KYB PRO X Cemerlang Buat Semua Jenis Tunggangan
KYB - UMW Malaysia (KYB) memperkenalkan sistem penyerap hentak pada tahun lalu dan ternyata ia telah mendapat sambutan yang cukup hebat di kalangan para pencinta motosikal dengan jumlah penjualan lebih daripada 6,000 unit. KYB Pro-X merupakan unit penyerap hentak berkualiti tinggi lengkap dengan tangki sub dan merupakan produk premium yang menggunakan teknologi pengisian minyak serba moden.
Model yang paling popular menggunakan Pro-X ialah Yamaha NVX dan Yamaha Lagenda. Untuk membuktikan kecemerlangan produk ini, KYB telah memberi RR peluang untuk mencuba unit Pro-X yang dipasang pada dua buah motosikal (Yamaha NVX dan Lagenda) dan selepas tiga minggu mengujinya di pelbagai jenis jalan dan tempat, kami amat berpuas hati dengan prestasi Pro-X.
Sesi Ujian Dengan Yamaha NVX:
Perbandingan ini dibuat pada model generasi pertama Yamaha NVX 155 milik Sdr Jeff dari KL, di mana penyerap hentak asal dirasa sangat lembut lebihlebih lagi jika menunggang berdua. Berat Jeff dan pembonceng digabungkan hampir cecah 100 kilo dan ketika melalui jalan yang tidak rata, jentera dirasakan berbuai-buai dan melantun-lantun.
Pro-X yang direkabentuk bersama sub-tank membolehkannya menyimpan kira-kira 50% lebih minyak hidraulik. Spring yang dipasang mempunyai daya mampatan yang lebih tinggi dan apabila menggunakan Pro-X, minyak dapat dialirkan lebih cekap dan berupaya untuk mempertingkatkan kadar penyerapan menjadi sempurna.
Sejurus menukarkan penyerap hentakan kepada jenama KYB Pro-X ini, perbezaannya boleh dirasai. Pembonceng tidak lagi mengadu tidak selesa kerana skuter tidak lagi membuai (naik-turun) apabila kami melalui jalan yang tidak rata atau bonggol.
Pro-X ini adalah satu pilihan antara yang terbaik buat mereka yang inginkan keselesaan - disyorkan jika anda adalah penunggang solo atau pembonceng kurang daripada 60 kilogram. Jika penunggang lebih berat, dirasakan jentera ini perlukan spring yang lebih besar atau keras.
Yamaha Lagenda milik Sdr Shamsul pula dibawa ke beberapa tempat seperi Puchong, Sri Kembangan hinggalah Sungai Besar melalui pelbagai jenis jalan. Dalam masa tiga minggu, Shamsul dapat menguji prestasi KYB Pro-X pada jarak kira-kira 1,200 kilometer.
“Kadar penyerapan Pro-X memang cemerlang! Jentera saya kini tidak lagi melantunlantun apabila melalui jalanan berbonggol. Dalam kelajuan 50-60km/j, saya tidak lagi perlu menurunkan kelajuan jika terpaksa melanggar bonggol kecil, dengan Pro-X... saya redah sahaja dengan yakin, selesa dan selamat,” kata Shamsul.
Apabila menunggang laju di selekoh tajam, Shamsul tidak lagi rasa seperti melebar kerana produk KYB ini bertindak dengan cemerlang untuk mengekalkan jentera di laluannya dengan selamat. Menurutnya, terdapat beberapa selekoh di lebuhraya yang dahulunya seringkali membuatkannya kurang yakin tetapi selepas menyempurnakan jenteranya dengan KYB Pro-X, masalah tersebut tidak lagi perlu dirisaukan dan apa yang mengagumkan ialah kemantapan prestasi Pro-X tidak terjejas walaupun ada ketikanya dia menunggang berdua.
Harga jualan bagi model KYB Pro-X untuk model Yamaha Lagenda adalah sekitar RM250-RM280 manakala unit untuk Yamaha NVX 155 pula ditawarkan pada harga sekitar RM280-RM300. Kos pemasangan sekitar RM20 bergantung kepada bengkel motosikal. Para pembaca boleh merujuk laman web KYB (http://www. kyb.com.my) untuk maklumat lebih terperinci atau terus ke para pengedar KYB yang berada di seluruh negara.
Buat masa kini, penyerap hentakan Pro-X ini hanya diperbuat untuk Yamaha Lagenda 115Z dan NVX155 sahaja. Manakala bagi model motosikal lain seperti Honda Wave, EX5, Yamaha RXZ dan Nouvo, produk ini kini di dalam perancangan. RR
Popular