KL Bike Week Edisi 10
Penganjuran KL Bike Week yang berlangsung pada 20-21 Disember lalu sekali lagi mendapat kunjungan yang cukup luar biasa dengan jumlah kehadiran pengunjung mencecah 10,000 orang sepanjang dua hari. Acara yang dianjurkan oleh Red Garage Enterprise dengan sokongan Tourism Malaysia ini telah diadakan di The Hangar, Bandar Malaysia dan ini merupakan kali pertama ia diadakan di kawasan yang berbumbung berbanding penganjuran sebelum ini. Lokasi baru itu juga turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan para pencinta motosikal menikmati setiap saat di acara yang disediakan.
KLBW telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof dalam suasana santai namun meriah. Dalam ucapannya, beliau berkata, Tourism Malaysia sangat menyokong penganjuran KLBW kerana perhimpunan motosikal terbabit membantu menjana ekonomi pelancongan negara. Bersempena dengan KLBW 2019, sebanyak 80 gerai jualan seperti baju t, topi keledar, pakaian menunggang, aksesori motosikal tersedia menanti para pengunjung.
Para pengunjung ternyata kagum dengan pelbagai jenis motosikal unik dan menarik yang dipamerkan di ruang utama. Bagi mereka yang menyintai hasil seni, terdapat juga ruang kreatif yang mempamerkan hasil kerja tangan seperti lukisan, karya seni, ukiran dan rekacipta yang mengenengahkan kemampuan pra pelajar UITM dalam berkarya.
Didi Resources Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jentera Harley-Davidson di Malaysia tidak melepaskanpeluang untuk sama-sama memeriahkan lagi KLBW dengan mendirikan ruang pameran yang cukup mantap. Ruang pameran ini disempurnakan dengan barisan jentera H-D serba baru, pakaian, aksesori dan lain-lain. Ruang pameran Royal Enfield sentiasa meriah dengan kehadiran para pengunjung yang kini semakin meminati jenama yang cukup lama dalam dunia motosikal.
Kemeriahan KLBW diteruskan dengan hiburan pentas yang disajikan oleh pemuzik-pemuzik tempatan seperti dari Kugiran Tepi Pantai Band, Republic of Brickfield, The Mambang Performance, The Nabil Nazmi Trio Performance serta dari Nifael Blues Band.
Antara acara lain yang diadakan di KLBW ialah Sunset Ride, tradisi pertukaran cenderahati kelab-kelab motosikal dengan pihak penganjur dan pengumuman pemenang-pemenang pertandingan motosikal kustom membabitkan kategori Best American Pro Street, Best American Custom Chopper, Best Japanese Custom Bike, Best Classic Bike, Best Superbike dan Best Custom Baggers.
Tahniah buat Milka Taniea Hidayat dari Iron Head Motor Group yang memenangi nombor bertuah berupa sebuah Harley-Davidson Sportster kustom yang sememangnya menjadi rebutan peminat-peminat motosikal di acara tersebut. Walaupun begitu, Pengarah KLBW, Muhd Idi Iskandar Abu Zahar telah mengumumkan bahawa KLBW 2019 merupakan penganjuran buat terakhir kalinya. Namun, Idi amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang berminat untuk meneruskan penganjuran KLBW selepas ini. RR
Popular