Helmet Alpinestars Supertech R10 Diperkenalkan di Latihan Pra-Musim MotoGP Sepang

Bintang-bintang MotoGP, Jorge Martin dan Jack Miller memperkenalkan helmet Alpinestars Supertech R10 baharu ketika Latihan Pra-Musim MotoGP 2023 yang telah berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang. Helmet itu mulanya dipakai oleh Andrea Dovizioso ketika latihan di litar Misano pada bulan November yang lalu. Dovi merupakan penunggang ujian dan pembangunan helmet ini yang dihasilkan oleh pembuat pakaian motosikal terkemuka, Alpinestars.
Cengkerang helmet Alpinestars Supertech R10 tersebut terdiri daripada empat lapisan. Yang pertama merupakan lapisan gentian karbon kepadatan tinggi 3K, diikuti oleh lapisan komposit karbon searah, kemudiannya lapisan gentian Aramid, dan akhirnya lapisan resin epoksi. Alpinestars berkata pembuatan kaedah ini memberikan cengkerang yang lebih kuat serta pelesapan hentak yang lebih baik. Kerja menyerap hentakan ini juga dilakukan oleh busa EPS dengan empat kepadatan berasingan.
Helmet ini juga mempunyai ciri Alpinestars A-Head Fitment System yang dipatenkan. Ia membolehkan pemakai untuk mengubah ketinggian serta sudut pemakaian helmet bagi keselesaan dan prestasi.
Amat ketara ialah bentuknya yang direka bagi prestasi aerodinamik pada kelajuan tinggi kerana motosikal MotoGP boleh mencecah kelajuan 360km/h sekarang. Penunggang juga sering terpaksa duduk menengak ketika membrek dari kelajuan tinggi. Justeru bentuk ini amat penting bagi kestabilan pada kelajuan tinggi. Spoiler di belakangnya direka untuk tercabut jika penunggang terhentak kepalanya apabila terlibat di dalam kemalangan.
Tambah lagi, terdapat komponen logam dalam mekanisma visornya agar visor tidak tercabut ketika kemaangan. Span di dalamnya terdapat suatu lurah bagi menempatkan tiub minuman.
Berapakah harganya untuk pengguna? Ia belum diistiharkan tetapi terdapat maklumat bahawa ia berharga melebihi USD1,000.