Kenapakah Terdapat Helmet yang ada dan tidak ada Cop SIRIM?

Kami tahu yang anda sudah tentunya menyedari bahawa helmet yang dijual dan dipakai di Malaysia diperlukan untuk memenuhi syarat-syarat sesuatu piawaian. Malangnya terdapat banyak kekeliruan kenapakah ada helmet yang menggunakan label SIRIM manakala ada juga tidak mempunyai label SIRIM. Bukan sahaja pengguna menjadi keliru, malah ada di antara pihak berkuasa yang juga menjadi keliru!
Kita perkenalkan SIRIM Berhad dengan ringkas terlebih dahulu. Nama itu sebenarnya singkatan bagi Standard of Industrial Research Institute Malaysia (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia). Ia merupakan sebuah syarikat di bawah naungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). Ditubuhkan pada 1964, ia ditugaskan untuk membangunkan dan melaksanaan piawaian-piawaian bagi sektor perindustrian yang sedang berkembang pesat pada masa itu. Oleh itu, SIRIM akan menguji dan memberikan sijil untuk barangan yang dibuat di Malaysia, serta beberapa jenis barangan yang lain yang diimpot.
Label keselamatan SIRIM mula diperkenalkan pada 1980 untuk barangan perlindungan dan keselamatan seperti topi keledar motosikal, tali pinggang kereta, serta peralatan lampu.
Pada masa kini, SIRIM masih merupakan organisasi yang menguji dan memberikan sijil kepada topi keledar yang diperbuat di Malaysia, mengikut piawaian MS1:2011.
Kesatuan Eropah juga mempunyai rang piawaian yang digunakan di kalangan negara ahli. Piawaian-piawaian ini merangkumi jenis produk yang amat luas termasuklah peralatan di rumah, peralatan pembuatan, sehinggalah kepada pakaian keselamatan untuk pekerjaan serta sukan bermotor.
Piawaian untuk topi keledar ialah ECE R22.XX. Di mana R22 merupakan set piawaiwan untuk topi keledar motosikal, manakala “XX” merupakan nombor semakan. Yang terbaharu ialah ECE R22.06 yang telah dicapai oleh helmet GIVI M35.0 Scudo.
Piawaian ini turut diikhtiraf oleh Bangsa-bangsa Bersatu sebagai piawaian topi keledar sejagat. Oleh itu, ia juga digunakan di 64 negara, termasuk Malaysia. Sebab ini juga kenapa anda boleh melihat helmet yang mempunyai label UN R22.XX.
Helmet yang dibuat diluar negara dan diimpot ke Malaysia mestilah mempunyai kelulusan ECE R22.XX (UN R22.XX). Pihak pengimpot akan memohon kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengimpot sesuatu model topi keledar. Kebenaran ini kemudiannya difailkan dengan pihak Kastam Diraja Malaysia. Helmet yang diimpot tanpa kebenaran sah ini boleh dirampas oleh pihak berkuasa.
Cara paling senang untuk mengingati kriteria ini ialah:
- Helmet yang dibuat di Malaysia diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan SIRIM.
- Helmet yang diimpot pula perlu disahkan telah lulus piawaian ECE R22.XX, dan tidak diwajibkan untuk mendapatkan kelulusan SIRIM. Tetapi, pembuat atau pengimpot boleh menghantar helmet ke SIRIM bagi mendapatkan sijil SIRIM sebagai tambahan.
Malaysia tidak memperakui piawaian DOT FMVSS No. 218 yang digunakan di Amerika Syarikat, kecuali jika sesuatu topi keledar itu turut mendapat kelulusan ECE R22.XX.
Ini ialah kerana DOT (Jabatan Pengangkutan US) tidak memerlukan sesuatu topi keledar diuji ketika peringkat awal. Sebaliknya, mereka hanya memberikan suatu garis panduan kepada pembuat topi keledar untuk diikuti. Ujian hanya akan dijalankan ke atas produk yang telah siap dibuat dan dijual di pasaran oleh beberapa makmal ujian bebas yang dikontrak oleh DOT.
Sebagai perbandingan, ECE mewajibkan topi keledar diuji daripada tahap prototaip, pra-produksi, ketika produksi, dan sebelum dijual kepada khayalak ramai!