Norvin Milik Ken Phelps
Tidak ramai lagi pembina/pereka tulen jentera istimewa era klasik sekarang ini. Amat sukar sekali untuk bertemu dengan mereka yang mampu menghasilkan motosikal yang benar-benar berkualiti dan tulen. Lazimnya hanya nampak cantik dari segi luaran tetapi nilai keseluruhan, ia tidaklah sehebat yang disangka. Apa pun, bukan mudah untuk kita lihat sebuah BSA atau Triton yang masih cantik meluncur penuh bangga di jalanan sekarang ini.
Ingin kami perkenalkan jentera Norvin milik Ken Phelps yang cukup mantap. Apa itu Norvin? Ia sebuah jentera gabungan enjin milik Vincent yang dipasangkan pada kerangka motosikal Norton. Ok… kita beralih kepada Phelps pula. Beliau berumur 63 tahun dan telah mengembara bersama motosikal ini lebih daripada 407,000 kilometer sejak pertengahan 1970an lagi. Dia telah menjelajah ke seluruh Australia, New Zealand dan selepas menghadiri International Vincent Rally pada tahun 1995, dia dan jenteranya kemudian ‘terbang’ ke UK pada tahun 2018 untuk menyempurnakan hasratnya menonton perlumbaan tersohor, Isle of Man TT.
Cuba kira umur Ken dan anda akan ketahui betapa cintanya Ken pada motosikal itu. Dia yang menetap di Traralgon di S.E Victoria mula membina jenteranya itu ketika berumur awal 20an, sewaktu dia berkhidmat untuk Royal Australia Air Force (RAAF) dalam bahagian mesin dan kimpalan senjata seperti bom, senapang dan peluru berpandu. Ken kemudiannya diiktiraf sebagai pakar dalam pembuatan pelana kecemasan (injector seats).
“Saya membuat motosikal ini di rumah ibubapa saya di Wolsey, di Selatan Australia yang bersempadan dengan Victoria. Saya amat beruntung bekerja di Adelaide kerana dapat berulang alik ke kampung yang berjarak 288 kilometer pergi/balik. Setiap minggu pasti saya balik untuk menyentuh serta memulihkan motosikal itu, mesti ibubapa fikir saya dah gila,” gurau Ken.
“Kini, saya masih menunggang motosikal yang sama untuk lebih daripada 40 tahun dan telah pun mengembara ke merata tempat. Sebab itulah saya masih menggunakan nombor pendaftaran kekal sebagai kenderaan Australia Selatan walaupun kini menetap di Victoria.”
Dalam era 70an dulu, Vincent merupakan salah satu jenama yang cukup popular dan menerima permintaan yang tinggi, mengapa Ken memilih untuk mengubahsuai menjadi Norvin? Bukan kah itu agak bercanggah dengan trend dan kesukaan peminat motosikal di kala itu?
“Sebenarnya saya telah membeli satu set barang-barang Vincent tulen yang boleh dijadikan sebuah motosikal lengkap. Pada usia yang masih muda, saya ingin mencipta sesuatu yang berbeza dan pada masa yang sama, alat ganti dan barangan motosikal Vincent tidaklah semudah seperti sekarang ini. Saya juga ada membeli sebuah motosikal Comet yang turut ingin diubahsuai menggunakan enjin v-kembar tetapi memandangkan semua bahagian motosikal itu masih original dan dalam keadaan baik, saya tidak meneruskan hasrat itu.”
Ken ingin mencuba untuk meletakkan enjin v-kembar pada kerangka Triumph tetapi sekali lagi membatalkan niatnya itu selepas mendapati (menerusi majalah) proses mengubahsuai itu terlalu sukar. Oleh itu Ken membuat keputusan untuk menghasilkan Norvin kerana dirasakan lebih mudah. “Bila memikirkannya semula, saya telah cuba membina sebuah motosikal yang kurang arif mengenainya – ia lebih susah dan makan masa yang lama.”
Projek Ken itu memakan masa sekitar dua setengah tahun untuk disiapkan sehinggalah Norvin miliknya itu berjaya dibawa menunggang pada tahun 1978. Sejak itu juga Ken menggunakan Norvin untuk ke mana sahaja termasuklah ke tempat kerja dan pulang berjumpa dengan keluarga. Selepas tamat perkhidmatannya dengan RAAF, Ken sempat bekerja di sebuah firma kejuruteraan tetapi tidak lama kemudian dia bertukar karier menjadi pakar pemulihan semula dan membaiki motosikal Vincent. Norvinnya tetap menjadi teman setia untuk ke mana-mana sahaja.
Jentera Norvin milik Ken ini dilengkapkan dengan enjin Vincent Rapid Series C 1953 dan ketika mula-mula mendapatkannya, enjin ini dalam keadaan yang agak teruk. “Saya membuat semula enjin ini kepada spesifikasi yang lebih mantap berbanding model Shadow, tidaklah sekuat enjin Lighting. Saya mahu ianya mudah untuk ditunggang. Enjin ini mempunyai set karburetor yang besar, aci model Shadow dan omboh bertempa.
Sistem ekzos 2-1 juga dibuat sendiri yang kini memiliki bunyi lebih mantap. Enjin v-kembar rekaan semula Ken berkuasa 65hp atau 20hp lebih tinggi daripada biasa dan 10 kali ganda lebih tinggi berbanding Black Shadow. Bearing besar yang Ken gunakan hanya bertahan untuk perjalanan sekitar 160,000 kilometer, jadi dia terpaksa menukar sebanyak dua kali sehingga kini. Sistem klac dan transmisi empat kelajuan yang Ken gunakan telah bertahan berdekad lamanya, baru sahaja dia tukarkan dengan klac motosikal Suzuki GS1000.
Itu kisah Vincent, baru separuh dari nama penuhnya. Kerangka jentera Ken ini adalah dari jenis Featherbed yang diambil daripada model Norton 99 Dominator yang dikeluarkan pada tahun 1956. Ken menerima banyak pertanyaan tentang bagaimana caranya dia memasukkan enjin Vincent ke dalam kerangka itu. “Memang cantik dan kemas tetapi untuk jadikannya seperti ini memang mencabar.
Walaupun ada di antara para pengubahsuai lain yang menggunakan dua kerangka yang disambungkan, saya tidak begitu sebaliknya hanya gunakan satu kerangka sahaja. Untuk tujuan kesesuaian ini sahaja, saya telah membeli tiga set tayar hadapan, tiga set tayar belakang, tiga buah tangki dan lima buat pelana. Kesemuanya dicuba hinggalah saya benar-benar puas hati.”
Sistem brek juga telah diubah beberapa kali tetapi kesemuanya dipasang pada fork hadapan Norton Roadholder dengan spring model Commando. Pada awalnya Ken menggunakan brek jenis gelendong milik BSA untuk depan dan belakang kemudian ditukar dengan brek hadapan dari model siri Yamaha TZ250/350 bersaiz 260mm sebelum dia memilih untuk menggunakan brek gelendong 4LS Fontana dari magnesium yang bersaiz 250mm. Brek-brek ini dipasang pada rim aloi WM2 Borrani 18 inci.
“Ini adalah alat ganti tulen dan bukannya dihasilkan. Saya cukup gembira kerana ia merupakan satu sistem brek yang progresif dan cukup efisien – membantu kita memberhentikan motosikal dengan cepat. Sepasang penyerap hentak Koni dipasang pada lengan ayun Norton dan saya telah menggunakan brek gelendong yang diambil dari model 2LS Laverda. Pada awal 1970an, model SF750 menggunakan rim aloi Borrani 18 inci – memang cantik dan saya turut memilikinya selepas mendapati ia sesuai dengan rim yang telah saya pasang pada tayar hadapan.”
Ken telah mencuba beberapa jenis tangki untuk menyempurnakan motosikal istimewanya itu. Antara yang terawal ialah tangki model Dominator tetapi tidak digemarinya. Ken tukarkan kepada tangki tidak berjenama jenis aloi yang berwarna hitam sehinggakan dia ternampak tangki asal Manx dijual dalam sebuah majalah motosikal klasik di Britian dan berjaya membawanya pulang. Tangki itu kemudiannya dihantar pada Paul Clark (kawannya) untuk dicatkan bersama topi keledarnya sekali.
“Saya kena lakukan perubahan dan perbezaan pada tangki ini kerana ia perlu ada identiti sendiri kerana jentera ini bukan Vincent dan bukan Norton, ia Norvin! Oleh itu, saya letakkan warna silver dan memang benar-benar sesuai. Oleh kerana memiliki pengalaman dalam kimpalan dan pengubahsuai motosikal, saya telah membuat tangki minyak enjin dan bahagian belakang jentera ini dengan kreativiti sendiri.
Dua tahun lepas, jentera istimewanya telah dibawa ke beberapa tempat seperti Isle of Man, mengelilingi Great Britain dengan jarak perjalanan lebih daripada 5,000 kilometer dan mengunjungi Muzium Sammy Miller - http://www.sammymiller.co.uk.
Hasil kerja tangan Ken telah membawanya berhijrah ke pelbagai tempat dan masih bertahan hingga kini. Ia adalah satu pengubahsuaian yang cukup mengagumkan. Ken menegaskan segala alat ganti yang dipasang pada setiap jenteranya telah melalui pelbagai proses sehinggalah dia berjaya mendapatkan yang benar-benar sesuai. Setiap kali berlakunya kerosakan, Ken akan cuba mengenal pasti apakah sebabnya dan akan perbaiki kelemahan itu dengan segera. Selepas beberapa kali membaik pulih, dia kini sudah cukup mahir!
“Ketika menunggang di Plymouth, injap ekzos saya bermasalah, kepalanya terkeluar dari bahagian batang. Saya fikir, mengapa ia berlaku di sini... kalau rosak di Australia kan lebih senang saya 'rawati'nya. Saya membawa motosikal itu ke Kelab Pemilik Vincent dan berjumpa dengan seorang kenalan di sana bernama Marcus Bowden. Kami membaiki motosikal itu sehingga dua pagi dan kami berjaya. Terima kasih Marcus!”
Walaupun ia adalah sebuah motosikal jalanan, Norvin pernah juga dibawa ke litar! Ken menyertai perlumbaan jentera klasik pada tahun 1980 yang diadakan di Amaroo Park dan di situlah dia bertemu dengan lagenda perlumbaan Australia, Eric Debendam (Debo) yang telah mencipta namanya dengan sebuah Norvin binaan Keith Corish. Debo berjaya meyakinkan Ken untuk berlumba dengan menggunakan motosikal yang sama dan Ken benar-benar pantas. Memang layak untuk berlumba. Ken kemudiannya membina sebuah lagi Norvin khas yang digunakan untuk berlumba sahaja.
Itulah hasil tangan orang yang sememangnya istimewa. Mereka tidak pernah berpuas hati dengan apa juga yang berada di depan mata dan sentiasa mencari ilham untuk rekaan terbaru. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kel Edge
Spesifikasi
Enjin | Sejukan udara, v-kembar, empat lejang |
Isi padu | 998cc |
Dimensi | 84 x 90mm |
Kuasa maksimum | 65 bhp pada 5,700rpm |
Nisbah mampatan | 8.5:1 |
Karburetor | 2 x 36mm Dell'Orto PHF TT |
Transmisi | 4 kelajuan |
Berat | 215kg |
Brek | gelendong Fontana 250mm (depan) & gelendong Laverda 200mm (belakang) |
Pemilik | Ken Phelps, Traralgon, Victoria, Australia |
Popular