Isu Terkini

Julai 2024

Warta Produk / 10 Oktober 2017

MICHELIN POWER RS : Gelegang Hitam Baru Bakal Menjadi Sanjungan

Ada terdapat satu subset penunggang motosikal yang mana perbincangan tentang tayar boleh berlanjutan hingga berjam-jam, malah berhari-hari lamanya. Ini adalah kerana dua gegelang hitam yang dipasang pada motosikal itu sahajalah yang merupakan titik-titik sentuhan di antara jentera dan jalanraya. Maka, sensasi yang dipindahkan daripada permukaan jalan ke kaki, punggung dan tangan adalah melalui gegelang hitam itu.

Sensasi pada tangan, kaki dan punggung itulah pula yang memberitahu otak kita, melalui deria sentuhan sama ada motosikal yang ditunggang masih lagi di bawah kawalan kita ataupun sudah hampir kehabisan daya geseran dan akan terbabas. Dari situ, maka sahabat-sahabat yang suka berbincang tentang tayar akan berterusan berbincang tentangnya. Daya geserannya, kelikatan sebatiannya, kebolehannya menggenggam ketika jalanraya basah dan (yang ini paling ghairah diceritakan) “bunga”nya.


Dan untuk mereka yang sebegini, kehadiran tayar Michelin Power RS ini tentunya akan menjadi satu topik perbincangan yang beriya-iya. Menurut Michelin, tayar Power RS ini adalah hasil daripada penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah menelan belanja sebanyak €700 juta, dan telah membuahkan 2 paten dalam pengeluarannya.

Salah satu daripada hasil pelaburan R&D itu adalah cara lilitan lapis jejarian (radial ply) baru yang digelar Adaptive Casing Technology (ACT+) yang membuatkan kerangka tayar ini sangat fleksibel di bahagian tengah untuk memberikan lebih cengkaman pada jalan yang tegak, tetapi cukup tegar pada dinding tepinya untuk membantu ketika mengambil selekoh.

Seperti lazimnya untuk tayar premium, Power RS ini mempunyai binaan dwi-sebatian (dual-compound), di mana bahagian tengahnya diperbuat dengan sebatian getah yang diperkayakan dengan silika untuk menjadikannya lebih kukuh dan tahan lama, manakala bahagian tepinya pula sebatian yang dicampurkan dengan lebih karbon untuk menjadikannya lebih lembut dan mencengkam ketika mengambil selekoh.

Power RS mempunyai binaan dwi-sebatian (dual-compound), di mana bahagian tengahnya diperbuat dengan sebatian getah yang diperkayakan dengan silika untuk menjadikannya lebih kukuh dan tahan lama. Manakala bahagian tepinya pula sebatian yang dicampurkan dengan lebih karbon untuk menjadikannya lebih lembut dan mencengkam ketika mengambil selekoh.

Tayar ini, mengikut kata Michelin, bukanlah jenis tayar untuk digunakan secara eksklusif di litar. Malah ia sememangnya dicipta untuk penunggang jalan raya - akan tetapi, jika ingin menggunakannya di litar, prestasinya tetap mengkagumkan.

Tetapi, di jalan raya adalah fokus Michelin bagi tayar ini, dan mereka telah mengeluarkan sebanyak 13 ukuran (4 hadapan, 9 belakang) supaya ianya dapat dipasangkan kepada spektrum motosikal yang lebih luas, dari jentera-jentera 1,000cc ke atas yang digemari oleh penunggang-penunggang Eropah, hingga ke jentera-jentera 250cc yang lebih disukai oleh penunggang-penunggang di Amerika Selatan dan Asia Tenggara.

Ini juga bermakna tayar ini telah diuji di jalan raya-jalan raya dan litar-litar yang berbeza dari segi cengkamannya, pembinaannya dan juga suhunya.

Apabila pihak pengedar tempatan bagi Michelin iaitu Teck Hin Motor Trading Sdn Bhd menawarkan kepada RodaRoda untuk menguji sendiri tayar Power RS ini, penulis terus bergegas menyediakan sebuah motosikal Triumph Street Triple R, tahun 2016, untuk dijadikan kenderaan ujian. Ini adalah kerana peluang untuk memberikan sepenuh usaha dalam “mengerjakan” tayar premium seperti ini bukanlah selalu muncul.

Pada ketika artikel ini sedang ditulis, tayar Power RS berukuran 120/70 ZR17 (hadapan) dan 180/55 ZR17 (belakang) telah dipasangkan kepada Triumph itu dan telah membaham lebih daripada 500km. Yang tidak berapa untungnya, lebih kurang 300km itu adalah di dalam hujan yang kadang-kadang renyai, tetapi selalu juga sangat lebat.

Walaupun begitu, 200km lebih pada jalan raya yang kering, dengan matahari terpancar dan suhu yang kadangkala agak tinggi mencukupi juga untuk memberikan tanggapan yang kukuh terhadap prestasi Power RS ini.

Cengkaman pada bahagian tengah, dengan sebatiannya yang lebih kukuh, adalah tegas dan senang diramalkan ketika bergerak dengan pantas pada jalan yang lurus, manakala peralihan kepada sebatian tepi yang lebih lembut ketika mengambil selekoh tidak pula memberikan apa-apa kecemasan.

Tidak perlu berceloteh panjang, apa yang didakwa oleh Michelin sememangnya terbukti. Jika dibandingkan dengan tayar yang digunakan oleh Triumph Street Triple R ini sebelumnya, Power RS ini memberikan lebih keyakinan ketika menyerang selekoh-selekoh tajam serta membenarkan penunggang untuk membuka pendikit dengan lebih awal dan lebar ketika keluar daripada selekoh.

Malah, pada satu sesi melalui lebuhraya KL-Karak, hingga ke Gohtong Jaya, setelah menunggang dengan bersemangat selama 40 minit, saya berhenti di hadapan kedai minum dan berdiri hampir 5 minit, merenung dan mengkaji kedua-dua tayar Power RS ini dengan penuh kagum. Kerana tidak sekali pun saya merasakan seperti tayar ini akan hilang daya cengkamannya sama ada di selekoh landai mahupun yang tajam.


Walaupun saya bukanlah seorang penunggang yang laju mana pun, tetapi tayar Power RS ini memberikan keyakinan sehingga saya merasakan bahawa saya dapat mengambil selekoh-selekoh dengan lebih laju - dan lebih seronok.

Pada situasi jalanraya yang basah pula, prestasi Power RS ini tidak kurang hebatnya. Saya telah mengambil satu petang untuk bergerak ke Kuala Klawang melalui jalan berliku dari Hulu Langat, dan menyusuri Empangan Semenyih, Genting Peras hinggalah ke destinasi.

Walaupun ketika perjalanan bermula, langit hanyalah mendung, bermula dari Pekan Batu 9, Hulu Langat, awan-awan tebal di langit telah bermula menurunkan bebannya ke atas permukaan bumi. Maka perjalanan itu, sejauh 80km pergi dan balik adalah basah – dan pada beberapa ketika, lencun!

Tidak dinafikan, menunggang apa motosikal sekalipun, dengan tayar sehebat manapun dalam cuaca yang tidak baik bukanlah sesuatu yang digemari. Tambah lagi jika tayar yang digunakan lebih kepada corak bunga yang minimalis dan hampir kosong seperti Power RS ini. Tetapi, seperti yang diujarkan oleh Michelin, corak bunga sisipan yang ditoreh pada tayar ini, bercampur dengan sebatian kaya-silica itu menjadikan daya cengkaman pada ketika jalanraya basah amat tinggi jika dibandingkan dengan tayar-tayarnya yang sebelum ini seperti Power 3 dan Pilot Road 4 yang mempunyai corak bunga yang lebih “penuh”.

Malah, menurut Michelin lagi, sebatian yang digunakan untuk Power RS ini mula diselidik dan dibangunkan oleh bahagian Motorsport Division syarikat itu untuk digunakan sebagai tayar intermediate (pertengahan, bagi hujan renyai) bagi pasukan lumba kereta jarak jauhnya pada tahun 2013 lagi … dan tayar itu langsung tiada bunga!

Jadi, walaupun perjalanan di dalam hujan tidaklah seronok seperti ketika cuaca baik, tetapi ianya menjadi kurang berbahaya apabila menggunakan Power RS ini.


Kesimpulannya, Michelin telah mengeluarkan sebuah tayar yang pada masa ini telah menaikkan lagi taraf perbandingan bagi kategori “hypersport”, untuk motosikal yang hebat-hebat seperti MT-10, HP4, Z900, dan lain-lain yang berkapasiti tinggi dan lazimnya memikul huruf “RR” pada namanya. Namun, seperti yang didakwa oleh Michelin, Power RS ini juga boleh memberikan lonjakan prestasi ini kepada motosikal yang lebih senang dimiliki, seperti yang berkapasiti 250cc ataupun 300cc, seperti R25, Z250, TnT300 dan sebagainya.

Dan itu adalah satu berita bahagia, bukan sahaja untuk yang suka berceloteh tentang tayar, tetapi juga untuk kita yang lebih suka membiarkan motosikal kita membuat “perbualan” di atas jalan raya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Michelin Malaysia Sdn Bhd di alamat, Unit 901 & 904, Level 9, Uptown 2, No.2, Jalan SS 21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor. Tel: 03-7680 3888 Faks: 03-7680 3998. RR

Isu Pada

Oktober 2017

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Cardo Packtalk Pro Kini di Pasaran Negara

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Kilang baru di Thailand, Brembo Mahu Tingkat Jualan Di Asia Tenggara

'Product Recall' Untuk Suzuki GIXXER 250, GIXXER 250SF & V-Strom 250SX. Jentera pengeluaran Malaysia Tak Terlibat...

Akan Datang: Topi Keledar GoPro

Gracshaw Tampilkan Barisan Topi Keledar Edisi DC Superheroes

CFMOTO Jelaskan Penghasilan Motosikal Yamaha untuk Pasaran China Sahaja

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Model Baru

Aprilia RS457 Dilancarkan. Harga dari RM33,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia telah melancarkan model 'superbike' terbaru iaitu Aprilia RS457.

Warta Roda

Lebih 100 Buah Motosikal Terbakar Di Depoh Simpanan DBKL

Sebanyak 130 buah motosikal yang diletakkan di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught telah terbakar.

Dari Litar

Qabil Irfan Raih Podium Di Sepanyol

Qabil Irfan menunjukkan prestasi cemerlang di Spanish Superbike Championship Moto4 Round 6 yang berlangsung di Litar Navara, Sepanyol.