Koleksi Istimewa Ian Boyd Dari Jurien Bay
Jurien Bay merupakan sebuah pelabuhan memancing yang terletak kira-kira 200 kilometer aras Selatan Perth iaitu di pantai Lautan Hindi, Australia. Hingga ke hari ini, ia masih menjadi pusat industri tangkapan udang galah atau juga disebut cray, selepas kuota untuk penangkapan yang diperkenalkan pada tahun 2009 terlalu kecil. Ekoran daripada perubahan kuota itu, nilai pasaran melonjak dengan mendadak tetapi telah menyebabkan pengurangan jumlah kapal yang beroperasi daripada 47 kepada tujuh buah bot sahaja akhirnya.
Nilai tersebut amat sedikit walaupun hasil penyelidikan saintifik menunjukkan kadar pembiakan udang galah ini telah meningkat dengan sihat sejak tahun 1991. Sebanyak 300 buah keluarga telah kehilangan sumber pendapatan membuat keputusan untuk pindah ke tempat lain manakala syarikat pembinaan bot yang cukup popular sebelum ini juga terpaksa gulung tikar.
Ian Boyd juga berada dalam industri penangkapan cray sejak dari tahun 1964 lagi dan sudah dapat 'melihat' masalah ini akan berlaku. Oleh itu, beliau membuat keputusan untuk menjual segalanya pada tahun 2004 dan menghabiskan masa dengan motosikal. Beliau mempunyai sebilangan besar jentera klasik dan vintaj British termasuk salah satu koleksi terbaik di dunia iaitu Vincent-HRD.
“Kini sudah terdapat 69 buah motosikal di sini dan lima lagi sedang disiapkan. Saya ada 44 buah motosikal Vincents, sebuah kereta Cooper-Vincent dan beberapa buah enjin yang mempunyai kisahnya tersendiri. Itu semua sudah cukup untuk menjadikan saya sibuk dengan 'kerja',” kata Ian, seorang lelaki berumur 81 tahun yang masih tegap, kacak dan cukup cergas.
Pada mulanya beliau hanya merancang untuk memiliki koleksi kecil motosikal vintaj dengan membeli sebuah Vincent Black Knight Siri D 1955. “Saya mahu miliki pelbagai jenama seperti BSA, Norton, Triumph dan amat bertuah apabila model Vincent adalah motosikal pertama yang saya berjaya beli.”
“Saya tidak pernah mengenali jentera Vincent sehingga saat itu. Apabila model Black Night sampai di Perth, saya terus membelinya dan selepas itu, saya beli kesemua Vincent milik Tom McQuade. Tom adalah seorang jaguh perlumbaan Sidecar yang menempa nama di litar lagenda Claremont Speedway di Perth. Saya juga membeli baju lumba miliknya beserta dua buah lagi model Lightning.”
Boyd kemudiannya bertemu dengan David Bowen, seorang perekacipta yang pernah berkhidmat di kilang Victory bersama John Surtees. David telah menawarkan untuk melakukan pemulihan kepada kesemua jentera Vincent yang Boyd baru miliki. Model Vincent memang banyak di Australia tetapi dalam pelbagai kondisi dan Boyd akan terus membelinya jika ada iklan untuk dijual.
Beliau kini memiliki hampir kesemua siri produksi untuk model Vincent yang dikeluarkan dari tahun 1935 hingga 1955 ditambah dua lagi unit yang menggunakan enjin berbeza. Beliau memiliki model J yang berada dalam pasaran pada tahun 1929 dengan enjin JAP dan sebuah model P keluaran 1930an yang menggunakan enjin Rudge Phyton pada jentera jenis Berlian. Kedua-dua model tersebut didatangkan dengan saspensi belakang jenis cantilever.
Selepas berlakunya musibah dalam perlumbaan Isle of Man pada tahun 1934 – ketiga-tiga model Vincent-HR dengan enjin Phython menghadapi masalah teknikal dan menyebabkan mereka terpaksa bersara awal. Apabila Rudge Phyton tidak mahu lagi membekalkan enjin kepada pengeluar lain, Vincent dan Phil Irving (pereka dari Australia) ketika itu membuat keputusan untuk menghasilkan enjin serba baru iaitu Vincent-HR prototaip dalam masa beberapa minggu sahaja.
“Saya tidaklah menyangka dapat membeli kesemuanya tetapi itulah yang berlaku. Kini, saya sudah miliki sekurang-kurangnya satu unit Vincent dengan enjin ciptaan mereka dan Phil Irving pada tahun 1935 sehinggalah siri D terakhir untuk model Black Prince dan Black Night. Jujurnya... saya masih tidak dapat mencari dua lagi model iaitu White Shadow yang dibuat pada tahun 1950-51 tanpa kemasan enjin berwarna hitam seperti lazimnya dan satu lagi ialah siri D yang digelar Victor. Model ini hanya dapat dibuat satu unit sahaja sebelum Vincent ditutup pada tahun 1955. Model unik ini pernah dijual pada harga yang sangat tinggi beberapa tahun yang lalu.
Boyd bijak dalam pelaburan. Dia memiliki hartanah di Jurien Bay yang sememangnya amat penting untuk menampung penambahan koleksinya. Rumah yang beliau diami agak kecil, maka Boyd membina sebuah rumah baru yang lebih besar dan luas. Pada tahun 2013, bangunan impiannya telah siap dengan saiz sebuah muzium motosikal lengkap dengan ruang-ruang yang cukup menarik. Selain jentera-jentera Vincent, muzium ini turut menjadi tempat pameran jenama seperti sebuah Manx Norton dan Matchless G50 (Boyd turut mengimpikan untuk memiliki model 7R AJS), Gilera Saturno Sport, beberapa unit Velocettes, model-model Norton yang lain, Royal Enfield dan banyak lagi.
Koleksi kereta juga tidak terkecuali, antara yang beliau miliki ialah Jaguar XJ-12 1990 model salun, siri Jaguar E-Type 1½ Coupe 1970 dan Bob Jolly 998cc Cooper. Boyd turut mempamerkan WW2 Vincent-HRD 500 yang pernah bersaing dalam Manx Grand Prix 1935, Vincent siri B dan siri C, model beserta sidecar buatan Rex Tillbrooks seperti model Dandaloo.
Model paling menarik dalam keseluruhan koleksinya ialah Black Lightning Dragster yang merupakan unit kedua terakhir daripada 36 unit yang telah dikeluarkan. “Enjin ini asalnya dibuat untuk kereta Cooper tetapi selepas enjin Coverty Climax diperkenalkan, Cooper membatalkan pesanan. Seorang warga Australia, Bill Hocking terus meminta pihak kilang mengeluarkan enjin tersebut untuk dipasangkan pada jentera drag.”
“Kami cukup yakin bahawa ia digunakan untuk berlumba di Amerika, tetapi kemudian datang ke Australia dan pergi ke kilang membuat pesawat Boeing di Fishermans Bend yang terletak di Melbourne. Jentera drag ini kemudiannya dimasukkan sistem supercharger Shorrocks. Tom McQuade, sahabat baik kepada Bill Hocking adalah pemilik berikutnya. Dia membawa motosikal itu ke Australia Barat, meletakkan enjin pada mesin lumba sidecar untuk menyertai perlumbaan Claremont Speedway pada tahun 1962.
Mereka menghadapi banyak masalah dengannya kerana laluan lurus dalam litar tersebut tidak cukup panjang untuk menyalurkan udara pada enjin. Ini menyebabkan omboh di silinder hadapan cair. Oleh itu, Tom kembali membina jentera untuk drag race dan mencuba nasib di kejuaraan Ravenswood pada tahun 1982. Dengan jentera yang berkuasa 165hp ini, beliau dapat mencatatkan masa sepantas 9.26 saat untuk jarak suku batu dengan kelajuan mencecah 230km/j.
Turut terdapat di muzium tersebut ialah sebuah Vincent Black Lightning 1952 yang pernah dibeli oleh seorang pelumba kereta dari Thailand iaitu Putera Bira yang akhirnya digunakan dalam perlumbaan Australian Sidecar Speedway. Model ini adalah satu lagi unit yang cukup istimewa dan bersejarah.
“Dari tahun 1937 hingga 1939, terdapat kira-kira 80 siri A kembar telah dibina dan kami percaya 35-40 buah unit daripadanya masih terdapat di dalam dunia ini. Tiga datang ke Australia. Satu di Victoria, satu di Tasmania dan satu lagi di Australia Barat. Unit yang berada di Tasmania telah dibuat semula menjadi model Ginger Woods replika yang lengkap dengan racing cam, sistem ekzos yang kuat dan digunakan dalam perlumbaan.
Malcolm Bailey dari New South Wales kemudiannya menjadi pemilik baru kepada jentera dan membaik pulihnya semula pada tahun 1981 dengan sempurna sekali – nampak baru. Pada tahun berikutnya, dia mempunyai 10 buah Vincent yang disimpan dalam sebuah gudang di Newcastle. Sayangnya gudang itu dibakar oleh mereka yang tidak bertanggung jawab menyebabkan habis semua terbakar. Kal Carrick membeli sisa kebakaran itu dan berjaya mengubah segalanya kembali cantik seperti sediakala. Kal dan kawannya, Neale Videan turut berjaya membina sebuah replika untuk Siri A 1939.
Boyd juga memiliki satu daripada 3,000 model moped Firefly yang dibina bermula pada tahun 1953 dengan menggunakan lesen daripada pembekal komponen elektrikal untuk Vincent, Mille. Jentera ini dilengkapkan dengan enjin 45cc rekaan Phil Irving dan hanya terdapat dua unit sahaja di seluruh Australia. Dari tahun 1954 hingga 1955, enjin ini telah dijual untuk dipasang pada sebuah basikal yang cukup unik.
Terdapat juga projek istimewa yang menghasilkan enjin Uniflow. Ia adalah kisah pada tahun 1942 di mana Irving kembali ke Vincent daripada AMC (tempat dia bekerja ketika itu) demi projek ini. Enjin ini bersesaran 497cc, dua lejang, tiga silinder, enam omboh, dua aci engkol yang direka untuk menggerakkan lifeboat yang bersaiz 10 orang penumpang – terdiri daripada para penyelamat untuk operasi Mencari & Menyelamat.
Pihak Kementerian Pertahanan British dapat menetapkan jarak purata sekitar 1,600 kilometer pada kelajuan 6 knot hanya dengan menggunakan bahan api sebanyak 50 gelen dan enjin untuk bot ini haruslah kalis air. Hanya 50 unit sahaja berjaya dibina dan masih tinggal di antara 12 hingga 15 buah enjin yang masih boleh digunakan hingga ke hari ini. Projek ini telah dihentikan selepas tamatnya peperangan.
Turut tersimpan di Jurien Bay ialah enjin Picador yang juga direka oleh Phil Irving pada tahun 1955. Enjin ini dicipta bertujuan untuk mendapatkan kontrak dengan pihak kerajaan sebagai pembekal enjin kapal terbang penyasar ML Aviation U120D. Picador dipasang pada pesawat drone untuk menggantikan kapal terbang berjuruterbang biasa dalam suatu misi tertentu. Ciptaan Irving ini telah pun diuji di kawasan gurun Africa Selatan pada tahun 1951 hingga 1953.
Sayangnya, mereka menghadapi masalah elektrik walaupun ada ketikanya enjin ini mampu terbang selama 45 minit sebelum kehabisan bahan api. Ia dilengkapkan dengan payung terjun agar masih mampu digunakan semula. Tidak lama kemudian pihak tentera telah menghasilkan peluru berpandu yang menyebabkan pihak tentera tidak memerlukan perkhidmatan pesawat drone – pesanan terpaksa dibatalkan. Vincent kemudiannya menjual enjin ini pada harga £70 seunit untuk beberapa orang pelumba yang memerlukan bahagian yang asalnya turut digunakan dalam jentera hebat Black Lightning.
Terdapat satu lagi 'benda' menarik dalam koleksi Boyd iaitu salah satu daripada 13 enjin Speedway yang dibina pada tahun 1948 menggunakan pra-engkol perang. Ia berjaya digunakan dalam perlumbaan di Trek Belle Vue Manchester selama 12 bulan oleh juara dunia Peter Craven dan adiknya Brian. Kedua-dua saudara itu kemudiannya diberitahu untuk mengundur diri kerana trek tersebut telah menandatangani perjanjian eksklusif untuk digunakan hanya oleh pasukan JAP sahaja.
Ian Boyd turut mempunyai dua buah mesin yang digunakan oleh pelumba jalanan Gray Flash 500cc. Satu original dan satu lagi model replika yang dibina sendiri oleh John Surtees. Model 1951 yang dimilikinya juga adalah salah satu daripada tiga jentera jalanan Grey Flash yang hanya dibina sebanyak 32 unit sahaja. Pastinya kita akan mengagumi model Gray Flash moden yang juga dibuat sendiri oleh John Surtees sebagai model replika kepada salah satu jentera yang dia sendiri gunakan dalam perlumbaan. Grey Flash ini dibeli oleh seorang kolektor di Jerman.
Pemilik asal itu juga memiliki salah satu model Egli-Vincent yang asal dengan casis tertulis No. 5 yang dibina oleh Fritz pada tahun 1960-an.Terdapat juga model cafe racer Egli-Vincent V-twin yang dihasilkan pada tahun 1968 oleh Londoner Terry Prince.
Sejak syarikat Vincent ini kembali mendapat permintaan di kalangan para peminat motosikal iaitu pada tahun 1959, terdapat beberapa percubaan untuk memodenkannya. Ian Boyd miliki dua daripadanya. Salah satu dikeluarkan oleh Terry Prince setelah dia berhijrah ke Australia pada tahun 1982. RTV 1200 pula adalah projek yang diusahakan olehnya pada tahun 1997 untuk membuat pelumba kafe jenis 70-an yang berkuasa Vincent klasik.
Antara model lain yang turut dipamerkan ialah Black Shadow V-twin yang menggunakan mesin Honda RC51 / VTR1000. Model ini dibina oleh Bernard Li di California. Li telah memperoleh hak AS untuk nama Vincent, dan membangun kan prototaip tetapi ketika projek itu jatuh, dia beralih ke Honda, dengan jaminan bekalan dari Honda. Li meminta jurutera Arizona James Parker (pencipta kerangka RADD) untuk membina empat buah jentera prototaip berbeza untuk menaikkan kembali nama Vincent. Tetapi segalanya tinggal memori sahaja apabila Li terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2008 ketika menunggang motosikal di Texas. Ia dipercayai disebabkan oleh serangan jantung.
Walaupun tidak dibuka untuk tontonan umum dan lokasi muzium ini juga agak jauh, Ian Boyd tidak pernah kesunyian. "Saya menerima kunjungan sepanjang masa dari pelbagai jenis individu dari seluruh dunia, dan dari kelab-kelab basikal tempatan. Saya dengan senang hati membiarkan orang ramai datang dan melihat koleksi saya. Kami juga tidak pernah menghadapi masalah keselamatan. Setiap pengunjung tahu batas-batas sedia ada dan melakukan perkara yang betul.”
Selain melihat keunikan dan keanggunan koleksi motosikal, para pengunjung turut dapat menikmati kecantikan alam dan juadah makanan tengahari crayfish yang cukup lazat. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Jim Scaysbrook
Popular