HYPERPRO Jadikan Jentera Kita Lebih Mantap
Hyperpro bukanlah satu jenama baru yang berada dalam industri permotoran dunia. Jenama yang berasal dari negara Belanda ini diasaskan oleh Hans Rinner pada tahun 1992 bertujuan untuk mempertingkatkan sistem saspensi motosikal ke tahap yang lebih hebat. Hyperpro terkenal sebagai pembekal solusi saspensi progresif yang telah mendapat kepercayaan dan pujian daripada pengguna motosikal di seluruh dunia.
Dengan berpegang kepada falsalah 'Keselamatan dan Kawalan', Hyperpro sentiasa ingin memastikan pengguna motosikal dapat menunggang dengan seronok dan selamat. Mereka memberi jaminan bahawa dengan produk ini para penunggang motosikal akan dapat membantu jarak membrek dengan lebih dekat, mempertingkatkan kadar penyerapan di jalanan yang tidak rata, memberi pengendalian dan kawalan lebih baik, menambah keselesaan ketika membawa bebanan dan memudahkan penunggang rendah untuk menikmati keseronokan menunggang jentera berkuasa tinggi.
Produk-produk dari Hyperpro ialah steering damper, penyerap hentak, spring, pelaras ketinggian dan streetbox. Dengan kualiti yang tinggi, ia dijual di 40 buah negara di seluruh dunia. Di beberapa negara Eropah, produk-produk keluaran Hyperpro turut digunakan oleh motosikal rasmi kerajaan seperti pihak polis dan tentera. Ini juga membuktikan kepercayaan cukup tinggi yang telah diberikan pada jenama ini.
Untuk memberikan perkhidmatan dan kesedaran kepada para penunggang motosikal, Chear Motor Sdn Bhd selaku pengedar rasmi Hyperpro di Malaysia telah menganjurkan klinik dan seminar mengenai produk-produk Hyperpro pada 22-23 Jun lalu bertempat di Kedai Chear Motor Cawangan Shah Alam. Para pelanggan yang hadir amat bertuah kerana berpeluang mendengar taklimat dan menerima nasihat daripada Pengarah Pemasaran dan Jualan Hyperpro, En. Jan Belder dan Jurutera Teknikal, En. Jurgen Verstoep yang diterbangkan dari negara Belanda.
“Produk Hyperpro memang sangat bagus untuk kestabilan sebuah motosikal. Antara produk paling laris ialah steering damper dan terkini ialah penyerap hentak. Hari ini kami akan memeriksa setiap jentera yang dibawa dan seterusnya membuat penilaian sama ada untuk ditala semula atau memerlukan penukaran sistem saspensi yang lebih baik, Hyperpro. Produk ini sesuai untuk semua jenis motosikal seperti Yamaha, MV Agusta, Kawasaki, BMW dan macam-macam lagi,” kata Pengarah Urusan Chear Motor Sdn Bhd, Dato' Chear Kin Keong.
Chear Motor juga merupakan pengedar rasmi Hyperpro di Asia Tenggara yang memiliki alat talaan dyno terkini untuk memeriksa dan melaraskan sistem penyerap hentak dengan menggunakan komputer. Dengan kepakaran yang dimiliki oleh En. Jan Belder dan En. Jurgen, setiap kerosakan atau pelarasan tidak tepat di bahagian saspensi dapat dikesan dengan cepat. Dengan nilai bacaan yang tertera di skrin komputer, petugas-petugas Hyperpro akan dapat membuat penilaian dengan tepat mengenai tahap serapan sesebuah penyerap hentak itu.
Seterusnya, setiap pelanggan akan diberi nasihat terbaik sama ada untuk mengekalkan talaan seperti sedia kala, membuat talaan baru atau bagi sistem saspensi yang telah rosak, mereka akan dinasihatkan untuk menukar kepada unit yang baru.
Hyperpro menawarkan beberapa produk yang cukup mantap. Antaranya ialah Steering Damper. Ia merupakan produk paling popular yang dimiliki ramai. Faktor utama produk ini mendapat permintaan yang tinggi ialah ia membantu penunggang untuk mengawal jentera dengan lebih selamat, bahan aluminium yang ringan, rekabentuk yang cantik, mempunyai bermacam warna, dihasil dengan menggunakan mesin CNC.
Terdapat dua jenis steering damper iaitu CSC dan RSC. CSC (Constant Safety Control) merupakan peredam jenis linear yang menawarkan rintangan redaman berterusan manakala unit RSC (Reactive Safety Control) pula meningkatkan rintangan redaman bergantung kepada tahap bebanan. Harga untuk seunit ini ialah sekitar RM1,200.
Spring. “Ia merupakan elemen terpenting pada motosikal yang sering tidak diberi sepenuh perhatian oleh penunggang motosikal. Kebanyakan motosikal dikeluarkan dengan spring jenis linear yang bermakna jarak di antara koil-koil dari atas hingga bawah adalah sama manakala spring jenis progresif pula menawarkan jarak di antara koil-koil yang berbeza. Jarak yang berbeza ini direka untuk memberikan kadar penyerapan yang lebih jitu dan tepat pada motosikal apabila membawa bebanan atau pun ketika berada di jalan-jalan yang mencabar,” tambah En. Jan lagi.
Spring-spring yang dihasilkan oleh Hyperpro ini boleh menggantikan spring asal yang tidak lagi mampu menyerap dengan baik. Spring fork hadapan Hyperpro menjanjikan tahap keselamatan yang tinggi, memberikan jarak membrek dengan lebih dekat dan berada di jalan selekoh dengan lebih selamat. Sistem penyerap hentak belakang berspring turut boleh diganti dengan menggunakan produk Hyperpro. Menurut En. Jan, 80% daripada prestasi sistem saspensi dapat dimantapkan dengan menggunakan spring yang lebih baik. Inilah solusi yang ditawarkan oleh Hyperpro yang berharga dalam lingkungan RM700.
Penyerap hentak: Kelebihan produk ini ialah dengan memberikan kebebasan untuk pemiliknya membuat talaan sendiri bergantung kepada berat badan, bebanan barangan atau ketika bersama pembonceng. Terdapat beberapa model dan warna yang direka bagi menepati jenis motosikal dan kesukaan para penunggang. Produk ini ditawarkan pada harga sekitar RM5,000.
Untuk memudahkan para penunggang wanita dan yang agak rendah, Hyperpro turut menghasilkan Lowering Kit. Selepas membuat pengiraan dengan tepat, spring baru Hyperpro akan memainkan peranan yang cukup sempurna. Motosikal dapat direndahkan mengikut kesesuaian penunggang tanpa perlu mengorbankan kemantapan proses penyerapan hentakan. Terdapat pelbagai jenis produk Lowering Kit ini untuk memberi lebih banyak pilihan buat para penunggang motosikal yang dijual pada harga di dalam lingkungan RM1,700.
Kira-kira 80 orang pelanggan telah hadir untuk membuat pemeriksaan, talaan dan penukaran kepada produk Hyperpro. Dengan kemahiran tinggi wakil-wakil Hyperpro dan kecekapan para mekanik Chear Motor, para pelanggan kesemua pulang dengan cukup berpuas hati. “Setiap produk-produk kami yang dijual turut dilengkapi dengan kotak simpanan yang cukup cantik dan berkualiti tinggi. Anda boleh gunakannya untuk menyimpan barangan lain dengan lebih teratur dan kemas,” kata En. Jan.
Sepanjang seminar dan klinik yang dijalankan selama dua hari ini, para mekanik Chear Motor sendiri seperti Lim Kok Hwo, Ho Cheng Ban dan Koh Yong Sing telah diberikan latihan secara teori dan praktikal dengan cukup intensif. Dengan ini, para mekanik Chear Motor turut mempunyai kemampuan untuk membuat pemeriksaan, servis, talaan dan khidmat nasihat dengan sebaik mungkin. Untuk melihat dengan lebih dekat produk ini atau mendapatkan maklumat lebih lengkap, sila kunjungi Chear Motor (Shah Alam) Sdn Bhd beralamat, No. 42A Jalan 15/22, Taman Perindustrian Tiong Nam, Seksyen 15, 40200 Shah Alam Selangor. Tel: 03-5523 2725. RR
Popular