Michelin Power GP - Antara Tayar Pilihan Utama Untuk Jentera Anda
Memilih sepasang tayar untuk motosikal berprestasi tinggi bukanlah sesuatu yang terlalu sukar di zaman sekarang. Ini adalah kerana pengeluar tayar akan memberikan kategori di mana sesuatu model itu disyorkan untuk digunakan.
Michelin Power GP merupakan tayar “50/50” daripada Michelin, menggantikan model sebelumnya, Power RS. Ianya disebut 50/50 bermaksudkan kegunaan 50% di jalan raya dan 50% di litar perlumbaan. Pada pendapat penulis, kategori ini hanya wujud setelah teknologi pembuatan tayar seperti Power GP ini mencapai tahap kemajuan di mana prestasi sepasang tayar “biasa” di litar perlumbaan boleh menghampiri prestasi tayar yang diciptakan khusus untuk perlumbaan, dan pada masa yang sama boleh digunakan seharian di jalan raya.
Ini bermakna tayar ini perlu menggunakan kompaun yang dapat mencapai suhu optimum bagi kegunaan di litar (tanpa menggunakan pemanas tayar), dan masih juga bersopan di jalan raya awam. Tambahan pula, ianya juga seharusnya mempunyai daya cengkaman yang tidak memutihkan mata ketika jalan raya basah.
Satu lagi sifat yang perlu ada untuk tayar yang mendakwa dirinya boleh digunakan di litar dan di jalan raya ialah tahap kehausan yang munasabah (walaupun tidaklah terlalu munasabah).
Bunyi seperti senarai kebolehan yang agak bertentangan sesama sendiri!
Saya telah menerima set tayar Power GP dari Michelin ini pada bulan Oktober, bersaizkan 120/70R17 untuk tayar hadapan, dan 190/55R17 untuk tayar belakang. Set ini kemudiannya dipasangkan kepada motosikal Triumph Speed Triple 1200 RS.
Oleh kerana ketika itu negeri Selangor masih lagi dalam situasi Pelan Pemulihan Negara Fasa 1, saya tidak mempunyai peluang untuk menguji kebolehan tayar ini di litar perlumbaan. Biarpun begitu, sebaik sahaja kita ke dalam Fasa 3 dan dibolehkan merentas negeri dari Selangor ke negeri lain, saya telah mengambil kesempatan untuk menguji Power GP ini.
Ujian pertama adalah perjalanan ke Ulu Bendul, melalui Hulu Langat, Kuala Klawang, Pertang dan Kuala Pilah. Saya anggarkan 90% dari jalan yang dilalui merupakan jalan kecil dan berliku. Salah satu ciri yang disebutkan berkenaan Power GP ini ialah kebolehannya mencapai suhu optimum dengan segera, supaya tahap cengkamannya berada di aras maksima.
Sebenarnya, di negara kita ini, dengan cuaca kita, ini bukanlah sesuatu yang menjadi kerisauan kepada kita. Kalau kena harinya, matahari terik di atas kepala, baru keluar dari rumah pun tayar sudah mencapai suhu optimumnya.
Dari segi itu, saya merasakan cengkaman tayar ini lebih dari memuaskan di jalan-jalan berliku dalam cuaca panas terik. Pada ujian pertama itu, saya tidak memeriksa tekanan udara di dalam tayar, hanya terus redah selepas mengambil motosikal saya dari Fast Bikes Sdn Bhd, pengedar Triumph. Dan dalam perjalanan ke Ulu Bendul, saya ada merasakan seperti bahagian hadapan Speed Triple itu seolah ingin “rebah” ketika ingin memasuki selekoh tajam.
Ini berlaku beberapa kali sehingga saya mula mencurigakan tekanan udara, dan bukannya kebolehan tayar Power GP ini.
Setelah kembali ke rumah, keesokan harinya saya memeriksa tekanan udara dan ternyata kedua-dua tayar agak kurang daripada yang disarankan oleh Michelin.
Setelah meletakkan tekanan kembali kepada yang disyorkan (34psi depan, 42psi belakang), saya teruskan kepada “ujian” kedua. Kali ini ke Raub, melalui jalan Central Spine Road, CSR, yang baru dibuka. Jalan ini membolehkan penunggang dari Lembah Kelang untuk memintas pekan Bentong jika ingin ke Raub (dan juga memintas Lemang To’Ki yang sangat popular itu). Dari Raub pula, saya melalui jalan berliku ke Kuala Kubu Bharu, melalui Gap di kaki Bukit Fraser.
Dengan tekanan udara di paras optimum, kadar tindakbalas tayar ini menyerlah, menunjukkan kebolehan sebenarnya. Jalan di antara Raub dan Kuala Kubu Bharu itu cukup berliku, dan di beberapa tempat kurang elok, maka saya terpaksa menumpukan sepenuh perhatian kepada tunggangan. Tetapi kerana daya cengkaman yang padu oleh Power GP ini, saya tidak sekalipun hilang keyakinan yang tunggangan saya akan hilang cengkaman dan terbabas.
Pembinaan tayar ini merupakan faktor utama kepada ketangkasannya. Michelin menggunakan teknologi 2CT (Two Compound Technology) di hadapan dan 2CT+ (Two Compound Technology +) di belakang. Secara asasnya, ini bermakna terdapat dua jenis kompaun pada tayar tersebut di mana bahagian tengah tayar adalah lebih keras dan tahan lama, sementara bahagian tepi tayar itu pula lebih lembut dan lebih mencengkam.
Berbanding dengan tayar yang digantikannya, Power RS, nisbah kompaun tengah dan kompaun tepi bagi tayar belakang diubah dari 23/54/23 kepada 22.5/55/22.5.
Menurut Michelin, selain daripada perbezaan kepada campuran silica dan black carbon yang dibuat kepada Power GP, perubahan nisbah ini juga merupakan pembaharuan yang membawa kepada prestasi yang lebih tinggi bagi Power GP, berbanding dengan Power RS.
Saya pernah menguji Power RS, mungkin 4 tahun dahulu (Oktober 2017 Bil:372), dan walaupun agak samar ingatan saya berkenaan tayar itu, tetapi daya cengkaman Power GP ini di selekoh sememangnya terasa lebih padu.
Bagaimana pula kebolehannya ketika menunggang di jalan yang basah? Pada pendapat saya, tayar 50/50 seperti ini jika di dalam keadaan hujan, sebaiknya kita berhenti menunggang atau setidaknya bergerak dengan perlahan. Kerana tidak kira apa yang didakwa oleh pengeluarnya, tayar yang dicipta untuk prestasi tinggi di litar ketika cuaca kering tidak akan mempunyai kehebatan di dalam cuaca basah.
Namun begitu, dalam ujian yang telah saya jalankan, cengkaman Power GP ini di jalan yang basah tidaklah menggerunkan -- jika tidak menunggang dengan kelajuan yang merbahaya. Walaupun kenyataan ini berbunyi seperti sesuatu yang tidak perlu disebutkan, ianya penting diambil kira kerana sudah tentu ada masanya di mana perjalanan di dalam hujan tidak dapat dielakkan.
Dari segi ketahanannya pula, ada pengguna yang melaporkan masih menggunakannya lebih dari 8,000km dan bagi tayar kelas 50/50 ini, jarak sejauh itu adalah sungguh hebat. Tentunya, jika digunakan dengan selalu di litar, tayar ini tidak akan dapat bertahan sehingga 8,000km tetapi untuk kegunaan biasa, ianya adalah lebih dari memadai.
Sebagai kesimpulan, tayar Michelin Power GP ini sememangnya hebat. Seperti yang dicatatkan pada awal tulisan ini, tayar 50/50 ini merupakan satu kategori yang wujud kerana teknologi pembuatan tayar telah mencapai peringkat di mana ianya boleh diwujudkan. Dan sebagai contoh untuk kategori ini, Power GP mungkin tiada tandingannya.
Malah, jika anda seorang yang bertuah untuk memiliki motosikal superbike yang berkuasa tinggi, Michelin Power GP ini semestinya menjadi antara tayar pilihan utama bagi kenderaan anda. RR
Oleh: Yusseri
Popular