Michelin Power 5 Tiada Keraguan
Tidak sempurna sebuah jenama motosikal yang sehebat mana sekali pun jika tidak digandingkan dengan tayar yang bermutu dan berkualiti tinggi. Pemilihan dan penggunaan tayar yang sesuai memberikan kepuasan dan keselamatan di setiap tunggangan harian mahupun di hujung minggu. Permukaan aspal terdiri daripada pelbagai kualiti, keadaan dan kondisi. Rata dan kering semestinya memberikan perjalanan yang baik. Namun begitu jika berhadapan dengan laluan berlubang, beralun dan basah, ia pastinya memberikan kesan pada tunggangan.
Baru-baru ini Michelin Malaysia memperkenalkan Michelin Power 5. Keluarga Michelin Power terdiri daripada Power 5, Power Cup EVO, Power RS, Power GP, Power Cup 2, Power Rain, Power Slick 2, Power Supermoto, Pilot Power, Pilot Power 2CT dan Pilot Power 3.
Michelin Power 5 mempunyai jalur dan corak alur yang menarik. Adunan gabungan silika dan Black Carbon yang optimum memberikan keselamatan maksimum ketika keadaan basah. Hard dan Medium sesuai untuk tunggang harian di mana jua.
Baru-baru ini motosikal 600cc kami telah dilengkapkan dengan sepasang tayar Michelin Power 5 saiz depan 120/70 ZR 17 (58W), diberikan tekanan angin 33 psi dan belakang 160/60 ZR17 (68W) tekanan angin 36 psi untuk diuji guna. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dikenakan maka tertangguhlah ujian dijalankan sehingga kelonggaran diberikan baru-baru ini.
Bertempat di Sunny Cycle di Jalan Pahang operasi menukar tayar dijalankan. Mr. Jeremy, Eksekutif Pemasaran Sunny Cycle menerima kedatangan kami setelah temujanji diberikan beberapa hari sebelum ini. Mr. Ryan selaku mekanik bertauliah di sini menjalankan tugas sebaik mungkin.
Pemasangan berjalan selama sejam dengan mengambil kira faktor pandu arah, imbangan, tekanan angin hinggalah pelarasan ketegangan rantai sama ada tunggangan seorang ataupun bersama pembonceng semuanya diambil kira.
Ujian 1
Berat penunggang 78 kg, pembonceng 96kg bersama beban di dalam kotak GIVI 6kg. Jumlah 180kg. Berat motosikal 211kg. Jumlah 391kg lebihan berat 66kg.
8:00 pagi 26/6/2020
Laluan 1 – Sg Buloh – Tangkak (200km 1jam 30 minit). Memandangkan tayar masih baru, 100km pertama dikira “warm up” ketika di lebuhraya sehingga keluar ke Tangkak. Berehat di Warung D’Mampir untuk membasahi tekak dan meneliti keadaan tayar semasa. Kelihatan batu-batu kecil melekat di permukaan tayar. Rasanya dah cukup panas.
Laluan 2 – Tangkak – Bukit Kepong – Chaah – Ayer Hitam- Kluang – Kahang - Mersing – Sedili (311km 5 jam purata kelajuan 140km/j)
Menyusuri jalan antara bandar, kawasan ladang, peninggalan sejarah Bukit Kepong, bukit-bukit dan selekoh-selekoh amat mengasyikkan. Hujan lebat mula membasahi sepanjang perjalanan dari Kluang hinggalah ke Mersing. Ketika ini lah Power 5 dirasai meyakinkan tunggangan terutama ketika di selekoh dan jalan berlopak.
Melepasi perjalanan 400km pertama, Michelin Power 5 akur dengan setiap pergerakan dan arahan 'tuannya'. Keselesaan tunggangan dalam hujan lebat tiada sangsi. Kami amat yakin dengan setiap cengkaman darinya. Perjalanan tanpa henti selama 5 jam tamat di Felda Residence Tg Leman yang terpilih sebagai destinasi terakhir hari ini pada jam 3:30 petang.
9:10 pagi 27/6/2020
Laluan 3 – Sedili – Kota Tinggi (80 km 2 jam 20 minit purata kelajuan 60km/j)
Laluan ini banyak beralun walaupun permukaan jalan yang rata. Memandangkan berat lebih muatan, perjalanan secara perlahan-lahan dimulakan.
Laluan 4 – Kota Tinggi – Kulai – Ayer Hitam – Simpang Ampat – Kota – Astana Raja – Panchang – Kundur – Pedas/Linggi – Sg Buloh (433 km 4jam 10 minit purata kelajuan 160km/j)
Selepas makan tengahari di Restoran Citarasa D’Nazril Belangkas perjalanan tanpa henti dilakukan sekali lagi (hanya mengisi petrol di RnR Seremban).
Kehangatan cuaca hari ini mengeringkan kasut yang basah semalam. Perjalanan semakin menyeronokkan. Cengkaman Power 5 lebih lagi dirasai hari ini. Ianya bagaikan melekit dengan kedengaran bunyinya ketika tayar menyentuh garisan-garisan di jalan dan lebuhraya. Memang melekat!
Perancangan hari ini sepatutnya menerus-kan perjalanan melalui lebuhraya dari Ayer Hitam terus ke Sg Buloh tetapi disebabkan tayar sudah serasi dengan tunggangan saya nak mencuba 'litar' kegemaran kami dari Kota – Astana Raja – Panchang dan masuk semula lebuhraya di Pedas/Linggi.
Disebabkan kami dah hafal setiap selekoh jalan kampung ini, kelajuan dapat ditingkatkan dan jentera mampu dimiringkan dengan lebih yakin.
Bagaikan menunggang tanpa pembonceng, jentera berkuasa 600cc dapat kami menghayunkan ke kiri kanan di setiap selekoh tanpa ragu-ragu. Aduhai, inilah nikmat yang didapati apabila memiliki sepasang tayar yang menepati citarasa dan gaya tunggangan. Perjalanan 400km tanpa henti dengan Michelin Power 5 memang terbaik. Jarak perjalanan yang sama pernah saya lalui dengan tayar 'production series’ jenama lain sebelum ini yang memberi kesan kurang baik pada bunya tayar.
Ujian 2
Sg Buluh – Karak – Janda Baik – Karak – Sg Buloh – Hulu Selangor
Berat penunggang kali ini 78 kg, pembonceng 70kg bersama beban di dalam kotak GIVI 1kg.
Lebuhraya Karak sememangnya pilihan bagi menguji cengkaman tayar. Tidak dinafikan kelajuan tunggangan rider ada yang mencecah 190-200km/j walaupun had kelajuan sekitar 90-110km/j. Hari ini bukanlah untuk menguji kelajuan mengambil selekoh tetapi menguji keyakinan dan cengkaman ketika selekoh mendaki dan menuruni bukit. Terima kasih Michelin Power 5, kami dapat meratah laluan di lebuhraya ini dengan penuh keyakinan. Pembonceng langsung tidak merungut kerana dia juga dapat menikmati udara segar dan dingin di waktu pagi tanpa rasa risau walaupun berada di selekoh dalam kelajuan tinggi.
Ketika di Janda Baik, Power 5 bertindak baik ketika melalui jalan berlumpur dan berbatu kelikir. Walaupun ianya bukan direka untuk perjalanan offroad, namun sedikit pun ia tidak menghampakan. Ketangkasan tangan mengawal pendikit dan skill mengendalikan jentera di permukaan jalan seperti ini lebih penting.
Selepas mengharungi pelbagai jenis jalan dan cuaca, dengan jarak perjalanan lebih daripada 2,000 kilometer, ternyata prestasi tayar ini memberikan keputusan memberangsangkan. Tayar ini terus utuh, melekat dan kami terus percaya untuk memulas pendikit bersamanya. Terima kasih Michelin ! RR
Popular