Produk Baru GIVI Untuk Pencinta Motosikal
Tahniah GIVI Asia di atas sambutan Ulang Tahun yang ke-25 pada tahun ini. Telah menjadi kebanggaan GIVI Asia untuk memberikan produk-produk berkualiti untuk para penunggang motosikal sejak pada tahun 1994 yang lalu dan untuk terus mengungguli segmen aksesori kelengkapan motosikal, GIVI Asia telah melancarkan sekurang-kurangnya 15 produk baru yang terdiri daripada kotak barangan, kotak barangan tengah, beg kalis air, topi keledar, pouchbag dan kunci keselamatan.
Untuk jadikan majlis pelancaran tersebut lebih unik dan bermakna, satu konvoi dan majlis pelancaran khas telah diadakan khusus untuk pihak media. Konvoi dari ibu pejabat GIVI ke Genting Highlands lebih meriah dengan kehadiran Pengurus Operasi Luar Negara GIVI, En. Joseph Perucca dan Ketua Bahagian Pemasaran, En. Sam Sharman yang masing-masing menunggang BMW R1200 GSA dan Kawasaki Zephyr 750.
Terima kasih juga diucapkan buat GIVI yang telah menyempurnakan jentera kami (Yamaha 135LC) dengan kotak barangan serba baru Monolock B270N yang bukan sahaja cukup mantap tetapi cantik dan mudah digunakan. Monolock B270N ini juga merupakan kotak barangan terbaru yang turut disenarai dalam produk GIVI 2019.
“GIVI sentiasa mengutamakan kualiti dalam setiap pembikinan produk-produk yang digunapakai oleh para pengguna motosikal di Malaysia dan kerana itu, kadar penjualan kami sentiasa meningkat dari masa ke semasa. Dengan pengenalan kepada produk serba baru ini, kami berharap para pengguna akan terus mempercayai jenama ini kerana ia telah terbukti cukup berkualiti, tahan lasak, mudah digunakan dan dijual pada harga yang kompetitif,” kata Pengarah Urusan GIVI Asia, En. On Hai Swee.
Antara yang paling menarik ialah kotak barang Monolock B270N, Monolock B32N Bold (Advance Series), kotak sisi E23N-S_OR dan kotak barang tengah G12N. Kotak barang Monolock B270N berkapasiti 27 liter yang boleh memuatkan sebuah topi keledar, mampu menampung barangan seberat 3kg-5kg dan pastinya memiliki beberapa perubahan pada rekabentuknya yang kini lebih segar dan menarik. Kotak barang B270N ditawarkan pada harga RM185.
Kotak barangan tengah (G12N) pula direka bagi menggantikan bakul biasa yang lazimnya jenis terdedah. Selain bertutup dan boleh dikunci, G12N berkapasiti 12 liter yang boleh memuatkan pelbagai barangan termasuk set baju hujan GIVI. Dengan G12N, barangan simpanan kita lebih selamat dan tidak basah. Harganya ialah RM106.
Kotak barang paling 'hot' B32 Bold kini telah diperkemaskan lagi dengan beberapa ciri-ciri baru seperti jaring elastik, penyandar belakang dan pad pelapik dalam. Dengan keluasan 32 liter, kotak barangan B32N-ADV baru ini boleh memuatkan banyak barangan termasuk sebuah topi keledar penuh muka dan harganya ialah RM340.
Bagi rakan-rakan pengembara pula, kotak barangan sisi E23N-S_OR pastinya akan menambat hati. Ia berkapasiti 23 liter dan mampu menampung barangan seberat lima kilogram. Kotak barangan sisi ini turut disempurnakan dengan lampu isyarat dan dengan teknologi Monokey, ia cukup mudah untuk digunakan dalam pelbagai keadaan. Terdapat dua varian iaitu E23N-S_OR dan E23G730-S_OR yang masing-masing ditawarkan pada harga RM550 dan RM603.
Beg barangan sisi EA101B pula amat sesuai untuk jentera berkuasa tinggi yang digunakan dalam perjalanan jarak jauh. Dengan saiz 30 liter, beg ini mampu menyimpan pelbagai jenis barangan tidak kira perjalanan jauh mahupun dekat. Ia mudah dipasang/dibuka, boleh dipisahkan (sistem hook & loop), senang dibawa, ada pelindung hujan, reflektif dan dijual pada harga RM430.
Turut diperkenalkan pada majlis pelancaran produk baru tersebut ialah topi keledar M30.1 Cielo yang didatangkan dengan corak grafik baru bersama tiga warna pilihan (Graphic Mod Ice White, Graphic Mod Black dan Graphic Slide Titanium), barisan kunci keselamatan lebih mantap, beberapa model beg kalis air serba baru (Rider Tech Camo, Rucksack Rider Tech), 'pouch bag' dan beg sisi polimer yang sesuai untuk semua jenis tunggangan. Tahniah GIVI Asia! RR
Popular