Kasma Berguru Dengan Rossi Di Itali!
Tahniah diucapkan buat pelumba muda dari Johor Bharu, Kasma Daniel b Kasmayudin yang telah terpilih untuk menjalani latihan bersama pelumba motosikal lagenda, Valentino Rossi. Program yang diberi nama 'The Master Champ' ini dijalankan oleh VR46 Riders Academy berlangsung pada 1 hingga 10 Julai lalu diadakan di VR46 Ranch dan di Litar Antarabangsa Misano.
Selain Kasma 16 tahun, empat lagi pelumba dari Thailand, Indonesia dan Jepun (berumur di bawah 21 tahun) dipilih berdasarkan pencapaian mereka di dalam kategori Asian Production 250cc (AP250) dalam FIM Asia Road Racing Championship 2016. “Kami amat berbangga dengan pemilihan ini dan berharap program yang dijalankan oleh Yamaha Motor Co.,Ltd. (YMC) ini mampu mempertingkatkan prestasi Kasma ke tahap yang lebih baik,” kata En. Hoo Wan Tim, Pengurus Pemasaran HLYM.
Ditemani oleh Pengurus Motosports, En. Michael Chai, Kasma memulakan sesi latihannya di VR46 Ranch pada 3 hingga 6 Julai yang merangkumi ujian kecergasan di gimnasium dan ujian pengendalian di litar lasak Motor Ranch tersebut. Selepas itu para pelumba dibawa pula ke Litar Misano untuk menyambung latihan.
“Saya sangat teruja dan bersemangat kerana terpilih untuk berguru dan menimba ilmu daripada pelumba idola, Valentino Rossi. Ia di luar daripada imaginasi untuk berada di sana bersama beliau. Saya pastinya akan cuba sedaya upaya untuk belajar dan memperbaiki tunggangan saya sebaik mungkin,” kata Kasma sebelum berangkat ke Itali.
Menyedari dia akan menerima latihan keras setibanya di sana, Kasma telah membuat latihan dan persiapan awal seperti menunggang motocross dan bersenam di gimnasium. “Saya sudah bersedia dari semua segi walaupun terpaksa menyambut aidilfitri di sana kerana ini jalan yang saya pilih dan sudah pasti akan berkorban demi menggapai impian,” tambahnya lagi.
Sedikit perkongsian mengenai Kasma Daniel. Dia memulakan langkahnya dalam dunia perlumbaan pada usia lapan tahun dengan menyertai perlumbaan mini bike. Pada usia 13 tahun (2013), Kasma telah dipilih untuk menyertai perlumbaan satu jenama Yamaha 135 Super Series Petronas dan menamatkan cabarannya musim itu di tangga ketiga keseluruhan.
Pada tahun 2014, Kasma menyertai kelas CP115 dan mula mencipta nama sebagai antara 10 pelumba terbaik. Pada tahun yang sama Kasma juga telah terpilih untuk mewakili negara dalam perlumbaan Yamaha Asean Cup yang diadakan di Litar Sentul, Indonesia. Kemuncak pencapaiannya ialah pada tahun lalu selepas muncul Juara Keseluruhan CP115 dan menduduki tangga keenam dalam kelas AP250, Asia Road Racing Championship. Tahun ini Kasma sedang berentap hebat untuk takhta juara dalam kelas prima (CP130) dengan kejayaan muncul juara sebanyak tiga kali dalam empat pusingan setakat ini.
“Saya sangat gembira dengan pengalaman ini. Banyak yang saya perolehi dalam setiap program latihan. Saya berasa sedih apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan kejurulatihan VR46 di ibu pejabat mereka. Pengalaman di sini sangat berguna dan juga merupakan saat yang tidak dapat dilupakan. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak Yamaha, jurulatih kami dan juga seluruh kakitangan VR46 yang telah mengatur program latihan yang sangat menakjubkan,” jelas Kasma selepas menjalani latihan di sana.
“Kepada rakan-rakan yang sukakan perlumbaan motosikal, jangan bersaing di jalan raya kerana ia amat berbahaya. Mulakan karier anda dalam cub prix khususnya menerusi Yamaha Petronas Super Series. Untuk menjadi pelumba yang berjaya, kita perlu berusaha dengan gigih, bersemangat waja dan berdisiplin,” kata Kasma menutup bicara.
Bagi legenda MotoGP, Rossi sendiri menganggap siri latihan bersama lima pelumba itu mencapai keputusan yang diharapkan. “Pelumba-pelumba ini sangat gembira sepanjang lima hari di sini. Walaupun letih dengan pelbagai program latihan yang dirangka, mereka tetap kelihatan gembira. Mudah-mudahan mereka menerima pendedahan yang sangat berguna di Akademi VR46, bukan sekadar pengetahuan dan juga kemahiran, sebaliknya juga kekuatan mental. Kesemua mereka merupakan pelumba yang bagus dan cepat belajar walaupun banyak perkara yang terpaksa dipelajari dalam tempoh beberapa hari sahaja.” RR
Popular