Kaliper Brek Brembo GP4-MS Baharu untuk 2023 Dilancarkan
Brembo merupakan jenama yang paling disegani di dalam dunia brek kenderaan berprestasi tinggi, dan kini kaliper brek depan Brembo GP4-MS yang baharu telah dilancarkan untuk tahun 2023.
Model GP4-MS telah berada di pasaran sejak 2019, tetapi model yang baharu ini turut mempunyai sirip-sirip penyejukan untuk prestasi membrek yang lebih konsisten pada sepanjang masa. Sirip-sirip tersebut hanya digunakan pada model-model kaliper perlumbaan seperti GP4-RR dan GP4-RX sebelum ini.
Seperti model perlumbaan yang lain, kaliper GP4-MS ini dimesin daripada satu blok aluminium aloi. Justeru ia dinamakan "Monobloc" (blok tunggal).
Selain daripada sirip-sirip penyejukan, terdapat juga pelekat yang mengesan haba. Ia membolehkan penunggang untuk memerhatikan haba yang tercapai pada akhir sesi agar boleh memilih kulit brek (brake pad) yang lebih sesuai. Contohnya, kaliper ini boleh dipasang dengan dengan pad perlumbaan Z04 yang mempunyai julat haba yang lebih panas daripada jenis yang digunakan di atas jalan. Jadi, seseorang penunggang itu boleh memilih pad yang lain jika mendapati pad Z04 itu tidak sesuai untuk kegunaannya.
Brembo berkata kaliper ini dijual pad jenis "sintered" bagi kegunaan harian serta sesi trek.
Komponen-komponen lain seperti silinder utama (master cylinder atau lebih dikenali sebagi pam brek) belum diumumkan.
Adakah ini bermaksud kita akan melihat motosikal yang bukan superbike akan turut "menggunakan" kaliper brek ini kelak?
Popular