GAMATNYA MIRI BIKE WEEK 2016
Miri Bike Week (MBW) edisi ke-5 telah dianjurkan dengan jayanya pada 6 hingga 8 Mei lalu. Kelab Motosikal Jaguh Miri (KMJM) sekali lagi telah diberi tanggungjawab sebagai penganjur selepas berjaya melaksanakan MBW pada tahun lepas.
Dengan bertemakan “We Ride, We Care, We Win”, para bikers dari seluruh Borneo (Sarawak, Sabah, Brunei & Kalimantan), dan Semenanjung Malaysia telah bertempat di Permymall Miri yang kebetulan pada masa yang sama berlangsungnya pilihanraya negeri yang diadakan pada tanggal 7 Mei lalu. Kami juga meraikan Hari Bandaraya Miri pada setiap bulan Mei dan secara tidak langsung, ini telah menjadikan suasana di sekitar Miri lebih meriah.
Kehadiran lebih kurang 2,000 orang peserta ke Miri yang berkonvoi ke sana telah menjadikan bandaraya Miri gamat dengan deruman jentera-jentera hebat. Pelbagai jenis model motosikal sama ada yang terkini, yang diubahsuai mahu pun jenis retro menjadi daya tarikan utama pengunjung ke tapak karnival motosikal.
Bagi peserta MBW yang pertama kali datang atau kurang mengenali selok belok jalan raya di bandaraya Miri, pihak penganjur telah menyediakan Logistic Team untuk mengiringi dan membantu peserta ke tapak pesta melalui dua lokasi penting iaitu di Jambatan Asian, Kuala Baram dan di Luak Esplanet.
Pelbagai acara menarik telah disediakan untuk para peserta dan pengunjung di tapak karnival. Antaranya pertandingan motosikal tercantik, Biker Exhibition and Fair, Mr. Fitness, Beauty and The Bike, Fundace and Zumba, cabutan bertuah, Battle of the Band dan konsert rock pada malam kemuncak. Sunset Ride pula telah diadakan pada hari kedua untuk membawa dan memberi peluang kepada peserta konvoi MBW melalui tempat-tempat menarik di sekitar bandaraya Miri.
Konvoi pada petang itu berhenti seketika di Marina Bay untuk menikmati suasana matahari terbenam di tepi pantai. Inilah kesempatan terbaik buat para peserta konvoi untuk mengambil gambar kenangan bersama-sama rakan lama mahu pun rakan baru.
Salah sebuah kelab bermotosikal yang berpengkalan di Miri iaitu Liberated Rider Group juga terlibat dalam memeriahkan MBW kali ini dengan aksi hebat seperti Bike Burn Out & Bike Rem. Suasana yang panas dihangatkan lagi dengan asap dan bunyi ekzos daripada motosikal yang turut sama menyertai acara tersebut.
MBW akhirnya melabuhkan tirainya pada 8hb Mei setelah berkampung selama tiga hari di depan Permymall. Diharapkan acara ini diteruskan lagi pada tahun hadapan untuk memeriahkan lagi acara permotoran di utara Miri. Kenangan selama tiga hari akan kekal di ingatan bikers semua. RR
Oleh: farhansimon24
Popular