Sesi Pandu Uji Kawasaki Ninja ZX-10R 2016 Bersama Media
Jentera yang sinonim dengan warna hijau ini sudah acap kali memenangi perlumbaan tersohor WSBK. Sejak kejayaan pelumba mereka iaitu Tom Sykes yang menjuarai musim 2013, pelbagai penambahbaikan telah dilakukan kepada jentera Ninja ZX-10R versi jalanan agar setiap pemiliknya dapat merasai pengalaman menunggang replika jentera sang juara.
Kawasaki sekali lagi menjadi juara WSBK musim 2015 dengan pelumba mereka iaitu Jonathan Rea dan Tom Sykes. Jentera Ninja ZX-10R sentiasa berada pada kedudukan yang terbaik sepanjang musim perlumbaan untuk memastikan takhta kejuaraan tahun 2015 dalam genggaman.
Malaysia juga tidak ketinggalan untuk memperkenalkan jentera ini ke pasaran negara di awal tahun ini. Untuk memberikan pengalaman menunggang Ninja ZX-10R ABS baru ini, UKawasaki Malaysia Sdn Bhd telah mengadakan satu sesi pandu uji untuk 14 orang wartawan permotoran pada pertengahan Mei lalu. Sesi Pandu Uji itu telah diadakan di litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang turut dihadiri oleh Dato’ Jeffrey Lim (Pengurus Besar/Pengarah KMSB), En. Faez Yahya (Pengarah KSB) dan En. Satoru Akitsu (Pengurus Kawalan Kilang & Teknikal KMSB).
Dua sesi ujian dijalankan untuk memberikan para wartawan peluang untuk membiasakan diri dengan kuasa baru enjin 1000cc yang mengagumkan itu. Para wartawan mendapat tunjuk ajar daripada pelumba Kawasaki dan bekas pelumba Moto2 yang terkenal iaitu Azlan Shah Kamarulzaman yang bersaing dalam kejuaraan ARRC untuk tahun 2016.
Model baru ini adalah hasil daripada kejayaan demi kejayaan di dalam perlumbaan. Kawasaki telah melancarkan model terbaru Ninja ZX-10R ABS 2016 pada penghujung tahun lalu. Walaupun rekaan luaran model terbaru ini kelihatan biasa dan persis model terdahulu, model ini telah melalui pembaharuan yang hampir menyeluruh dari segi prestasinya. Kawasaki melakukan pembaharuan ini berdasarkan maklum balas daripada Tom Sykes dan Jonathan Rea yang memberikan hasil mengagumkan.
Nantikan laporan penuh pandu uji model ini di masa terdekat! RR
Popular