Aktiviti Amal Kelab Motor Lindungan Motor Di Melaka
Satu konvoi amal telah dianjurkan oleh Kelab Lindungan Motor terdiri daripada 40 buah motosikal pelbagai jenis serta 20 buah kereta. Konvoi yang berlangsung pada 7 & 8 Mei lalu ke Tanjung Bidara Beach Resort bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara pelanggan Lindungan Motor dan pada waktu yang sama mengumpul dana untuk disampaikan kepada anak-anak yatim.
Konvoi yang bermula di kedai Lindungan Motor, Petaling Jaya seawal jam 9.00 pagi disertai seramai 45 orang peserta. Kemeriahan dan keakraban para peserta jelas terpancar tidak kira jenis motosikal apa yang ditungganginya. Untuk melancarkan perjalanan, konvoi telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kuasa enjin. Motosikal moped di hadapan diikuti oleh jentera-jentera yang lebih besar.
Perjalanan ke Tanjung Bidara Beach Resort pada pagi itu cukup lancar walaupun hujan seakan-akan hendak turun. Konvoi berhenti seketika di checkpoint pertama iaitu di Lubuk Cina bagi menunggu beberapa peserta yang telah terlepas atau tertinggal. Selepas kesemuanya tiba dan dikumpulkan semula, pendikit dipulas bagi meneruskan perjalanan ke Restoran Ikan Bakar di Lubuk Cina yang terkenal dengan masakan ikan pari bakarnya untuk jamuan tengahari.
Perjalanan tidak tamat di situ sebaliknya setiap jentera dipacu semula menuju ke hotel yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari restoran. Setibanya di hotel kami disambut dengan minuman ringan sebelum penyerahan kunci bilik para peserta.
Bagi mengisi masa terluang di waktu petang, pihak penganjur telah mengadakan acara sukaneka. Para peserta dibahagikan mengikut kumpulan dan tujuannya adalah untuk bersuai kenal dan mengeratkan hubungan sesama peserta. Acara-acara menarik seperti tarik tali, terompah gergasi dan membawa bola ping pong dalam sudu sangat meriah. Aksi-aksi kelakar dan gelak tawa para peserta menggamatkan suasana pada petang itu.
Majlis makan malam dimulakan dengan ucapan daripada penaung Kelab & Pemilik Lindungan Motor, En. Rauzan B. Surip yang ternyata amat berbangga dengan kejayaan program pada hari itu. Beliau juga sempat berkongsi sejarah penubuhan kelab ini yang menghimpunkan para pencinta motosikal tidak kira jenama dan kuasa enjin.
Kemeriahan program malam itu diteruskan dengan pelbagai acara-acara menarik seperti cabutan bertuah, teka gula dalam balang yang menawarkan bermacam-macam jenis hadiah menarik seperti topi keledar KYT dan barang-barang motosikal istimewa lain daripada Repsol, Duro Tyre, Racing Boy, Maxima, Total Oil dan Teoh Ah Hong.
Hari Kedua
Selepas masing-masing check out, jentera-jentera yang telah rehat semalaman dihidupkan untuk bergerak ke rumah anak yatim Payasum Melaka. Di sini peserta-peserta bukan sahaja dapat meramah mesra dengan anak-anak yatim yang seramai 80 orang tetapi juga berkesempatan memberikan sumbangan.
Setelah selesai semuanya konvoi bergerak pulang ke Kuala Lumpur dan berkumpul seketika di R&R Seremban sebelum meneruskan perjalanan ke haluan masing-masing. Sepanjang perjalanan tiada masalah yang besar berlaku kecuali ada motor yang 'kecundang' akibat kerosakan tetapi masalah itu dapat diatasi dengan pantas kerana pihak penganjur telah menyediakan trak back-up sebagai kenderaan sokongan.
Pengalaman konvoi pada program kali ini ternyata memberi kepuasan kepada peserta dan sudah pasti tidak sabar-sabar lagi untuk menyertai konvoi amal seperti ini pada masa akan datang. RR
-Azrul
Popular