Telefon Pintar RugGear Sesuai Untuk Penunggang Motosikal
Hampir setiap orang memiliki telefon pintar. Tidak kiralah muda, tua, lelaki atau perempuan, sama ada untuk mereka yang bekerja mahu pun yang masih belajar. Memiliki sebuah telefon yang tahan lasak, moden dan mampu milik adalah keinginan setiap orang dan untuk itu, pengeluar dan pereka telefon tahan lasak RugGear telah memperkenalkan tiga model terbaru ke pasaran negara iaitu RG130, RG310 dan RG730.
Pengedar rasmi telefon pintar ini, Compunation Technology ternyata cukup optimistik dengan pasaran dan respons yang bakal diberikan oleh para pengguna di Malaysia kerana ciri-ciri hebat dan mantap yang ditawarkan oleh RugGear. Produk jenama ini bukan sahaja cantik dan moden tetapi juga mampu untuk digunakan dalam pelbagai situasi tidak kira biasa, lasak mahu pun ekstrim.
“Kalis air, habuk, lumpur dan gegaran. RugGear adalah teman sempurna untuk mereka yang sukakan kelasakan termasuklah para penunggang motosikal yang saban hari terpaksa berdepan dengan pelbagai jenis cuaca.
Kami amat berbangga untuk membawa produk ini ke Malaysia dan berharap agar setiap orang akan dapat menikmati pengalaman hebat dan manfaat memiliki telefon lasak ini,” kata Presiden, RugGear HQ, En. Maverick Chen.
Ketiga-tiga model RugGear yang diperkenalkan itu telah pun lulus ujian dengan jayanya. Ia mampu berada di dalam air yang sedalam dua meter untuk jangka masa 30 minit, tidak dimasuki debu serta boleh beroperasi di dalam suhu ekstrim daripada -20 hingga 60 Celsius. Model-model telefon pintar ini juga boleh beroperasi sebagai alat perhubungan 'walkie talkie' dengan adanya perisian Push-To-Talk-Over yang sangat sesuai untuk para pengembara motosikal berkumpulan, perhubungan di antara para marshal konvoi serta para penunggang motocross yang sering beriadah di dalam hutan. Ini dibuktikan apabila RugGear digunakan dalam perlumbaan lasak Dakar-Rally 2017.
Terdapat pelbagai lagi perisian dan kemampuan yang dimiliki oleh RugGear yang menarik seperti sistem perhubungan di antara para pemilik produk ini yang dapat dilihat dan dihubungi menerusi komputer. Ini juga satu lagi kelebihan yang dimiliki oleh RugGear di mana kita akan dapat memantau pergerakan rakan-rakan konvoi, lokasi terakhir dan sebagainya. Bagi model RG310, ia turut disempurnakan dengan sistem kod kecemasan seperti 'Morse Code', lampu LED berkuasa 1000 Lux dan kekunci SOS yang boleh digunakan di kala kecemasan.
RugGear turut menerima anugerah 'German Design Award' pada Oktober 2017 lalu dan ternyata pengiktirafan ini membuktikan kemodenan dan kepintaran syarikat ini dalam penghasilan produk yang sesuai untuk corak dan gaya hidup masyarakat sekarang ini. Dengan RugGear, para penunggang motosikal akan dapat menghubungi sesiapa sahaja dalam semua keadaan dengan mudah. Bagi para pengembara motosikal yang merancang untuk merentasi seluruh pelusuk dunia, inilah peranti yang sesuai untuk tujuan itu. RR
Popular