Konvoi Amal Yamaha Nmax
Satu program amal telah dianjurkan oleh pengurus Yamaha cawangan pantai timur, En. Say Leup Yin pada awal bulan Ogos lalu. Konvoi yang cukup bermakna ini telah berjaya mengumpul kira-kira 20 buah skuter Yamaha Nmax dan telah menceriakan anak-anak yatim di Rompin, Pahang.
Ini juga merupakan konvoi pertama buat Kelab Nmax Kuantan dan paling menggembirakan apabila telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada para pemilik jentera ini tanpa mengira bangsa dan agama.
Perjalanan sejauh 140 kilometer ini telah dimulakan di Yamaha Star Shop Kuantan pada jam 8.00 pagi. Wajah keceriaan dan semangat setia kawan menjadikan konvoi kali ini penuh bermakna. Selepas sejam perjalanan, konvoi berhenti seketika di Pekan untuk menikmati sarapan Nasi Dagang. Dengan bantuan para marshal (dua di hadapan dan dua di belakang), pergerakan konvoi lancar, selamat dan selesa.
Pada jam 11.00 pagi, konvoi berhenti di Restoran Udang Galah King Rompin untuk juadah tengahari. Dari situ, para peserta menuju ke Rumah Anak Yatim & Miskin Nur Iman. Selain menyampaikan sumbangan, adik-adik comel ini juga diberi sedikit penerangan mengenai sejarah jenama Yamaha, cara menjaga keselamatan di jalan raya dan memberi semangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya, mereka dapat merasakan kemesraan dan kasih sayang dalam meneruskan kehidupan.
Selepas mengucapkan selamat tinggal kepada anak-anak yatim di situ, para peserta bertolak ke Pantai Hiburan, Rompin untuk berehat dan mengembalikan tenaga sebelum bertolak balik ke Kuantan. Sekali lagi konvoi berhenti di Pekan dan kali ini untuk 'pekena' cendol dan rojak yang cukup popular di situ.
Selepas semua peserta kekenyangan dan gembira, Kelab Nmax meneruskan perjalanan pulang ke Kuantan dengan selamatnya. RR
Popular