Isu Terkini

Oktober 2024

Warta Produk / 25 Julai 2023

Sistem Beg Udara Alpinestars Tech-Air Dilancarkan di Malaysia

Sinar Puncak Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Alpinestars di Malaysia telah melancarkan beg udara (untuk jaket menunggang) dengan tiga varian iaitu Tech-Air 3, Tech-Air 5 dan Tech-Air 10. Produk baru ini didatangkan dalam pelbagai saiz, dari saiz S hingga 2XL (untuk Tech-Air 3 & Tech-Air 5) manakala Tech-Air 10 hanya boleh didapati dalam saiz M hingga 2XL sahaja.

Pemakaian sut perlumbaan yang disertakan dengan sistem beg udara sudah menjadi peraturan yang wajib di dalam Kejuaraan MotoGP sejak 2018. Ia adalah untuk mengurangkan kecederaan bahagian atas badan.

Alpinestars merupakan pelopor sistem ini sejak beberapa tahun sebelum ia diwajibkan. Sebenarnya hampir semua jenama sut perlumbaan yang bukan Alpinestars yang dipakai oleh para pelumba menggunakan sistem beg udara Alpinestars. Tanyalah Hafizh Syahrin dan Khairul Idham Pawi ("Super Kip") mengenai siapakah pembuat sistem beg udara di dalam sut RS Taichi mereka.

Oleh kerana sistem itu telah dipasang terus di dalam suatu sut perlumbaan, penunggang motosikal di jalanraya turut memerlukan sistem yang sama. Alpinestars mengemukakan sistem sebegini beberapa tahun dahulu, yang boleh dipakai bebas daripada apa jua jaket menunggang. Maksudnya, kita pakai ves beg udara seperti ini di dalam jaket tunggangan. Sistem yang dilancarkan baru-baru ini telah dipertingkatkan lagi. Ini membuktikan bahawa Alpinestars menunjukkan komitmen berterusan mereka menggunakan kemajuan teknologi terkini demi menyelamatkan nyawa para penunggang motosikal di jalan raya dan di litar perlumbaan.

Walaupun sistem ini kelihatan seakan sistem beg udara di dalam kereta, cara ia berfungsi agak berlainan. Beg udara di dalam kereta digelembungkan apabila sensornya mengesan impak perlanggaran atau pergerakan kenderaan perlahan dengan sangat-sangat ketara. Beg digelembungkan dengan gas nitrogen kerana gas ini tidak terbakar.

Bagi beg udara sut perlumbaan pula, ia menggunakan sensor yang mengukur gerakan yang luarbiasa, seperti apabila penunggang motosikal tercampak daripada motosikal (highside atau perlanggaran), atau memereng dengan terlalu cepat dan mendadak ke dalam selekoh (kemalangan lowside di mana tayar gelincir). Beg udara akan digelembungkan sepenuhnya secara automatik sebelum penunggang menghempas jalan dalam masa hanya 25 milisaat (0.025 saat). Ia amat laju berbanding dengan kelipan mata manusia yang mengambil masa 150 milisaat (0.150 saat).

Sistem Tech-Air berpandukan sensor accelerometer (pengukur pertukaran daya) dan gyroscope (pengukur pergerakan sudut dan orientasi objek). Ia tidak memerlukan sambungan kepada motosikal seperti tali. (Terdapat sistem beg udara yang bukan Tech-Air yang memerlukan sambungan tali kepada motosikal. Tali itu terentap apabila penunggang terpisah daripada motosikal ketika kemalangan.) Sebaliknya, sistem Tech-Air menggunakan bateri dalaman serta kartrij gas argon (yang sering digunakan di dalam sistem pemadam api).

Astars Tech-Air 10 merupakan untuk kegunaan perlumbaan dan dipakai di dalam sut. Oleh itu, perlindungan yang diberikan merangkumi bahagian bahu, dada, seluruh bahagain belakang badan, serta pinggul. Ia menggunakan 12 sensor (pecutan + giroskop). Beg udara dikandungi di antara dua lapisan kain nylon yang nipis, jadi anda boleh memakai Tech-Air 10 ini sebagai lapisan dalam sut (inner layer). Jadi, lapisan ini dapat mengalirkan udara agar kita tidak kepanasan kelak.

Sistem ini boleh dipautkan kepada telefon pintar anda untuk mengawal mod pengesanan. Penunggang boleh memilih di antara mod RACE (perlumbaan) atau STREET (jalanraya), di mana kedua-dua mod ini menggunakan program AI untuk pengesanan kemalangan yang berbeza.

Tahap perlindungan kepada bahagian belakang dan dada yang diberikan oleh sistem ini apabila ia digelembungkan melepasi piawaian CE Tahap 2 (CE Level 2) iaitu tahap perlindungan tertinggi. Tambah lagi, model ini juga mempunyai pelindung bahagian belakang (back protector) CE Tahap 2 yang telah sedia ada.

Sistem ini boleh dicaskan dengan sepenuhnya dalam 4 jam, bagi kegunaan selama 24 jam. Setiap pengecasan 1 jam pula memberikan penggunakan selama 6 jam, jika anda sedang kesuntukan masa. Terdapat satu unit LED yang menunjukkan tahap sistem ini dicaskan. Unit LED ini boleh ditanggalkan daripada tali pinggang dan diletakkan di bahagian motosikal atau lengan baju.

Harga Tech-Air 10 ialah RM4,899 dan kita hanya perlu sarungkan, zip bahagian depan, dan kita perlu tutup tali pinggang sistem ini untuk mengaktifkannya.

Sistem Tech-Air 5 pula sesuai bagi kegunaan yang lebih meluas termasuk jelajah (touring), perjalanan saban hari (urban), dan perlumbaan. Oleh kerana ia tidak mempunyai perlindungan untuk bahagian pinggul, ia dipakai seperti sebuah ves di bawah jaket. Ia menggunakan 3 sensor (pecutan) dan 3 sensor (giroskop) yang berpandukan program AI yang mengesan daya gerakan serta posisi penunggang untuk menggelembungkan beg udara pada masa yang tetap apabila berlakunya kemalangan. Ia juga mempunyai kawalan 2 mod untuk RACE dan STREET.

Tech-Air 5 memberikan perlindungan yang baik kepada bahu, dada dan tulang rusuk, seluruh bahagian belakang dan ditawarkan pada harga RM2,999

Tech-Air 3 ini boleh dipakai di bawah jaket, mahupun di luar jaket sebagai ves keselamatan. Ia sesuai bagi kita yang menunggang saban hari mahupun untuk pengembaraan. Ia diaktifkan apabila penunggang zipkan bahagian depan dan menutup "lidah" jaket, kerana suisnya berada di dalam "lidah" tersebut. Justeru, ia merupakan suatu sistem yang ringan dan tidak membelenggu penunggang apabila dipakai. Untuk keselesaan penunggang, Air-Tech 3 dikemaskan dengan fabrik regangan di bahagian sisi dan kali air.

Sistem ini akan mengesan jika penunggang terhumban daripada motosikalnya dan mengembangkan beg udara sebelum badan penunggang merempuh sesuatu objek. Oleh itu, ia melindungi bahagian dada dan belakang penumpang. Tech-Air 3 berharga RM 2,299.

Apa yang kita boleh buat jika beg udara telah digunakan?

Terdapat beberapa pilihan untuk pengguna jika beg udara telah digelembungkan di dalam kemalangan. Ia tidak semestinya bermaksud kita perlu tukar seluruh unit itu. Segalanya bergantung kepada tahap kemalangan itu dan kita boleh menukar kanister gas sahaja atau beg sahaja, atau kedua-duanya sekali. Sila rujuk kepada gambarajah di bawah. Apapun, servis ini hanya boleh dilakukan oleh agen-agen Sinar Puncak yang bertauliah sahaja kerana ia memerlukan kemahiran yang terlatih. RR

Pusat servisnya ialah:
GOMOTO xPerience Lab yang bertempat di SS2, Petaling Jaya.

Sila kunjungi laman Facebook di bawah ini untuk keterangan lanjut:

Facebook: https://www.facebook.com/alpinestars.malaysia

Instagram: https://www.instagram.com/alpinestars.spsb_malaysia/

Isu Pada

September 2023

Popular

  • Warta Roda

    Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

  • Dari Litar

    Marquez Jatuh...Pecco Raih Juara

  • Warta Roda

    Lelaki tumbuk pemandu wanita selepas anak dilanggar.

  • Model Baru

    Vespa GTS 300 Classic - Harga RM31,900

  • Warta Roda

    Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

Artikel berkaitan

Cardo Packtalk Pro Kini di Pasaran Negara

GIVI ASIA Lancarkan Kotak Simpanan Baru “THE MATTERHORN"

Arai Europe Persembahkan Topi Keledar Edisi Terhad, RX-7V EVO IOM TT 2024

Kilang baru di Thailand, Brembo Mahu Tingkat Jualan Di Asia Tenggara

'Product Recall' Untuk Suzuki GIXXER 250, GIXXER 250SF & V-Strom 250SX. Jentera pengeluaran Malaysia Tak Terlibat...

Akan Datang: Topi Keledar GoPro

Gracshaw Tampilkan Barisan Topi Keledar Edisi DC Superheroes

CFMOTO Jelaskan Penghasilan Motosikal Yamaha untuk Pasaran China Sahaja

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Zynergys & Helios Bekerjasama Dengan Beberapa Pasukan Yang Bertanding di MCP, ARRC dan MSF

Zynergys dan Helios telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pasukan yang bersaing di MCP, ARRC dan MSF Superbike.

Model Baru

BENDA Chinchilla 500 Masuki Pasaran Negara – RM27,888

BENDA Malaysia telah memperkenalkan jentera cruiser kelas pertengahan untuk pasaran negara iaitu BENDA Chinchilla 500.

Model Baru

Honda X-ADV 750 2025 Tiba di Pasaran Negara - Harga Bermula RM69,999

Boon Siew Honda (BSH) dengan bangganya memperkenalkan skuter adventure generasi terbaru untuk pasaran negara iaitu Honda X-ADV 750 2025.

Model Baru

X-Wedge Sedia 'Gegarkan' Pasaran Cruiser Negara. Cadang Buka 4 Cawangan Pengedar

X-Wedge merupakan jenama premium di China yang menawarkan motosikal berkonsepkan Cruiser. Ya...Berbanding dengan kebanyakan jenama lain yang memberi fokus pada jentera-jentera skuter maksi, kembara dan sportbike, X-Wedge menceburi pasaran yang berbeza sama sekali.