Motosikal scrambler Yamaha SCR-950.

Model terakhir yang diperkenalkan oleh Yamaha pada Intermot tahun ini adalah sumbangannya kepada trend retro zaman ini, iaitu model SCR-950. Berdasarkan model XV950 Bolt, model SCR-950 ini merupakan hasil dari idaman Yamaha bagi sebuah motosikal retro Scrambler, yang seiras dengan model XT550-nya dari tahun 80-an dulu. Tetapi, ia bukanlah sebuah kenderaan off-road seperti sebuah scrambler sebenar. Ini boleh disimpulkan dari madgad depannya yang rendah, kedudukan ekzosnya yang juga rendah, dan terutama sekali penggunaan tali pacuan dan bukannya rantai untuk meluncurkan tayar belakang.

Akan tetapi, rekabentuk dan gayanya tetap menarik. Lengkung gagangnya terletak tinggi, tayarnya berbunga ketul-ketul atau knobblies, dan fork hadapannya disalut oleh setokin hitam yang mengimbas kembali zaman silam, seumpama anda dulunya selalu menunggang di tanah merah dan jalan berselut.

Suzuki – “Gixxer” besar dan kecil

Setelah beberapa tahun model V-Strom 650 tidak diperbaharui, akhirnya untuk tahun 2017, Suzuki telah membawa beberapa perubahan kepada model yang cukup kental ini. Menurut Suzuki, enjin 650cc ini mempunyai lebih daripada 60 perubahan, membuatnya bertambah responsif dan juga semakin kurang menghirup minyak berbanding dengan enjin sebelumnya, yang sudah sememangnya hebat pun.

Kedudukan ekzosnya telah diubah, menjadikan model ini lebih serupa dengan V-Strom 1000. Terdapat beberapa perubahan lagi yang dibuat agar ia kelihatan mirip dengan saudaranya yang lebih besar itu. Seperti V-Strom 650 pada tahun 2016, Suzuki juga menawarkan dua varian, iaitu V-Strom 650 dan V-Strom 650 XT untuk tahun 2017. Model pertama lebih tertumpu kepada jalanraya, manakala model XT pula mempunyai cita-cita untuk ke jalan tanah merah dan lain-lain jenis jalan tidak bertar.

Model V-Strom 1000 juga menerima beberapa penambahbaikan daripada model sebelumnya, terutama sekali dari segi sistem bantuan elektronik.

Selain daripada dua model yang diperbaharui tadi, Suzuki juga mengumumkan tiga model baru untuk 2017, dari barisan model yang mempunyai tatanama yang bermula dengan GSX.

Model pertama ialah model “naked”, GSX-S750, yang menjadi saudara kecil kepada model GSX-S1000 yang diumumkan pada tahun lepas. Ianya meminjam banyak daripada reka bentuk jentera 1-liter itu, dan mungkin menjadi tarikan kepada pembeli yang inginkan sebuah jentera yang nampak ringkas tetapi masih lagi mempunyai sistem elektronik dan brek yang moden dan canggih.

Model seterusnya ialah penghidupan kembali model lagenda GSX-R1000R. Pernah dulu Suzuki menobatkan model R ini sebagai “King of Superbikes” – Raja Superbike. Serupa seperti model Fireblade oleh Honda, model GSX-R1000R ini terletak di puncak barisan motosikal-motosikal superbike laju Suzuki, dan untuk 2017 ianya tampil dengan teknologi dan rekabentuk yang paling terkini.

Tetapi, yang paling menarik dari semua model baru yang dilancarkan oleh Suzuki, bukanlah yang berkapasiti besar ataupun pertengahan, tetapi model 125cc-nya, iaitu GSX-R125. Dengan membawa rekabentuk yang seakan-akan abang-abang GSX-R yang lebih besar, jentera ini juga ada sentuhan lain yang premium seperti lampu hadapan LED, pelana yang dibezakan antara penunggang dan pembonceng, rim tayar aluminium dan cakera brek berbentuk kelopak.

Tampilan GSX-R125 ini, dengan warna biru air seperti yang digunakan oleh Suzuki untuk motosikal MotoGP-nya membuat “Gixxer” kecil ini sungguh menawan. Sama ada ianya akan sampai ke tanahair atau tidak, tidak tahulah.

KTM – Pilihan pengembara

Bagi KTM pula, mereka mempersembahkan varian-varian baru untuk barisan Adventure mereka, yakni 1290 Super Adventure R, 1290 Super Adventure S, 1290 Super Adventure T, 1090 Adventure R dan 1090 Adventure. Dengan memperkenalkan varian-varian ini, KTM juga telah melupuskan varian-varian yang terdiri daripada enjin 1190cc and 1050cc sebelum ini.

Untuk sesiapa yang biasa dengan KTM, tentu sekali mereka akan dapat menghargai betapa hebatnya enjin 1290cc yang terdapat pada model 1290 Super Duke, yang kini dimuatkan ke dalam barisan 1290 Super Adventure. Varian untuk Super Adventure ini boleh dirumuskan seperti berikut: R untuk penunggang yang lebih cenderung kepada off-road, S untuk mereka yang tidak ada apa-apa rancangan untuk keluar daripada jalan bertar dan T merupakan gabungan daripada varian R dan S itu.

1090 Adventure R pula adalah sama seperti 1290 Super Adventure R dan 1090 Adventure adalah sama seperti 1290 Super Adventure S. Bezanya, jelas, iaitu kapasiti enjin.

Triumph – menambah ahli barisan Klasik Moden

Mereka telah mempersembahkan tiga model baru bagi tahun 2017 yang berdasarkan model Street Twin yang telah diperkenalkan pada tahun ini. Model-model ini adalah Bonneville T100, Bonneville T100 Black dan Street Cup.

Model-model “Bonnie” baru ini merupakan pengganti kepada model-model Bonnie T100 dan T100 Black sebelumnya yang menggunakan enjin kembar 865cc yang didinginkan dengan udara. Untuk tahun 2017, Triumph menawarkan Bonnie yang menggunakan enjin High-Torque 900cc dengan pendinginan cecair, seperti yang digunakan oleh model Street Twin.

Street Cup pula merupakan tawaran Triumph kepada penunggang yang inginkan sebuah Cafe Racer seperti Thruxton, tetapi tidak berkemampuan, ataupun tidak menginginkan kuasa dari jentera 1,200cc itu. Sama seperti Bonnie T100, ianya juga menggunakan enjin 900cc dari Street Twin. Malah, banyak yang diambil daripada model Street Twin itu sebenarnya untuk Street Cup ini dan sekali imbas, nampak seperti pengguna Street Twin sedia ada boleh mengubahsuai kenderaan mereka untuk bertukar kepada hampir sama dengan Street Cup ini dengan senangnya.

Ducati – untuk pelumba di hati yang menunggang setiap hari

Ducati pula hanya melancarkan satu model baru iaitu SuperSport dan variannya, SuperSport S. Menurut Ducati, model ini merupakan model yang khusus kepada peminat motosikal sportbike yang juga ingin sesuatu yang praktikal dan boleh ditunggang setiap hari. Dalam erti kata lain, Ducati mengakui bahawa motosikal seperti model Panigale cukup sesuai untuk dibawa di atas litar lumba tetapi agak memenatkan jika ditunggang di jalan-jalan biasa, terutama sekali di kawasan-kawasan bandar.

Maka, untuk menawarkan sebuah jentera yang serba boleh, Ducati telah mengambil enjin Testastretta 937cc yang digunakan pada model Hypermotard, tetapi ditalakan enjinnya supaya menjadi lebih berkuasa pada rev yang lebih rendah. Rekabentuk SuperSport ini, walaubagaimanapun, lebih cenderung kepada gaya Panigale, dengan aturan lampu hadapannya dan reraut penuh yang menutupi enjinnya.

Mahupun begitu, kedudukan pasak kakinya dan tempat duduknya tidaklah seagresif Panigale, dan peredaran kuasanya juga lebih mendatar. Ini membuatkan SuperSport lebih selesa untuk ditunggang pada jalanraya biasa dan untuk lebih lama.

Akibatnya, terlahirlah sebuah motosikal yang mempunyai paras rupa “hakcipta terpelihara” superbike Ducati, tetapi hampir mencapai tahap keselesaan barisan Monster-nya. Sungguh menarik.

Aprilia – RS125 sudah 25 tahun

Untuk menyambut ulangtahun ke-25 pada tahun 2017, Aprilia telah mengubah gelaran model RS4 125 yang sedia ada kepada RS 125. Selain daripada itu, tiada apa sangat perubahan pada model ini, dengan rupa bentuk rekaannya serupa seperti abangnya, RSV4.

Aprilia juga memperkenalkan model baru, Tuono 125 merupakan jentera 125cc yang berkongsi reka bentuk dengan Tuono V4 1100. Tetapi, bukan reka bentuk sahaja yang diambil dari Tuono V4 itu. Sistem penukaran gear Aprilia Quick Shift juga telah dipasangkan. Ini adalah penambahan yang sangat menarik perhatian bagi sebuah kenderaan kelas 125cc ini.

Selain daripada itu, Aprilia juga telah mempersembahkan beberapa perubahan kepada model sedia adanya, RSV RF and Tuono V4. RR

Oleh: Yusseri

Isu Pada

November 2016

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Warta Roda

GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024

GIVI Asia Sdn Bhd telah menganjurkan GIVI Convoy MotoGP Ride & Camp 2024 pada 2 & 3 November yang disertai sekitar 100 orang peserta hampir dari seluruh semenanjung negara, termasuk dari Perlis.

Warta Roda

Operasi Khas Motosikal Besar-Besaran Bermula....

Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.