Pembuat Ekzos Bersetuju membuat Ekzos yang Tidak Boleh Diubahsuai

Ada di kalangan kita penggemar motosikal yang akan menukar ekzos motosikal kita atas sebab-sebab tertentu tetapi Kesatuan Pembuat Ekzos Eropah (European Association of Motorcycle Manufacturers - ACEM) telah merangka suatu peraturan baharu bagi ekzos pasaran selepas jualan (aftermarket).
Antara sebab yang ekzos ditukar ialah: Untuk membuatkan motosikal berbunyi dengan lebih kuat dengan anggapan pengguna jalanraya yang lain perasan terhadap kehadiran kita; ada yang mengganggap ia dapat membantu enjin menjadi lebih berkuasa (ini hanya benar jika ECU motosikal dilaras semula); mencatikkan motosikal; serta meringankan motosikal. Namun ada ekzos yang terlalu bising dan menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan. Hakikat ini menjadi amat ketara di negara-negara Eropah di mana mereka turut mempunyai radar ekzos bising, seperti radar untuk mengesan kenderaan yang melebihi had laju. Tindakan ini dilihat akan merosakkan industri ekzos pasaras lepas jualan Eropah.
Oleh yang demikian, ahli-ahli ACEM mahu membuat ekzos yang lebih senyap. Pada masa kini, kebanyakan ekzos aftermarket dipasangkan dengan komponen di dalam peredam ekzos yang dipanggil "dB killer" ("dB" bermaksud "decibel" iaitu unit sukatan bunyi) yang boleh ditanggalkan dengan cara membuka skru atau dikisar dengan senang, bagi menjadikan ekzos berbunyi lebih kuat. Peraturan ACEM yang baharu ini akan membuat sesuatu peredam bunyi ekzos itu rosak habis jika dB killer cuba dibuang. Selain daripada itu, peredam bunyi serta sistem ekzos aftermarket yang baharu akan dihantar untuk mendapatkan sijil piawaian dan diluluskan oleh pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum dijual.
Buat pengetahuan anda, ACEM terdiri daripada pembuat-pembuat ekzos yang terkemuka seperti Akrapovic, Arrow, Giannelli, Lafranconi, LeoVince, MIVV, dan SC Project.
Adakah pihak berkuasa Malaysia dapat menerima ekzos-ekzos ini kelak? Pada masa ini, mereka akan mengeluarkan saman jika ekzos motosikal telah ditukar, tanpa mengambil kira sama ada senyap atau bising.