WIMA Ride & Camp Di Rumah Ndoi 2020
WIMA Malaysia telah menganjurkan 2nd RIDE & CAMP di Baling, Kedah sebagai aktiviti pembuka tirai untuk tahun 2020. Lebih meriah, ride kali ini turut disertai oleh beberapa kelab lain seperti Queen Rider Malaysia dan GIVIBella. Perjalanan dijadualkan bermula dari R&R RawangTapah-Simpang Pulai-Sungai Perak-Kuala Kangsar-Lenggong-Grik-Pengkalan Hulu dan tamat di Baling dengan jarak lebih kurang 371 kilometer. Untuk memastikan perjalanan lancar tanpa sebarang masalah, para peserta telah menghantar jentera masing-masing untuk diservis.
Pada 14 Februari 2020, hari yang ditunggu telah pun tiba. Para peserta memulakan perjalanan cukup awal menuju ke utara tanah air. Para peserta terdiri daripada pencinta motosikal wanita yang datang dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Lembah Klang. Seperti yang dijanjikan, R&R Rawang menjadi tempat berkumpul dan sekitar jam 8.30 pagi, konvoi WIMA MALAYSIA memulakan perjalanan.
Konvoi melibatkan sebanyak 19 buah motosikal yang terdiri daripada pelbagai jenis model seperti Vespa LX150, Vespa Primavera 150, Honda Dash 125, Honda PCX 150, Yamaha135 LC, Yamaha FZ, Benelli RFS150LE, RS150 Honda, Yamaha Y15ZR, Kawasaki W800, Kawasaki Vulcan 800 dan ditemani oleh tiga buah kereta.
Para peserta menunggang dengan cukup cermat dan berwaspada. Apabila tiba di Terowong Menora, Ipoh, masing-masing memberi lebih tumpuan dan menjarakkan kedudukan motosikal. Ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini kerana laluan tersebut berliku dan agak berbahaya. Konvoi berhenti di R&R Sungai Perak untuk berehat sambil meregangkan otot-otot.
Perjalanan kemudiannya diteruskan menuju ke Pitstop Route A76, The Rusa House Lenggong, Perak dan tiba di sana lebih kurang jam 12.00 tengahari. Perut pun dah lapar. Juadah makan tengahari telah siap dihidangkan oleh Chef Cik Pah, isteri kepada En. Yeop yang juga merupakan pemilik Pitstop A76 The Rusa House. Masakan cukup istimewa, ada daging rusa! Memang terangkat.
Setelah selesai makan tengah hari, pukul 1.30 petang enjin motosikal pun dihidupkan semula. Konvoi diteruskan, kali ini bergerak melalui pekan Grik, Pengkalan Hulu menuju ke daerah Baling. Lebih kurang dua jam kemudian, konvoi sampai ke destinasi dengan selamat.
Pihak Rumah Ndoi telah siap memasangkan sembilan buah khemah dan lapan hammock. Peserta konvoi dijemput untuk minum petang yang disediakan. Acara pada petang tersebut bebas dan masa yang terluang digunakan sebaik- baiknya untuk berehat, berbual-bual dan bersiar-siar di kawasan sekitar.
Selepas jamuan makan malam, sesi karaoke memeriahkan suasana yang didendangkan oleh rakan-rakan rider.
15 Februari 2020
Selesai sarapan, para peserta bersenam dan berzumba bersama-sama dan selain itu, segala aktiviti untuk peserta konvoi telah siap dirancangkan oleh pihak urusetia. Peserta begitu gembira dan teruja menyertai beberapa jenis permainan seperti galah panjang, baling selipar dan charades (teka kata) dengan santai – dalam sungai.
Makan tengahari juga diadakan secara santai, sambil duduk dalam sungai yang airnya cukup jernih. Pada sesetengah peserta pengalaman makan tengahari di dalam sungai memberi kenangan yang cukup manis. Lepas dah kenyang, apa lagi! Semua berendam dan mandi manda. Airnya yang sejuk dan nyaman menyegarkan semua peserta. Memang syok! Rasa seperti kembali ke zaman kanak-kanak dibuatnya. Program tidak habis di situ. Di sebelah petang, para peserta di bawa ke air terjun Lata Bayu dan berkunjung pula ke Dusun Tok Wan Desa Sentosa.
Di sebelah malam, selera ditukar. Kali ini dengan juadah masakan dan lauk pauk hidangan ala kampung yang sungguh menyelerakan . Setiap pengunjung yang sampai ke daerah Baling, tidak akan melepaskan peluang untuk melawat Hot Spring Lenggong.
16 Februari 2020
Para peserta bersiap mengemaskan barang-barang mereka untuk berangkat balik ke negeri masing-masing dengan kenangan yang sukar untuk dilupakan. Rumah Ndoi sekali lagi menyediakan sarapan pagi untuk para peserta. Para peserta kemudiannya dipecahkan kepada dua kumpulan. Sepuluh ke Kuala Lumpur manakala enam lagi menuju ke Pulau Pinang untuk ‘pekena’ makanan di sana sebelum balik ke Kuala Lumpur.
Pengalaman Ride & Camp 2 menjadi kenangan terindah untuk semua rider dan berharap akan ada Adventure WIMA Malaysia ride seterusnya, kalau diizinkan yang Maha Esa. Terima kasih kepada rakan-rakan team urusetia dan tidak lupa juga kepada para peserta konvoi serta beberapa penaja. RR
- NZ York
Popular