Kawasaki Z250 ABS & Z400 SE ABS Media Test Ride
Terima kasih buat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd atas jemputan menghadiri sesi tunggang uji dua buah jentera jalanan/naked terbaru iaitu Z250 ABS dan Z400 SE ABS pada pertengahan bulan Jun yang lalu. Sesi ini diadakan adalah untuk memberikan pengalaman eksklusif menikmati kemantapan prestasi enjin dan pengendalian kedua-dua jentera naked terbaru dari Kawasaki.
RR berasa cukup bangga dengan kehadiran Pengurus Besar & Pengarah KMSB, Dato' Jeffrey Lim yang turut melepaskan konvoi pada pagi itu. Dengan kawalan trafik yang cukup professional daripada krew Kawasaki yang diketuai oleh En. Ahmad Radzi, kami dapat menyusuri pelbagai jenis jalan dengan selamat dan lancar. Perjalanan pada hari itu melalui beberapa kawasan menarik seperti Bukit Unggul Country Club, Putrajaya International Convention Centre dan Cyberjaya yang berjarak sekitar 62 kilometer.
RR diberi peluang untuk menunggang model Z250 ABS terlebih dahulu. Okay... posisi menunggang selesa dengan ruang kaki cukup luas yang membolehkan kita mengubah posisi pada bila-bila masa. Pelananya cuma 785mm memudahkan jentera ini diakses oleh semua jenis penunggang tidak kira tinggi atau rendah. Pegang sahaja bar hendalnya, kami sudah tersenyum kerana ia cukup lebar dan selesa. Itulah kekuatan model-model Z selama ini dan untuk 'adik' paling baru, ia sememangnya memiliki banyak persamaan dengan ahli keluarga Z yang lain.
Dari perkarangan Bangi Golf Resort, konvoi memulakan perjalanan menuju ke Bukit Unggul Country Club. Enjin 249cc yang disempurnakan pada jentera ini memang memiliki hantaran kuasa yang mengagumkan. Kekuatan enjin jentera ini khususnya di peringkat pertengahan membolehkan kita memecut dengan pantas atau untuk memintas kenderaan lain dengan mudah. Laluan yang dipilih oleh KMSB memang sesuai untuk memperlihatkan kemampuan jentera baru ini. Ia terdiri daripada laluan berselekoh, mendaki kawasan berbukit, kesesakan bandar dan laluan luar ibukota yang tenang.
Kelincahan Z250 memang cukup ditagih lebih-lebih lagi ketika berada di dalam bandar dan di kawasan berselekoh tajam. Penunggang baru dan lama pastinya mampu mengendalikan jentera ini tanpa sebarang masalah. Selain pengendalian yang mantap, kelembutan tuas klac dan breknya juga menyumbang kepada tahap tunggangan menjadi lebih baik.
Selepas lebih kurang 40 kilometer perjalanan, kami diberi peluang untuk menunggang Z400 dan memang prestasi jentera ini lebih mengagumkan. Kuasa enjinnya dapat diraih dengan tepat di setiap pulasan pendikit dan tidak diduga,
Z400 ini mampu dipacu mencecah 190km/j dengan mudah berbanding 170km/j untuk model 250cc. Posisi menunggangnya sama dengan Z250 tetapi fairing kecil di hadapan jentera ini membantu aliran udara dari depan menjadi lebih efisien.
Kepantasan Z400 ini memecut juga kerana nisbah berat dan kuasanya yang mantap berbanding Z250. Kedua-duanya seberat 165kg tetapi Z400 memiliki hantaran kuasa maksima setinggi 33.4kW berbanding 27.5kW untuk model Z250. Penggunaan lampu LED berkembar di bahagian hadapan Z400 dan Z250 memang cantik dan bergaya. Ia mudah dilihat tidak kira masa... siang atau malam.
Kedua-dua model ini dilengkapkan dengan tayar-tayar bersaiz 110/70-17 M C (depan) dan 140/70 17 MC (belakang)
yang mencengkam permukaan jalan dengan baik. Walaupun RR dapat menunggang model ini hanya untuk seketika, secara ringkasnya Z400 memiliki prestasi di luar jangkaan.
RR akan menguji kedua-dua model ini dengan lebih terperinci tidak lama lagi. Diharap kita akan dapat lebih maklumat tentang prestasi sebenar jentera jalanan terbaru dari Kawasaki ini. Tunggu ya! RR
Popular