Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 27 Oktober 2020

Retro Tours & Joel Samick Kembara Melihat Koleksi Motosikal

Pernah tak anda tertanya-tanya, “Mengapa tak ada orang terfikir untuk melakukannya ya?”

Jujurnya, itulah reaksi saya ketika pertama kali bertemu dengan Joel Samick dan syarikat Retro Tours miliknya yang beroperasi di Timur Laut Amerika (www.retrotours.com) beberapa tahun lalu. Saya telah berkesempatan untuk menziarahi Joel dan isterinya selama dua hari di rumah besar mereka yang terletak di Pennsylvania, sempadan Delaware dan menunggang beberapa buah motosikal mereka.

Rumah mereka lengkap dengan garaj dan bengkel besar yang mampu meletakkan 23 buah jentera kembar-silinder, dua buah jentera empat silinder, sebuah Honda Gold Wing 1976 dan sebuah Suzuki GS550 ES 1983. Bagi mereka yang ingin menyertai lawatan jentera klasik bersama Retro Tours, terdapat beberapa model hebat yang sedia untuk dipilih. Antaranya ialah model 1970 iaitu Bonneville 650 dan T100C Triumphs, Rickman Interceptor 1971, Norton Commando Fastback 750 1973, Yamaha TX750 1973, Suzuki T500 Titan 1975 – terdapat dua model dua lejang iaitu Moto Guzzi 850T3 1976, Harley Davidson XLCR 1977 dan lain-lain lagi sehinggalah bertemu dengan GS550.

Joel Samick
Joel Samick

Ini adalah satu koleksi jentera zaman silam yang telah disediakan oleh Joel untuk menjadi pilihan para pelanggannya yang akan menunggang ke Kenneth Square PA yang terkenal sebagai Ibu Kota Cendawan yang juga merupakan pintu masuk sebuah kawasan menunggang yang sangat-sangat cantik. Melancong ke tempat itu dengan menunggang motosikal klasik memang terasa benar keaslian dan bagaikan kembali ke zaman silam.

“Penting untuk saya tekankan ialah motosikal yang ditunggang itu tidak dibaikpulih dengan sempurna dan ia adalah koleksi jentera jarak tempoh dekat,” kata Joel, berumur lebih daripada 60 tahun yang menggunakan motosikal sebagai jentera kegunaan harian sejak masih kecil.

“Kesemua motosikal ini berfungsi serta boleh dinaiki kerana dijaga dengan cermat. Jangan pula menunggang sesuka hati. Saya tidak mahu memodenkan semua motosikal itu kerana keadaannya dalam bentuk asal sudah cukup cantik. Ok…. saya ada menggantikan beberapa bahagian asal dengan yang baru seperti penyerap hentak, lampu, hon, lampu isyarat dan lain-lain. Saya mahu para pelanggan menikmati jentera ini seperti mana orang-orang terdahulu dan setakat ini, para pelanggan saya juga mahukan hal yang sama iaitu untuk mengenali serta mempelajari serba sedikit mengenai motosikal-motosikal lama.”

Benelli Tornado 650S
Benelli Tornado 650S

Setiap pelanggan yang mendaftarkan diri bersama Retro Tours ini akan dapat mencuba lebih daripada sedozen motosikal retro di sepanjang perjalanan. Adalah menjadi polisi syarikat agar kumpulan konvoi ini akan berhenti di setiap 80 atau 120 kilometer perjalanan untuk berehat, isi petrol dan bertukar-tukar motosikal.

Joel Samick turut berkongsikan pengalamannya dengan dunia dua roda yang menyebabkan dia terus melekat sebagai 'mat motor'. “Ketika itu saya masih berumur 16 tahun, bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah restoran. Pada suatu malam, kawan saya datang ke restoran dengan menunggang Lambretta 200 sambil menyatakan hasratnya ke Montreal untuk bertemu dengan kenalannya. “Do you want to come?” tanya dia.

“Sebaik sahaja habis bertugas, kami berdua menaiki Lambretta itu menuju ke utara... 480 kilometer untuk ke Montreal. Saya tidak pernah menunggang motosikal ketika itu dan hanya pernah menjadi pembonceng sahaja. Kami masih di atas jalan walaupun sudah jam 3.00 pagi sehinggalah Steve terlalu mengantuk dan kepenatan. Dia mengajar saya cara-cara menggunakan klac dan pendikit – giliran saya pula untuk membawa skuter itu.”

Rickman Enfield Interceptor 1971
Rickman Enfield Interceptor 1971

“Sampai di sempadan Kanada, saya menelefon ibu dan katakan saya akan bercuti untuk beberapa minggu. Ibu saya memang marah tetapi saya tetap tinggal dan mengembara di sana. Kami menunggang Lambretta ke mana-mana sahaja dan ia adalah satu pengalaman paling indah buat saya. Oh ya... kami pulang ke rumah selepas puas bercuti! Itulah Retro Tour saya yang pertama.”

“Kisah kedua ialah ketika saya masih belajar di Schenectady, New York. Saya ketika ini mengambil dua jurusan iaitu Kejuruteraan Elektrik dan Falsafah tetapi kemudiannya saya membuat keputusan untuk tidak mahu belajar di kolej lagi... saya mahu bekerja dengan apa sahaja berkaitan motosikal. Seorang kenalan baik telah memberikan saya sebuah Honda CL450 yang membuatkan saya amat teruja untuk mengenali selok belok sebuah motosikal.”

“Saya berhenti kolej dan terus ke sebuah pusat pengedar Honda tetapi gagal untuk mendapat kerja di situ kerana tiada pengalaman serta tidak tahu apa-apa mengenai motosikal. Saya tidak patah semangat dan terus 'bekerja' sebagai tukang sapu sampah tanpa sebarang bayaran, percuma! Satu hari pihak pengurusan kekurangan pekerja dan saat itulah saya diterima sebagai pekerja yang sah.”

Kawasaki W3 1972
Kawasaki W3 1972

Kisah Joel dengan Lambretta dan Honda itulah yang menyebabkan dia terus jatuh cinta dengan dunia dua roda termasuklah pernah mengembara ke Eropah pada tahun 1969. “Ketika itu, saya merupakan salah seorang warga muda Amerika terawal yang membeli Norton Commando di Elite Motors, London sebelum memulakan pengembaraan Eropah.

Apabila pulang semula ke Boston, Joel kembali bekerja di salah satu pengedar Honda dan turut menjadi tenaga pengajar di Motorcycle Maintenance di Boston. Isterinya Lynn adalah salah satu pelajar di situ dan telah pun mempunyai sebuah motosikal miliknya sendiri. Lynn ingin belajar tentang enjin dan semua mengenai motosikal. Tidak lama kemudian, Lynn menjadi isteri Joel.

Minat Joel terhadap motosikal terus berkembang. Dia kemudiannya menceburi bidang lumba pula, bermula dengan Yamaha RD400s sebelum bertukar kepada Suzuki GS550 yang memberikannya kemenangan di Kejuaraan Alphabet Club’s Middleweight Production yang diadakan di beberapa buah litar tempatan. Di saat itu juga Joel inginkan mencuba nasib dalam kelas Formula 1 selepas melihat Dwight Roy menjadi juara dengan menggunakan sistem ekzos Yoshimura.

Joel Samick & Kel Edge di atas jentera BMW R100S 1977 + EML Sidecar.

“Saya minta boss belikan motosikal yang saya ingin itu sebagai ganti kenaikan gaji dan dia juga membenarkan saya untuk menggunakan van syarikat sebagai jentera pengangkutan. Saya berjaya muncul juara dalam perlumbaan tersebut dan pada tahun 1981, saya beralih ke AMA Superbike dan banyak lagi pada usia 30an. Sertai perlumbaan memerlukan wang yang banyak dan pengorbanan masa. Saya hampir tiada masa untuk dunia, balik kerja terus masuk bengkel dan tidur. Saya juga sudah berkahwin dan apabila Lynn dapat bertukar kerja ke Motorcycle Safety Foundation (MSF), saya membuat keputusan untuk bersara dari perlumbaan dan kami berpindah ke Philadelphia.”

Selepas empat tahun bertugas sebagai Tenaga Pengajar Teknikal, Joel mendapat tawaran untuk menjadi pengedar motosikal. Joel dan Lynn tubuhkan Powersports East yang menjual pelbagai jenama yang terletak di Bear, Delaware. Tidak lama kemudian, MSF pula menyatakan untuk berpindah ke California – Lynn membuat keputusan untuk tidak ikut serta sebaliknya bekerja keras membangunkan pusat pengedarannya.

Joel yang sudah puas bekerja bersama Honda (18 tahun) terpaksa kembali bekerja dalam persekitaran yang sama. Walaupun kurang menyukainya, dia tetap teruskan demi Lynn tetapi hanya untuk lima tahun sahaja. Selepas lima tahun, syarikat mereka semakin besar dengan penglibatan beberapa rakan niaga – ia menyebabkan Joel terpaksa teruskan untuk 13 tahun lagi.

Yamaha TX750 1973
Yamaha TX750 1973

Joel semakin stress, gemuk, mudah marah dan saat itulah dia sedar bahawa masanya untuk berhenti telah tiba. Lynn terus menguruskan syarikat mereka itu hingga kini manakala Joel bertukar arah kepada menyimpan koleksi motosikal untuk ditunggang. Sebagai permulaan, Joel menganjurkan konvoi bersama kenalan rapatnya – semuanya menunggang koleksi milik Joel.

Motto yang digunakan ialah 'Almost Heaven' dan ianya cukup tepat bagi para pencinta motosikal. Kami dapat menunggang dan mengembara ke beberapa tempat menarik tanpa membuat sebarang rancangan, tak ada tempahan penginapan, hanya bermotosikal... bila penat barulah cari tempat untuk merehatkan badan.

“Pada mulanya memang seronok tetapi lama kelamaan saya fikirkan konvoi sebegini tidak lagi boleh dilakukan dengan percuma kerana untuk memastikan motosikal itu boleh bergerak, ia memakan belanja yang tinggi. Tayar kena beli, minyak enjin kena tukar dan akhirnya saya meminta bantuan seorang kawan, Doug Snyder membuat kertas kerja untuk jadikannya satu cabang perniagaan termasuklah pengiklanan, penyelenggaraan dan harga setiap pakej.”

Retro Tour akhirnya dilancarkan secara rasmi pada tahun 2000, kini semakin berkembang dengan jayanya. “Saya tidak nasihatkan orang lain untuk menceburi bidang ini semata-mata untuk meraih kemewahan tetapi jika anda benar-benar sukakan pengembaraan mo-tosikal dan berkenalan dengan orang ramai, inilah caranya. Mungkin saya tidak akan kaya dan mungkin juga akan jatuh miskin secara perlahan-lahan tetapi sekurang-kurangnya, pengembaraan hidup dengan motosikal ini membuatkan saya gembira.

Harga yang dikenakan ialah $90 untuk satu hari. Ini termasuk sewaan motosikal, perjalanan bersama ketua konvoi (Joel sendiri), insurans asas dan makan malam. Joel telah membawa pelbagai jenis penunggang dan akan cuba sebaik mungkin untuk menjadikan setiap perjalanan itu unik, berbaloi dan menarik hati setiap pelanggannya. Setakat ini, dianggarkan secara purata akan ada lebih daripada tujuh permintaan khusus untuk setiap tahun yang melibatkan di antara tiga hingga 12 orang penunggang.”

Jadual perjalanan Retro Tours disusun dengan pakej menarik seperti - gastronomi, berkunjung ke Amish Country, sebuah perkampungan yang kebanyakan penduduknya menunggang kuda terletak hanya 48 kilometer dari ibu pejabat Retro Tours. Di sini para pelanggannya boleh menikmati pemandangan yang cukup indah serta berpeluang menunggang kuda dengan santai.

"Kami akan sentiasa mencari jalan yang kurang dilalui, menghindar lebuh raya sepenuhnya... laluan yang nampak halus di dalam peta, itulah yang dicari. Kami berusaha keras untuk mencari laluan yang dekat dengan kampung atau desa walaupun terpaksa menggunakan laluan lasak. Antara hentian lain yang dipilih ialah muzium dan pasar dalam desa.”

Etika keselamatan dan undang-undang sentiasa diutamakan, para pelanggan Joel wajib menandatangi surat akuan/persetujuan yang disediakan oleh Retro Tours. Ini termasuklah perlindungan terhadap setiap unit motosikalnya, etika ketika di jalanraya dan lain-lain.

Joel adalah seorang penggemar motosikal dan pengembaraan. Dia miliki banyak jentera retro yang unik dan paling menarik tentulah dengan keinginannya berkongsi 'kenangan' bersama para penunggang lain menerusi satu cabang perniagaan. Baginya setiap motosikal itu harus bergerak dan bukan hanya disimpan.

Itulah pengalaman yang sempat saya rakam ketika menikmati makan malam bersamanya selepas seharian menunggang sekitar 240 kilometer diturut serta oleh jurugambar Kel Edge yang duduk di side car. Mengenali rakan-rakan baru dalam satu pengembaraan memang menyeronokkan! RR

RETRO TOURS
Joel Samick
RetroTours, 101 Fox Fell Drive, Kennett Square, PA 19348 U.S.A.
Laman sesawang: www.retrotours.com
Email: [email protected]
Tel. +1(610) 608-7430

Laporan: Alan Cathart
Kredit Foto: Kel Edge

Isu Pada

September 2020

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Kejuaraan MotoGP 2024 telah berakhir selepas 20 pusingan dan 40 perlumbaan di beberapa buah negara seluruh dunia. Pada masa yang sama, hubungan perniagaan di antara dua syarikat ikonik dalam dunia MotoGP juga sudah sampai di penghujungnya.

Warta Roda

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Penunggang motosikal maut dalam nahas melibatkan tiga buah kenderaan.

Warta Roda

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Seorang peniaga maut selepas motosikal ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Tengku Mizan, di sini pada Selasa.

Dari Litar

GP Valencia 2024 Dibatalkan...Litar Untuk Pusingan Akhir Belum Dipastikan Lagi

Berikutan bencana banjir yang melanda beberapa buah bandar di Utara Sepanyol yang turut melibatkan komuniti di Valancia, pihak Dorna telah mengumumkan bahawa GP Valencia yang dijadualkan berlangsung pada 15-17 November nanti telah dibatalkan.