Pemilik KTNS RS3 Beriadah Di Perak
Jentera dual purpose keluaran KTNS Holdings Sdn Bhd, RS3 ternyata semakin mendapat kepercayaan para penunggang motosikal terutamanya buat mereka yang gemar mengembara. Bentuknya yang mantap dan posisi menunggangnya yang relaks merupakan kekuatan utama jentera ini untuk terus menerima permintaan dari para peminat.
Sejak mula diperkenalkan tahun lalu, sebanyak 1,000 unit telah berjaya dijual dan angka ini semakin hari semakin meningkat. Untuk memberi sokongan dan penghargaan buat para pemilik RS3, KTNS Holdings SB telah menganjurkan satu konvoi dan perhimpunan yang diadakan di Teratak Afrina, sebuah chalet dan kem motivasi di Batu Kurau, Perak.
“Tujuan perhimpunan ini dianjurkan ialah untuk mengeratkan lagi hubungan di antara para pemilik KTNS RS3 yang datangnya dari seluruh negara dan seramai 100 orang peserta yang terlibat dalam memeriahkan acara ini. Menerusi program ini juga kami dapat mendekati penduduk kampung yang benar-benar memerlukan bantuan dan adalah menjadi kebangggaan KTNS apabila melihat begitu ramai pemilik RS3 yang memberi sokongan,” kata En. Alan Lee, Pengurus Jualan dan Pemasaran Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
Para penunggang dari Kedah, Pulau Pinang dan Perak berkumpul di R&R Juru sebelum bertolak ke Bukit Merah untuk bertemu dengan para peserta dari selatan (Johor, Melaka & Negeri Sembilan), Central (Kuala Lumpur & Selangor) dan pasukan Timur (Terengganu & Kelantan). Perjumpaan kali ini lebih meriah dengan kehadiran wakil dari Sarawak iaitu En. William Chua.
Dari Bukit Merah, konvoi yang melibatkan sebanyak 92 buah RS3 bergerak dengan bergaya menuju ke bandar Batu Kurau. Dengan bantuan pihak JPJ, perjalanan cukup lancar dan terkawal. Deruman jentera-jentera dual purpose ini menarik minat ramai terutamanya kanak-kanak yang sentiasa melambai-lambaikan tangan mereka di sepanjang perjalanan.
Para marshal bertugas yang diketuai oleh Abang Jeff dan pasukannya menjadikan pergerakan konvoi kemas, teratur dan cukup berdisiplin. Konvoi akhirnya tiba di Teratak Afrina pada jam 1.00 tengahari. Sedang para petugas sibuk membuat pendaftaran dan semakan nama, jamuan makan tengahari telah pun tersedia dan sememangnya ia saat yang ditunggu-tunggu kerana hampir semuanya kelaparan.
Juadah nasi berserta lauk ayam kampung, ikan goreng, rendang daging, masak lemak labu, ulam-ulaman dan sambal belacan amat membuka selera. Sambil menjamu selera, rakan-rakan bikers ini akan berborak dan seperti biasa topik perbualan tentulah mengenai jentera masing-masing.
Dari dewan makan, para peserta berkumpul semula di dewan mesyuarat berhawa dingin untuk sesi ceramah tentang 'Pemanduan Berhemah' yang disampaikan oleh En. Mohd Adib bin Othman, Pegawai Penguatkuasa JPJ Pulau Pinang.
Antara isu penting yang disentuh ialah kadar kemalangan yang masih di tahap membimbangkan, faktor-faktor kemalangan, perbezaan kuasa pihak polis dan JPJ, tujuan pemasangan sistem perangkap laju AES dan disudahi dengan sesi soal jawab.
Acara sebelah malam lebih santai. Inilah peluang buat rakan-rakan RS3 untuk bergurau dan berkongsi pengalaman. “Memang inilah tujuan saya dan rakan-rakan lain menyertai perhimpunan ini. Di sini, kami dapat bertukar-tukar pandangan yang kesemuanya memberi kebaikan terutama dari segi tunggangan dan penyelenggaraan motosikal. Saya amat menyokong program ini dan berharap ianya dapat dianjurkan di negeri-negeri Pantai Timur,” kata En. John Goh, pemilik RS3 berumur 52 tahun dari Kuala Lumpur.
Makanan berupa nasi goreng, satay, kambing dan ayam bakar cukup lazat dan menyelerakan. Walaupun hari semakin lewat, para peserta dihiburkan dengan acara lucky draw yang menawarkan hadiah-hadiah menarik sumbangan ISO-I Helmet, Mega Fortune, Hai Motorcycle dan K.T Soon Huat Motor SB.
Hari Kedua
Untuk mendekati para penduduk sekitar, program hari kedua dimulakan dengan acara penyampaian sumbangan ikhlas kepada 17 orang penduduk yang memerlukan bantuan. Mereka menerima barangan keperluan seperti beras, gula, barangan tin, minyak masak dan lain-lain. Selain itu, kutipan wang tunai yang berjaya dikumpul oleh para peserta bernilai hampir RM3,000 turut diagihkan kepada para penduduk.
“Saya memang sukakan aktiviti sebegini. Sebagai seorang yang sukakan pengembaraan, jentera RS3 ini memang cukup sesuai dan selesa untuk perjalanan jauh. Saya sudah berjaya bermotor ke Hatyai, Yala, Satun dan Kelantan dengan mesin ini. Program yang dianjurkan oleh KTNS Holdings ini cukup memuaskan dan saya berharap agar dapat diadakan lagi di lokasi yang lebih segar dan lebih mencabar seperti di tanah tinggi,” kata Abd Rahman dari Pendang, Kedah.
Bagi mereka yang ingin menguji kemahiran tunggangan, aktiviti pagi itu diteruskan dengan tunggangan 'offroad' di lokasi yang telah dipilih oleh pihak penganjur. Ya... jalannya memang mencabar! Selain sempit, bentuk permukaan tanah dan sudut belokannya yang tajam ternyata memerlukan kawalan pendikit dan tubuh badan yang kemas untuk terus kekal di laluannya dengan selamat. RS3 berjaya menunjukkan kemampuannya untuk mengatasi segala cabaran dengan bergaya sekali.
Dari kawasan hutan, konvoi akhirnya tiba di Lata Sepeneh untuk berehat dan bermandi manda. Badan dah panas... berpeluh... bila nampak sungai sahaja, kesemuanya terus turun di sungai. Biasalah…. bila sudah lama mandi dan berenang, perut jadi lapar. Nasi + Masak Lemak Ikan Masin + Sambal Belacan memang hidangan yang cukup enak sekali.
Program himpunan para pemilik KTNS RS3 bersurai di sini dengan masing-masing membawa pulang bukan sahaja kenangan indah tetapi juga kenalan dan pengalaman baru. “Best.... memang seronok berada di sini. Saya sukakan adventure dan berharap pihak KTNS dapat anjurkan pengembaraan seterusnya ke luar negara,” kata Aizat dari Kuala Lumpur. RR
Popular