HONDA CBR250RR Dilancarkan Di Indonesia
Jakarta, Indonesia: PT Astra Honda Motor, syarikat usahasama Honda di Indonesia telah melancarkan model terbaru CBR250RR pada 25 Julai lalu. Model sports ini dibuat sepenuhnya di negara ini dan merupakan jentera Honda berkapasiti paling besar yang dihasilkan di Indonesia. Honda merancang untuk mula memasarkan model serba baru ini di penghujung 2016.
CBR250RR ini dilengkapkan dengan enjin 250cc DOHC, empat lejang, empat silinder dengan sistem penyejuk cecair. Enjin model dihasilkan untuk memudahkannya ditunggang di kawasan urban dan pada masa yang sama mampu memecut dengan pantas apabila dipacu di litar perlumbaan. CBR250RR dilengkapi dengan sistem Throttle-by-Wire (TBW) dengan tiga pilihan mod tunggangan. Dengan mod ini, para penunggang dapat memilih untuk menggunakan kuasa enjin yang linear mahupun yang lebih agresif.
Kemantapan CBR250RR ini pasti dapat dilihat menerusi rekabentuknya yang mirip kepada siri model-model CBR yang lain. Lampu utamanya jenis LED manakala sudut-sudut bentuknya yang tajam menonjolkan lagi sifatnya yang sporty.
Model ini menggunakan kerangka jenis keluli yang bertegaran tinggi dan fleksibel. Fork hadapannya jenis terbalik manakala keselesaan bahagian belakang disumbangkan oleh penyerap hentak jenis tunggal pro-link dengan pelarasan pra-beban lima tahap. Untuk tujuan keselamatan, CBR250RR ini dilengkapi dengan sistem brek cakera 310mm di depan dan 240mm di belakang. Turut diberi pilihan ialah model yang dilengkapi dengan sistem ABS.
CBR250RR diperkenalkan buat pertama kalinya untuk tatapan umum ialah di Pameran Motosikal Tokyo ke-44 pada tahun lepas dan telah berjaya menarik minat ramai. Honda turut merancang untuk melancarkan CBR250RR di Jepun di masa akan datang.
RR juga telah diberitahu oleh pihak Boon Siew Honda bahawa model ini belum lagi akan diperkenalkan ke pasaran Malaysia buat masa terdekat. RR
Popular