Konvoi Benelli Ke WSBK Sepang 2016
Benelli Keeway Motorcycles (BKM) Sdn Bhd, pemasang dan pengedar tunggal jenama motosikal Benelli dan Keeway di Malaysia, telah menganjurkan konvoi sempena Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK 2016) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 15 Mei lalu. Konvoi bersejarah ini disertai lebih daripada 100 buah motosikal Benelli dari seluruh negara yang telah menarik minat para peserta dari pelbagai latar belakang.
Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan, Komunikasi dan Hubungan Luar BKM, Wan Najib Wan Daud berkata, selain Benelli sebagai penganjur, konvoi tersebut turut menarik minat penaja rasmi BKM iaitu Pirelli selaku pembekal tayar rasmi jentera Benelli di Malaysia dan syarikat pelincir Elf.
“Semua peserta yang menyertai konvoi ini diberikan pas paddock khas yang membolehkan mereka melalui kawasan paddock para pelumba dalam masa yang ditetapkan dan berpeluang melihat dengan lebih dekat segala persiapan pasukan sebelum memasuki litar,” katanya.
Konvoi pada hari tersebut bermula di hadapan bilik pameran BKM, Jalan Ipoh dengan sesi pendaftaran mula dibuka seawal pukul 7.00 pagi. Para peserta turut diberikan cenderamata khas sempena program yang dianjurkan ini.
Tepat pukul 8.45 pagi, berlangsung satu acara menandatangani perjanjian lanjutan kerjasama antara BKM dengan Elf untuk terus membekalkan minyak enjin kepada semua motor Benelli dan Keeway bagi tempoh dua tahun. Majlis itu telah disempurnakan oleh Pengurus Besar BKM, En. Low Kin Yong dan Pengarah Urusan Total Oil Malaysia, En. A.S Krishnan.
Sebelum konvoi dilepaskan, para peserta telah diberikan taklimat khusus berkaitan keselamatan jalan raya dan asas menunggang secara berkonvoi oleh wakil Balai Trafik Jalan Bandar. Tepat pukul 9.30 pagi, konvoi berlepas dengan diiringi oleh anggota trafik seramai empat orang.
Setibanya di SIC, para peserta bukan sekadar meluangkan masa untuk menonton perlumbaan tetapi juga turut berpeluang berkenalan dengan para peserta konvoi dari jenama lain yang sama-sama memeriahkan 'pesta' WSBK pada tahun ini.
BKM amat berterima kasih di atas sokongan daripada pemilik-pemilik motosikal Benelli dan juga para penaja yang menyediakan ruang dan peluang untuk sama-sama menikmati persekitaran perlumbaan secara langsung. RR
Sumbangan: BKM
Popular