Art Of Speed 2016
Acara yang menggabungkan minat dan cinta mendalam pada dunia dua dan empat roda, Art Of Speed (AOS) telah kembali dengan penganjuran kelimanya pada penghujung Mei lalu. Acara Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia ini terkenal sebagai tempat terbaik untuk kita nikmati pelbagai jenis aktiviti yang cukup menarik dan hebat seperti pameran motosikal custom, kereta custom, galeri seni, permainan model kereta berskala, pameran topi keledar, arena papan laju dan aksi lasak ngeri (stuntshow).
Tahun ini juga AOS telah memperkenalkan Painthead Asia iaitu pertunjukan seni dari sekumpulan artis serantau yang berkongsi dalam satu platform untuk mempamerkan hasil kerja seni mereka. Pameran seni yang pertama seumpamanya di Asia ini bertujuan untuk memupuk kerjasama di kalangan artis antarabangsa dan tempatan seperti Bacon Decoration 'Jun' dari Jepun, Arkiv Vilmansa & Fahmi Freeflow dari Indonesia, Mr. Pinman & Twocs Itthipong dari Thailand, Mark SBTG & Feroze McLeod dari Singapura dan yang akhir sekali mewakili Malaysia adalah Adrian Nunis 'Affa Project' & Ezudean Ishak 'Rolling Ink'.
Terdapat dua dewan bersaiz mega untuk dilawati oleh setiap pengunjung yang hadir. Dewan A dikhususkan untuk kenderaan custom dan klasik yang bersaing dalam pertandingan Show & Shine. Dewan C atau Street Tuner Village bersaiz 150,000 kaki persegi mengumpulkan pelbagai jenis pameran motosikal dan kereta serta aktiviti menarik lain seperti persembahan demo motosikal trail, belon air gergasi, aktiviti kebajikan watak Star Wars dan jualan bazar.
Bagi mereka yang ingin kelihatan dengan gaya istimewa, gerai-gerai menggunting rambut sedia menerima pelanggan manakala pemilik motosikal yang ingin mewarnakan tangki jentera mereka menjadi lebih cantik, artis grafik yang berada di AOS ini pastinya menggembirakan anda.
AOS 2016 ini juga telah menganjurkan Mega Club Gathering yang membawa sedikit kelainan kepada semua pemilik-pemilik kenderaan lama, retro dan klasik. Penganjur menyediakan ruang parking eksklusif kira-kira seluas tiga ekar yang dapat memuatkan lebih kurang 1,000 buah kenderaan. Mega Club Gathering ini telah diperkenalkan semenjak tahun 2015 untuk memenuhi permintaan komuniti di mana mereka boleh berkumpul secara beramai-ramai bagi mengeratkan hubungan di antara kelab-kelab motosikal dan kereta yang hadir dari seluruh Malaysia.
Suasana di luar lebih hangat dengan adanya pertunjukkan kereta aksi lasak drift dan aksi menunggang lasak daripada Aeron Twite yang dibawa khas oleh MOTUL. Kedua-dua lagak ngeri ini mendapat sambutan dan sorakan gemuruh dari penonton yang hadir. Motosikal-motosikal pengunjung yang diubahsuai tidak kira kecil atau besar turut diberi tempat parkir istimewa di hadapan dewan utama.
Acara pada petang itu ditutup dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan motosikal dan kereta mengikut kategori masing-masing. Para pengunjung yang hadir turut diberi penghargaan dengan adanya acara cabutan bertuah dengan menawarkan hadiah utama berupa sebuah motosikal Triumph Bonneville Speed Twin 900. AOS 2016 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang ini telah dihadiri kira-kira 30,000 orang pengunjung termasuk pelancong luar negara dari USA, Jepun, Australia, Taiwan, Thailand, Indonesia, Brunei dan Filipina. RR
Popular